SAAT hubungannya bersama seorang jejaka berbadan sasa dikenali dengan nama Muhammad Ubaidah masih menjadi tanda tanya peminat, Ana Dahlia membuat kejutan menyenangkan apabila tampil anggun bertudung dua minggu sebelum Ramadan lalu.
Melalui imej baharunya itu, anak kedua daripada enam beradik itu kini lebih teliti memilih watak yang bersesuaian tanpa melangkaui batas seorang wanita bertudung.
“Apabila bertudung, kita sebenarnya buat benda yang baik. Sebagai wanita bertudung, saya kena pandai memilih watak. Sebenarnya, bertudung bukan lagi satu masalah kepada pelakon kerana ramai artis sekarang sudah berbuat demikian. Banyak cerita yang menampilkan wanita bertudung,” ungkap pelakon berusia 31 tahun itu optimis.
Disoal tentang Ubaidah, jejaka yang sering menemaninya ke majlis-majlis ketika ini, Ana mendedahkan, dia dan Ubaidah memang rapat. Bagaimanapun, dia enggan menghurai lanjut mengenai hubungannya itu kerana takut dengan pandangan negatif masyarakat.
Mengenali sisi sebenar Ana, pemilik nama Diyana Mastura Jaafar itu pernah menyertai program realiti Pilih Kasih musim pertama sebelum menyerlah menerusi filem Mantra terbitan Metrowealth Movies Production.
Ana yang sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Chef selebriti, Mohd. Nadzri Redzuawan atau Chef Riz itu juga pernah tampil dalam seleksi drama seperti Bonda, Delima, Loga Maya, Hati Lia, Salam Terakhir, Hadi, Orang Luar dan Arjuna.
Tidak hanya meminati bidang lakonan, Ana juga mengakui, dia kini ingin mencuba nasib dalam bidang pengacaraan.