Erin Malek sedia galas tugas jadi isteri


MENDIRIKAN rumah tangga pada usia muda bukanlah satu halangan besar buat pelakon Erin Malek, 20. Dia menamatkan zaman bujang dengan jejaka pilihan hati yang jauh lebih berusia daripadanya.

Sepakat mengikat tali pertunangan pada 21 Jun lalu dengan empunya nama Mohd. Farriz Mohd. Fauzy, 30, pasangan itu akhirnya selamat diijabkabulkan pada malam Jumaat lepas, di kediaman keluarga Erin di Duta Suria Residency, Ampang, Selangor.

Saat kaki mengorak langkah masuk ke pekarangan rumah tiga tingkat yang tersergam indah, bola mata mula tertancap kepada khemah yang dihias polos berwarna putih dan merah jambu.






Di satu sudut bahagian depan rumah, pandangan mata terasa segar apabila melihat pelaminan indah dihiasi bunga-bunga mekar menghiasi segenap ruang. Berona merah jambu dan putih, pasangan mempelai memilih untuk mengadakan majlis yang santai berkonsepkan Sweet Garden.

Majlis akad nikah sederhana hanya dihadiri sekitar 200 orang tetamu terdiri daripada kalangan keluarga dan rakan terdekat. Semuanya berjalan lancar apabila Erin atau nama sebenarnya Nur Arina Abdul Malek sah bergelar isteri kepada Mohd. Farriz dengan sekali lafaz.

Pengantin perempuan menerima mas kahwin bernilai RM10,000 daripada pengantin lelaki, manakala wang hantaran yang diterima pula sebanyak RM30,000 serta sebentuk cincin.

Pada malam itu, pihak lelaki membawa tujuh dulang hantaran terdiri daripada sirih junjung, Al-Quran dan sepasang telekung, seutas jam, tas tangan, sepasang kasut, barangan kosmetik, set wangian serta manisan.



Berbeza usia 10 tahun, Erin Malek dan Mohd. Farriz kini sah bergelar suami isteri.

Pihak pengantin perempuan pula membalas tepak sirih, al-Quran, sejadah, seutas jam, sepasang sut, dompet, tali pinggang, set wangian, sepasang kasut dan kek.

Malam yang bersejarah buat Erin itu dimulakan dengan acara bertukar dulang hantaran antara kedua-dua belah pihak pengantin. Menariknya, pembawa dulang hantaran pengantin perempuan terdiri daripada rakan artis dan teman baik Erin termasuklah Nelydia Senrose, Faralyna Idris dan Ainul Aishah.

Erin yang tampil anggun berbusana indah berwarna kelabu rekaan Azura Couture dan olesan mekap yang menyerlahkan seri pengantin baharu pada wajahnya dilihat menahan gementar sebelum lafaz ijab dan kabul dimulakan.

Sejurus selesai lafaz nikah, Erin dilihat menitiskan air mata kesyukuran kerana janji suci telah dimeterai dengan sebuah ikatan suci.

Bersyukur segalanya selamat, pasangan itu dinikahkan oleh Pendaftar Pernikahan Pejabat Agama Islam Hulu Langat, Zainal Abidin Mohd. Yusof. Dia turut berwalikan bapanya sendiri, Abdul Malek Mari.

Sedia galas tugas isteri

Mengakui bergelar isteri pada usia yang baru mencecah 20 tahun merupakan satu cabaran baharu buat dirinya, Erin optimis bahawa kehidupan selepas ini akan berjalan lancar seperti biasa. Kesediaannya bergelar isteri sudah lama disemai dalam jiwa.

“Apa yang penting sekarang, saya sudahpun bergelar isteri. Saya kena tahu erti tanggungjawab dalam kehidupan berumah tangga. Sudah pastinya ketaatan kepada suami harus diutamakan selain tahu segala tugas seorang isteri dan pandai menjaga keperluan hidup suami. Saya juga sudah bersedia untuk menggalas tugas itu dan pasa masa akan datang untuk ibu yang baik pula. Insya-Allah.

“Saya harap agar kami berdua tabah dan cekal mendepani cabaran mendatang. Perkahwinan merupakan satu permulaan baharu kepada kami, jadi dalam apa-apa juga situasi pada hari esok, kami akan teguh menghadapinya bersama-sama,” tegas Erin sambil tersenyum manis di sisi suami tercinta.

Majlis persandingan Erin dan Mohd. Farriz untuk pihak perempuan diadakan malam Sabtu lalu di Hotel InterContinental Kuala Lumpur, manakala majlis persandingan sebelah pihak lelaki pula akan diadakan di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur pada 18 Oktober ini.

Mengulas lanjut, Erin dan suami akan meneruskan kelangsungan hidup mereka selepas ini dengan menetap di kediaman mereka sendiri yang terletak di Damansara.


DENGAN sekali lafaz, Erin Malek sah bergelar isteri kepada Mohd. Farriz di Duta Suria Residency, Ampang Jumaat lalu.

Berehat berlakon

Setelah kedua-dua majlis persandingan selesai nanti, Erin memilih untuk berehat seketika daripada dunia lakonan. Dia ingin memberi ruang kepada diri mengenal makna perkahwinan dan belajar mengenal tugas suri rumah sepenuh masa.

“Saya masih meneruskan kerjaya lakonan seperti biasa. Cuma, untuk beberapa bulan selepas ini, saya akan berehat dan mahu ambil masa hilangkan kepenatan menguruskan majlis.

“Menguruskan majlis kahwin bukan sesuatu yang senang, ia sangat memenatkan. Jadi, saya ambil keputusan untuk fokuskan kepada rumah tangga. Dalam masa yang sama boleh juga saya belajar dengan lebih banyak tugas-tugas hakiki seorang suri rumah,” selorohnya ceria.

Bulan madu di Los Angeles

Sama seperti pasangan pengantin baharu yang lain, tentunya selepas selesai majlis, perkara seterusnya yang mahu dilakukan bersama ialah berbulan madu. Pasangan mempelai muda itu memilih untuk berbulan madu di Los Angeles, Amerika Syarikat sebagai lokasi percutian mereka pada hujung Oktober nanti.

“Kami akan ke Los Angeles selama 10 hari untuk berbulan madu. Tarikhnya bermula pada 24 Oktober hingga 4 November depan.

“Kalau ikut kepada perancangan awal, kami ingin ke New York, tetapi idea untuk ke Los Angeles itu muncul secara tiba-tiba kerana kami tidak pernah pergi ke situ. Farriz juga tahu beberapa lokasi menarik,” ujar Erin penuh ceria.


Previous Post Next Post