SINGLE Sujudku merupakan karya pertama yang dicipta khas untuk perayaan Hari Raya Aidiladha. Ia didendangkan oleh (dari kiri) Badri, Aris dan Aidiel.
SABAN tahun, kita sering disajikan dengan karya-karya khas yang dicipta bersempena dengan kedatangan Hari Raya Aidilfitri. Namun, tidak ada komposer yang pernah tampil dengan lagu-lagu bertemakan sambutan Hari Raya Aidiladha.
Menyedari tentang hakikat itu, komposer terkemuka, Othman Masri atau lebih dikenali sebagai Man Senoi hadir dengan sebuah single bertemakan sambutan Hari Raya Aidiladha berjudul Sujudku.
Ditanya mengapa memilih tema itu sebagai penceritaan utama karyanya, Man Senoi berkata, dia mahu mengangkat sambutan Hari Raya Aidiladha sama seperti sambutan Aidilfitri.
“Sejak kecil lagi, kita sering disuakan dengan lagu-lagu bertemakan Aidilfitri. Namun, tiada karya yang dihasilkan apabila tibanya sambutan Hari Raya Aidiladha. Jadi, inisiatif ini diambil bagi meraikan kedatangan Hari Raya Aidiladha serta ibadah korban pada musim haji,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran single tersebut di ibu pejabat Clixster Mobile Group, Sri Hartamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Diterbitkan oleh anak syarikat Clixster Music, single yang turut mendapat sentuhan pengerusi eksekutifnya, Datuk Megat Radzman Megat Khairuddin dan penulis lirik Hazran Mohamed itu dilantunkan oleh pengacara Aidiel Ghaffar bersama penyanyi Aris Ariwatan dan Badri Ibrahim.
Uniknya, lagu berkenaan bukan untuk dipasarkan kepada umum, tetapi hanya untuk didengar secara percuma menerusi corong radio dan saluran Clixster Music di YouTube.
“Berbekalkan lirik yang tidak terlalu menjurus ke arah sambutan Hari Raya Aidiladha, lagu ini turut sesuai untuk didengar pada hari-hari biasa. Saya berharap agar lagu ini dapat diterima oleh semua pendengar.
“Walaupun ia bukan untuk dijual, tetapi wang hasil daripada kutipan royalti akan disalurkan kepada Tabung Harapan Clixster bagi membantu artis-artis yang memerlukan,” kata Man Senoi yang tidak menolak untuk memasarkan lagu berkenaan jika ia mendapat sambutan yang memberangsangkan.
Bangga
Pertama kali menyanyi dan mendapat kepercayaan penuh daripada komposer lagu tersebut, Aidiel mengakui berasa bangga kerana dapat berkongsi platform bersama dua penyanyi yang datang daripada dua generasi yang berbeza.
“Pada asalnya, komposer memberikan karya ini kepada saya untuk dinyanyikan secara solo. Tetapi, selepas Aris dan Badri mendengar demo asal Sujudku, mereka terus melahirkan rasa teruja ingin turut serta dengan rakaman lagu ini.
“Walaupun terpaksa bekerja keras selama dua minggu, namun saya berasa gembira kerana projek ini berjaya disiapkan,” ujar Aidiel.
Bekas personaliti televisyen itu menambah, Sujudku merupakan langkah pertama baginya sebelum muncul dengan sebuah album penuh bersama Clixster Music pada penghujung tahun ini.
“Mungkin ramai yang akan mempersoalkan tentang pilihan saya untuk bergelar penyanyi pada usia sebegini. Ironinya, saya bukan mahu bersaing dengan artis sedia ada.
“Saya hanya mahu menghasilkan lagu-lagu yang penuh dengan mesej serta motivasi supaya ia dapat didengar oleh semua lapisan masyarakat,” ujarnya lagi.
Erti pengorbanan
Dalam pada itu, pelantun lagu Lamunan Terhenti, Aris menganggap, single tersebut dapat mengangkat erti sebenar pengorbanan yang mungkin telah dilupakan oleh masyarakat.
“Pada pendapat saya, sambutan Hari Raya Aidiladha merupakan satu perayaan yang sangat penting dalam kalender Islam.
“Menerusi peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s, banyak pengajaran positif yang dapat kita kutip untuk disesuaikan dalam kehidupan seharian.
“Selain itu, menerusi kutipan royalti yang bakal diisi ke dalam Tabung Harapan, ia juga merupakan satu bentuk pengorbanan untuk membantu rakan-rakan artis yang memerlukan,” katanya.