Ariffin, Prioriti pada Hijjaz



KUMPULAN Hijjaz bakal muncul dengan album ke-20 mereka sekitar hujung tahun ini.

BERDIRI dengan empat orang ahli, kumpulan yang memperjuangkan irama nasyid kontemporari sejak tahun 1997, Hijjaz tidak goyah apabila ada antara ahlinya, Muhammad Ariffin Abdul Rahim merakamkan album solo.

Kata Ariffin, 35, biar pun telah menandatangani kontrak bersama syarikat rakaman Media Asia Production (MAP) untuk menerbitkan album solonya Qiyamullail - Sebuah Alunan Zikir pada bulan Mac lalu, prioriti masih diberikan kepada kumpulannya, Hijjaz.

“Walaupun saya sudah mengikat kontrak dengan MAP, komitmen saya bersama Hijjaz tidak akan diabaikan dan seandainya ada tawaran membuat persembahan, saya akan dahulukan kumpulan ini. Walaupun perjalanan seni saya secara solo lebih kencang berbanding Hijjaz, saya tidak akan sesekali meninggalkan kumpulan Hijjaz,” katanya yang ditemui pada majlis mesra media bersama artis MAP di Restoran Hadramawt, Curve, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.




Ariffin merupakan artis solo pertama yang menandatangani kontrak artis rakaman di bawah syarikat MAP milik Nasir Deraman sekali gus menjadi artis pertama yang mengeluarkan album sejak syarikat itu ditubuhkan hujung tahun lalu.


ARIFFIN optimis karier solonya dengan kelahiran album Qiyamullail tidak akan menjejaskan komitmennya bersama kumpulan Hijjaz.

Jelas Ariffin, album Qiyamullail - Sebuah Alunan Zikir mengandungi 13 buah trek zikir Qiyamullail, lima dilatari muzik dan selebihnya hanya zikir yang dipetik daripada hadis Rasulullah S.A.W.

“Saya sudah lama mahu mempunyai album solo dan Alhamdulillah hasrat ini tertunai apabila teman baik saya Nasir Deraman menawarkan saya untuk merakamkan album solo bersifat Islamik dan ketuhanan.

“Konsep yang saya pilih ini untuk memberikan kelainan kerana ketika ini tidak banyak album zikir diiringi muzik. Dalam album ini ada antara beberapa zikir baharu yang dilagukan mengikut lenggok dan rasa saya sendiri namun kebanyakannya daripada hadis Rasulullah S.A.W.,” tambahnya yang merakamkan album itu dalam tempoh tiga hari sahaja.

Dalam pada itu, Hijjaz yang dianggotai oleh empat ahli Munif Ahmad, Mohd. Faizal Osman, Isman Nadim Isam dan Ariffin sendiri sudah bertapak lebih 17 tahun bakal mengeluarkan album terbaharu mereka yang ke-20 berjudul Selawat Nabi 2. Jelas Ariffin, album yang dalam proses adunan bunyi itu dijangka akan diterbitkan sekitar hujung tahun ini.


Muhammad ARIFFIN (dua dari kanan), Ustaz Nabil Ahmad, Pengarah Urusan MAP, Nasir Deraman, Ali’Din, Pengarah Pemasaran MAP, Ayob Abd. Majid, dan Pengarah Operasi MAP, Isman Nadim pada majlis mesra media bersama artis di Hadramawt, The Curve, Damansara,baru-baru ini.

“Album itu mengandungi 10 himpunan selawat popular yang digubah semula dan diberikan nafas baharu,” tambahnya.

Selain Ariffin, MAP telah berjaya mengedarkan sembilan lagi album Islamik seperti zikir, selawat dan doa. Antaranya Satu Suara Satu Kalimah yang dianggotai oleh tujuh orang sahabat Poji, Yus, Hadee, Burn Ali, Ejoey, Sham Baro dan Luqman Hakim.

Beberapa buah album lain yang telah diterbitkan oleh MAP ialah Alunan Zikir (Ali Din), Alunan Doa dan Zikir Pagi (Nabil Ahmad), Doa Anak-Anak Soleh (Ibnu Sina) dan single pertama penyanyi baharu Emmet Azmir berjudul Ku Rela Kau Pergi.

Sementara itu, Pengarah Urusan MAP, Nasir Deraman meletakkan keyakinan tinggi terhadap perkembangan jualan album fizikal dalam pasaran muzik Islamik. Katanya, sambutan terhadap album bersifat Islamik masih cerah walaupun berdepan persaingan dengan pasaran muzik komersial dan jualan album digital.

“Lihat saja contohnya Hafiz Hamidun yang berjaya mengutip jualan album lebih 200,000 unit sejak Zikir Terapi dilancarkan dua tahun lalu, hal ini bermakna album Islamik masih mendapat tempat di hati pendengar. Alhamdulillah, kami sudah memiliki lebih 200 wakil pengedar seluruh Malaysia,” ujarnya.


Previous Post Next Post