INILAH foto Amanda tidur di pusat beli-belah yang dirakam paparazi
Pelakon bermasalah, Amanda Bynes dilihat tidur di atas sofa sebuah pusat beli-belah, Beverly Centre di Los Angeles, California pada minggu lalu. Tindakan bintang filem Hairspray itu kemudian telah dirakam oleh paparazi. Bagaimanapun, selepas menyedari gambarnya dirakamkan, Amanda memuat naik status di akaun Twitternya mendakwa bahawa dia tidak cukup wang untuk menginap di hotel.
“Saya tidak diberi wang untuk menginap di hotel, jadi terpaksa tinggal dengan rakan. Disebabkan tidak cukup tidur, saya tertidur di sofa Beverly Centre dan paparazi telah merakam gambar saya,” tulisnya di Twitter.
AMANDA aktres berbakat namun diselubungi masalah mental.
Bukan itu sahaja, pelakon berusia 28 tahun itu juga menyalahkan ibu dan bapanya, Lynn dan Rick Bynes yang dilantik sebagai pemegang akaun kewangan Amanda. Menurut Amanda, mereka gagal menjalankan tanggungjawab dan tidak memberi wang yang cukup untuknya menginap di hotel.
“Saya benci ibu dan bapa kerana mereka tidak memberi wang untuk membayar penginapan di hotel. Apa masalah mereka? Sekarang, peguam saya sedang berusaha untuk mengeluarkan nama mereka sebagai pemegang akaun kerana mereka tidak ada hak untuk mengawal kewangan saya.
“Kehidupan mereka sendiri pun bermasalah dan saya akan tuntut hak ke atas wang saya sendiri,” kata Amanda.