Pertarungan Penyanyi Otai Dalam GegarVaganza Bermula 16 November!



Seramai 12 penyanyi bakal berentap dan diadil dalam sebuah program realiti nyanyian terbaru Astro Ria iaitu GegarVaganza.

Menariknya, 12 penyanyi itu terdiri daripada otai terutamanya dari zaman 80-an dan 90-an. Mereka adalah Mamat (Exist), Hasnol Rahmat, Fazli Zainal, Sam (Innuendo), Ayai Illusi, Haleeda, Nadia, Sharifah Zarina, Fazli Zainal dan Adilla.

Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, program berkenaan memberi peluang kepada peserta mengembalikan semula zaman kegemilangan mereka selain menggunakan platform itu untuk meningkatkan daya keyakinan, kesungguhan, keazaman dan berhibur.




“Pada mulanya kami hanya mahu menampilkan penyanyi one hit wonder sahaja tetapi bila kita fikirkan balik ada baiknya kami beri peluang juga kepada penyanyi dari era 2000 untuk berentap bersama seperti Fazli Zainal dan Ifa Raziah.

“Kami akui kehebatan mereka semua ini dan tiada soal merendahkan taraf artis profesional, perkara itu tidak sepatutnya dibangkitkan kerana program ini tidak melibatkan undian SMS.

“Sebaliknya dua juri tetap terdiri daripada mereka yang profesional dalam bidang muzik akan menilai persembahan peserta mengikut format dan kriteria yang ditetapkan,” katanya pada sidang media program berkenaan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Raqim tidak menafikan ada antara artis terpaksa menolak tawaran sebagai peserta program ini kerana kesibukan waktu masing-masing.

Katanya, juri bertanggungjawab memberi markah sepenuhnya termasuk kehadiran tiga juri jemputan, Mamat Khalid, Salih Yaacob dan Nash (Lefthanded) manakala peserta yang mendapat markah paling rendah akan tersingkir pada setiap minggu.

Hadiah lumayan berupa wang tunai sebanyak RM100,000 menanti juara manakala naib juara (RM30,000), ketiga (RM15,000) dan keempat (RM5,000) berserta trofi setiap pemenang.

Dihoskan pelawak popular Nabil dan Jihan Muse, 'Gegar Vaganza' akan bersiaran mulai 16 November ini di Astro Ria (saluran 104) dan Maya HD (saluran 135).


Previous Post Next Post