Faktor Usia Punca Sam (Bunkface) Dedah Rahsia Peribadi


Sam (Bunkface) lebih terbuka berbicara soal peribadi selepas menjadi tunangan orang.

Vokalis kumpulan Bunkface iaitu Sam lebih terbuka dan matang untuk berkongsi tentang hubungan peribadi dan hubungan cintanya kepada umum berbanding sebelum ini.

Sam atau nama sebenarnya, Shamsul Annuar Mohd. Baharom, 27, berkata, perkara tersebut dipengaruhi faktor usia yang semakin meningkat berbanding awal kemunculannya yang lebih mahukan kehidupan peribadi diberi privasi.




"Dahulu masih terlalu muda dan saya berhati-hati untuk beri kenyataan kerana takut menyinggung perasaan mana-mana pihak.

"Maklumlah dulu saya berkawan dengan ramai perempuan, jika salah cakap ada yang terasa, jadi bila dah tua ini rasa sudah penat dan biarlah seorang sahaja," ujarnya kepada Artis Meletop.

Sam ditemui pada sedang media pelancaran muzik video Malam Ini Kita Punya di pejabat Sony Music Malaysia, Publika di sini, Selasa.

Bunkface dari kiri Paan, Sam dan Youk


Sam berkata demikian ketika ditanya tentang sikapnya yang lebih mudah bercakap soal peribadi berbanding ketika di awal kemunculannya dalam industri muzik iaitu empat tahun dahulu.

Pada majlis tersebut juga Sam turut mengumumkan dia sudah mengikat tali pertunangan dengan penerbit rancangan di TV3, Aida Azira, 27, pada 6 Oktober lalu.

Sam berkata, dia memilih Aida sebagai bakal isterinya berikutan sifat wanita tersebut yang sentiasa bersederhana dalam segala hal.

"Dalam ramai-ramai wanita yang saya kenal dia sahaja yang paling istimewa kerana tidak memandang kebendaan berbanding wanita lain.

"Dia juga sentiasa bersederhana dalam segala hal dan mudah dibawa berbincang," ujarnya.

Menceritakan detik perkenalan dengan wanita itu, Sam berkata, dia mula rapat dengan Aida selepas Aida sering kali menemubualnya empat tahun lalu.

Bagaimanapun, dia benar-benar serius selepas empat tahun mengenali hati budinya.

"Kami kenal lama sebab dia selalu temuramah saya, tapi lepas empat tahu baru kami betul-betul serius.

"Alhamdulilah keluarga tidak pernah menghalang, malah mereka mahu kami percepatkan perkahwinan ini," katanya.


Sam bersama tunangnya, Aida Azira.

Sementara itu, bercerita tentang video muzik terbaharu Malam Ini Kita Punya, Sam berkata ia sudah dimuat naik di YouTube pada Selasa.

Katanya, penggambaran yang dilakukan di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur bersesuaian dengan tajuk lagu tersebut.

"Mesej yang cuba kami sampaikan melalui video ini adalah visual persembahan yang bertenaga dan bersahaja sesuai dengan lagu ini.

"Video ini merupakan kolaborasi dengan Luey Motion Lab dan Motio Fixio yang berjaya menterjemahkan visual ini mengikut tahap piawaian antarabangsa," ujarnya.




Previous Post Next Post