BIGFOOT yang bermaksud kaki besar adalah makhluk misteri bersaiz gergasi yang masih di bawah kajian dan penyelidikan sehingga kini.
Dikatakan makhluk tersebut masih hidup dan menetap di kawasan pergunungan salji antaranya di Amerika Syarikat dan gunung Himalaya China malah sesetengah pihak percaya makhluk ini boleh didapati di seluruh dunia.
Ramai yang mendakwa telah terserempak dengan Bigfoot dan mengatakan makhluk itu bertubuh besar, memiliki gigi yang besar, mata berwarna merah, bulunya berwarna perang gelap atau merah kehitaman dan meliputi seluruh badan. Sesetengah saksi juga melihat
makhluk berbulu seperti seekor gorila dan mempunyai ketinggian 7 hingga 8 kaki.
Bigfoot dikatakan tidak menyerang manusia atau mengganggu manusia sebaliknya akan melarikan diri jika terserempak dengan manusia malah sering berpindah kawasan sekiranya kewujudannya disedari oleh manusia. Ia hanya makan pucuk kayu muda dan akan
menggosokkan badannya pada batang pokok untuk menghilang kegatalan pada tubuh.
Begitulah serba sedikit mengenai sejarah Bigfoot yang menjadi tunjang utama kepada perjalanan filem terbaru arahan Eduardo Sanchez, iaitu Exists.
Filem yang menampilkan barisan muka-muka baru seperti Dora Madison Burge, Brian Steele, Samuel Davis, dan Chris Osborn ini mengisahkan adik-beradik, Brian dan Matt Tover yang telah mencuri kunci kabin milik pak cik mereka yang terletak di Timur Texas.
Mereka juga telah mengajak beberapa rakan lain untuk mengadakan parti pada hujung minggu. Namun dalam perjalanan mereka telah melanggar haiwan misteri yang tanpa mereka sedari merupakan seekor Bigfoot atau juga dikenali dengan nama Sasquatch.
Sebaik tiba di kabin, mereka telah diekori oleh Bigfoot tersebut, sehingga menakutkan rakan yang lain. Menyedari keselamatan mereka terancam, mereka mengambil keputusan untuk pulang pada keesokannya.
Namun mereka harus memikirkan jalan lain untuk pulang setelah kereta mereka dirosakkan dan sekali gus membuatkan mereka terkandas di situ.
Plot ringkas
Secara keseluruhannya, apa yang boleh penulis katakan, plot filem ini bergerak ringkas, pendek kata, dalam masa 10 minit, penonton sudah dikejutkan dengan babak pelanggaran.
Biarpun kisah Bigfoot yang kita sering dengar membuatkan kita terfikir haiwan ini tidak akan keluar mendekati manusia, namun Sanchez telah mengubahnya.
Dek kerana Matt telah melanggar Bigfoot tersebut, ia seolah-olah berdendam dengan lima sekawan ini dan mula menyerang seorang demi seorang.
Meskipun perjalanan cerita boleh di agak, namun ia tidak sedikit pun mengganggu mood penonton untuk mengetahui apa yang berlaku seterusnya dan seterusnya.
Turut menggunakan teknik 'found footage' atau penggambaran secara langsung membuatkan anda yang tidak biasa mungkin berasa sedikit pening dengan kamera yang bergoyang-goyang.
Begitu juga dengan pencahayaan filem ini yang agak terbatas dan membuatkan anda terpaksa membuka mata seluas mungkin tatkala tiba pada babak yang gelap.
Gandingan baru
Selain itu, dari sudut lakonan pula, biarpun masih baru, namun penulis puji mereka kerana memberi keberkesanan lakonan yang baik.
Bila tiba babak menakutkan, mereka berjaya mengemudi tanpa perlu pekikan yang berlebihan.
Malah keserasian anda setiap pelakon tampak realiti, tanpa di buat-buat hanya kerana tuntutan tugas dan watak semata-mata.
Dan keseluruhannya, walaupun tampak seperti sebuah filem berbajet kecil, namun ia tetap mempunyai keistimewaan tersendiri.
Bagi anda yang ingin mengetahui nasib lima sekawan ini, jangan lupa untuk menyaksikan filem Exists, di pawagam.