Gementar seorang lelaki bernama Fahrin Ahmad



Malam ini bakal terjawab penantian siapa yang bakal membawa pulang 31 kategori yang dipertandingkan di Anugerah Skrin (ASK) 2014 merangkumi drama, filem, penerbitan dalaman dan teknikal.

ASK 2014 dipancarkan secara langsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menerusi TV3.

Malam ini turut menyaksikan Fahrin Ahmad bertindak sebagai hos bergandingan dengan selebriti popular dalam setiap segmen, antaranya, Zul Ariffin, Nabila Huda, Shukri Yahaya, Tasha Shilla, Fiza Sabjahan, Fara Fauzana dan Amyra Rosli untuk mengemudikan majlis penganugerahan berprestij ini.

Fahrin yang dihubungi mengakui satu perkara normal yang menyelubungi dirinya ialah perasaan gementar setiap kali diberi mandat mengacarakan sesebuah program.

Hakikatnya bidang pengacaraan bukan sesuatu yang baru buat lelaki berbadan tegap ini.




"Bagi saya, kalau sesiapa ada perasaan gementar ia suatu yang biasa. Kalau tak gementar, itu boleh mendorong kepada suatu rasa terlalu yakin diri. Tambahan pula ASK ini menjadi acara yang dinanti-nantikan ramai dan bertambah gementar apabila saya menjadi hos utama pula.

"Berbalik kepada konsep ASK 2014 kali ini iaitu elegan dan klasik, saya cuba untuk menyampaikan apa saja malam ini dengan cara 'straight forward'. Saya akan cuba menjadi diri sendiri tanpa terlalu mencuba. Saya juga akan bergandingan dengan selebriti lain juga," katanya yang akan menggayakan dua persalinan tajaan Lord's Tailor.

Tambah Fahrin lagi, beliau melihat sesi latihan itu perlu dan wajar untuk dilaksanakan bagi memastikan kelancaran sebelum acara sebenar berlangsung.

Fahrin mula berkampung di PWTC sejak semalam.

"Terima kasih di atas peluang ini. Ini kali pertama saya diberi mandat mengacarakan program terbitan Media Prima," katanya yang sudah tiga kali mengacarakan Festival Filem Malaysia.

Mengenai perkembangan seninya, pelakon drama Yes Bos itu akan sibuk dengan acara promosi yang memerlukan kehadirannya selain memberikan ceramah dan memenuhi tawaran mengacara.

Bulan ini saja Fahrin sudah ditempah untuk mengacarakan bagi empat kelima acara.

"Insya-Allah tawaran berlakon masih ada. Kalau jadi saya akan berlakon mulai Disember ini," katanya.

ASK diperkenalkan TV3 sejak 1994. Tahun lalu drama Mawar Putih Tanda Perpisahan merangkul trofi Drama Terbaik, Videografi Terbaik dan Lakon TV Terbaik manakala drama Aku Bukan Malaikat pula berjaya merangkul trofi Pengarah Terbaik Drama dan Pelakon Wanita Terbaik Drama.

Tahun ini, ASK 2014 turut memperkenalkan dua kategori baharu bagi memenuhi peredaran masa yang kini aktif dengan media sosial dan juga peruntukan bajet dalam menghasilkan kelainan dan pengisian produksi terbaik iaitu 'Drama Bersiri Terbaik Di Laman Sosial' dan 'Drama Premium Terbaik'.

Drama Bersiri Terbaik di Laman Sosial akan memberi pengiktirafan kepada drama bersiri yang menjadi bualan hangat penonton di laman sosial media sewaktu siaran dan juga mendapat 'trending' di laman sosial pada setiap episod atau semasa waktu bersiaran.

Kategori Drama Premium Terbaik pula terbuka kepada peruntukan drama yang bernilai RM150,000 ke atas dan mempunyai nilai sinematografi dan fotografi yang artistik.

Pemenang bagi kategori Drama Bersiri Terbaik di Laman Sosial bakal ditentukan oleh jumlah undian orang ramai menerusi laman Twitter bermula 24 Oktober lalu hingga 7 November 2014.

Lima drama bersiri yang tercalon iaitu Ariana Rose (#ask2014#undiariana), Ammara Batrisya (#ask2014#ammara), Evolusi KL Drift The Series (#ask2014#evolusi), What If (#ask2014#undiwhatif) dan Aku Ada Wali (#ask2014#undiwali).

ASK 2014 turut dihangatkan oleh stesen radio Hot FM selaku rakan media. Sidang penerbitan ASK 2014 diketuai oleh Puan Khalijah Mohamed selaku Penerbit Eksekutif dan Azman Abdul Gafar sebagai penerbit.

Layari laman web rasmi ASK 2014 www.anugerahskrin.com dan www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Twitter & Instagram TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini.

Pengguna laman sosial Twitter juga boleh menggunakan #ask2014 untuk menghangatkan lagi acara Anugerah Skrin 2014.


Previous Post Next Post