Sangkakan Kaer Azami tidak lagi akan menyanyi selepas menceburi bidang fesyen menerusi label Kazami dan Quhji namun baru-baru ini bintang Akademi Fantasia musim kedua itu memberitahu akan muncul dengan lagu terharunya.
Lagu berjudul Andai ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik oleh Abi Abdullah itu bakal dipromosikan tidak lagi dan sekarang dalam fasa perancangan untuk menghasilkan klip video.
Sebelum ini, Kaer pernah meledak dengan lagu Izinku Pergi juga daripada ciptaan Azlan.
Lagu berkenaan pernah memenangi kategori Balada Anugerah Juara Lagu kali ke-22 tetapi dinyanyikan Sahri.
Sebelum ini, Kaer pernah muncul dengan album Menjelma pada 2007, album pembungkusan semula, Unique (2009), Berakhir Di Sini (2011) dan A New Chapter (2012). Ikuti temubual Kaer baru-baru ini bersama BH Online.
"Selama ini saya banyak dihujani pertanyaan dan persoalan di laman sosial selain ada yang bertemu depan mata mahukan saya menyanyi semula. Jelas di sini biarpun saya dilihat sudah tak aktif menyanyi, mereka semua masih mahu mendengar saya menyanyi.
"Sejujurnya saya merindui dunia nyanyian. Cuma selama ini, saya akui pernah merajuk dengan industri hiburan. Dulu stesen radio tak menyokong. Malah saya sendiri tertanya genre muzik apa yang mereka mahukan sebenarnya.
"Tapi tak mengapa, saya mengharapkan 'come back' ini setidak-tidaknya dapat mengubat rindu penyokong dan penggemar muzik saya. Jadi terimalah Andai yang berkonsepkan pop balada tak lama lagi ya!," katanya yang merakamkan lagu Andai sejak dua bulan lalu.
Kaer turut memberitahu label fesyennya, Quhji juga akan dipasarkan di New York dan Paris selain Kazama masih dijual di beberapa negara Asia.