HAFIZ mengaku kewangan dan kerjayanya sudah stabil untuk berkahwin.
JEJAKA dengan nama pentas Hafiz Suip ini pandai menyimpan kisah cintanya. Selepas putus dengan penyanyi Adira beberapa tahun lalu, kisah peribadi Hafiz tertutup kemas tanpa dihebahkan untuk pengetahuan khalayak umum.
Walau bagaimanapun, beberapa minggu lalu, penyanyi yang berusia 22 tahun itu difahamkan terbang ke Perth, Australia untuk berlibur dan meluangkan masa bersama seorang wanita yang dipercayai kekasih baharunya.
Tidak pergi berdua-duaan, percutian pelantun lagu Matahari itu bersama kekasihnya turut disertai kaum keluarga terdekat si gadis.
Mengakui pergi ke sana atas urusan peribadi dan kerja, Hafiz yang ditemui pada majlis sidang akhbar Konsert Krisdayanti Live In KL 2014 di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini akhirnya membuka mulut. Dia mengakui, wanita berusia 22 tahun merupakan kekasihnya dan mereka kini serius dalam sebuah hubungan bernama percintaan.
Masih enggan mendedahkan identiti kekasihnya itu, namun Hafiz tidak menolak kemungkinan untuk menamatkan zaman bujang jika ada jodoh bersama gadis tersebut.
Kosmo!: Benarkah Hafiz ada bercuti ke Perth, Australia bersama seorang wanita yang kini bertakhta di hati anda sebagai kekasih?
HAFIZ: Ya, saya terbang ke sana beberapa minggu yang lalu. Kami ke sana bukan untuk bercuti semata-mata. Tetapi, saya dipelawa oleh keluarga kekasih saya untuk melihat tapak projek yang diuruskan oleh syarikat bapanya di Perth. Selain itu, kami juga menyambut hari ulang tahun ibu kekasih saya di sana.
Anda dilihat begitu rapat dengan keluarga kekasih anda. Adakah anda akan menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat?
Saya dan kekasih saya serius dalam hubungan. Kalau boleh, saya mahu ke fasa seterusnya (pertunangan) dengan kadar segera. Tidak elok jika kita menangguhkan perkara baik. Buat masa ini saya tidak mahu terburu-buru membuat keputusan. Lagipun, dia masih lagi melanjutkan pelajarannya dalam bidang perakaunan di salah sebuah universiti di ibu negara.
Jadi, bilakah anda bercadang untuk mengikat tali pertunangan?
Mungkin tahun hadapan.
BERDUET dengan Krisdayanti merupakan impian Hafiz.
Nama anda sedang berada di puncak. Adakah anda tidak risau populariti anda akan jatuh jika anda mengambil keputusan untuk berkahwin?
Tidak sama sekali. Jika sudah jodoh, apa salahnya berkahwin? Pada pendapat saya, ini masa yang sesuai untuk memikirkan tentang masa hadapan sementelah karier dan kewangan sudah stabil.
Anda terpilih untuk bergandingan dengan Krisdayanti menerusi konsertnya yang akan berlangsung pada 22 November depan di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Apakah perasaan anda apabila diberitakan dengan tawaran tersebut?
Sejujurnya, saya berasa sangat teruja dan berdebar-debar. Ini merupakan impian yang telah lama saya cita-citakan. Bukan senang untuk berkongsi pentas dan berduet bersama diva nombor satu dari Indonesia itu.
Apakah yang boleh dijangkakan oleh peminat menerusi konsert itu nanti?
Kami akan berduet menerusi lagu Ombak Rindu dan Cinta. Selain itu, saya akan menyanyikan sebuah lagu secara solo.
Anda dilihat sering berduet dengan artis wanita tersohor. Adakah anda semakin selektif?
Tidak sama sekali. Ini semua rezeki dan saya tidak menolak jika diberi peluang sebegini.
Apakah perkembangan terbaharu anda?
Saya akan kembali ke studio tidak lama lagi bagi merakamkan sebuah lagu yang diciptakan oleh Ajai. Tajuknya masih belum diputuskan, namun, apa yang istimewa, saya akan berduet bersama Misha Omar.