Rozita, Zain tidak sorok anak



ROZITA CHE WAN selamat melahirkan bayi perempuan secara normal. Dia dan suami bagaimanapun belum memilih nama bagi anak sulung hasil perkahwinan mereka itu.

BERDEBAR, teruja dan takut, dirasai oleh pelakon Zain Saidin saat isterinya, pelakon jelita Rozita Che Wan atau Che Ta sedang bertarung nyawa untuk melahirkan puteri sulung mereka.

Tepat pukul 2.18 petang pada 1 November lalu, Che Ta selamat melahirkan bayi perempuan secara normal di hospital yang menaja sepenuhnya proses kelahiran tersebut iaitu di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur. Tutur Zain ketika dihubungi Kosmo! semalam, dia berada dalam fasa baharu apabila secara rasmi sudah bergelar bapa.

“Saya sentiasa berada di samping isteri sepanjang proses kelahiran. Memang takut dan berdebar pada mulanya namun, selepas melihat sendiri anak keluar saya terus teruja. Sampai sekarang saya seolah-olah sedang bermimpi sebab masih tidak percaya yang saya sudah ada anak,” kata Zain berkongsi rasa.




Tambahnya, kehadiran anak perempuannya itu memberi kebahagiaan berganda bukan sahaja buat dirinya tetapi juga untuk seluruh anggota keluarganya.

“Memang saya terlalu gembira sehingga tidak tahu mahu gambarkan dengan perkataan. Alhamdulillah semuanya selamat. Anak dan ibunya sihat. Seluruh keluarga juga sudah datang melawat, mereka juga terlalu gembira dengan kelahiran ini,” ujar Zain.

Apabila disoal tentang nama anaknya, Zain merahsiakannya dengan memberitahu mereka masih dalam proses mencari nama yang sesuai.

“Soal nama kami masih belum boleh kongsi kerana masih mencari nama yang sesuai. Insya-Allah pada majlis cukur jambul yang akan berlangsung pada hari ketujuh usia anak (Jumaat), saya akan umumkan nama anak. Bagaimanapun majlis cukur jambul itu hanya majlis kecil sahaja untuk keluarga,” terangnya.

Tidak seperti selebriti lain yang merahsiakan wajah anak sehingga berusia dua bulan, Zain dan Che Ta pula selesa untuk berkongsi kegembiraan ini bersama semua pihak. Buktinya, Zain dan Che Ta memuat naik gambar anaknya itu di akaun Instagram masing-masing sebaik sahaja proses kelahiran selesai.

“Saya dan isteri tidak akan sorok anak. Kami selesa untuk berkongsi berita gembira ini dengan semua orang. Sungguhpun begitu, tidak bermakna kami menjual wajah anak kami. Apa yang boleh dikongsikan kami akan kongsi. Bergambar dengan pihak media juga tidak ada masalah tetapi tunggulah sehingga anak saya berusia tiga bulan, waktu itu dia sudah besar.

“Sekarang ini, dia masih terlalu kecil. Saya pun takut untuk membawanya keluar kerana sistem imun bayi belum kuat sepenuhnya. Nampaknya, selepas ini anak saya akan berehat dan diperap di rumah bersama ibunya buat sementara waktu. Apabila mereka berdua sudah sihat dan kuat sepenuhnya barulah mereka boleh keluar,” akui Zain yang menggelar dirinya daddy.



Zain SAIDIN bersama bayi perempuannya yang selamat dilahirkan pada pukul 2:18 petang dengan berat 2.8 kilogram di Hospital Ampang Puteri pada 1 November lalu.

Bercakap tentang pelbagai tajaan dan program eksklusif bersama pihak Astro yang diperolehi oleh Che Ta sejak mengumumkan dirinya hamil, Zain melihat itu sebagai rezeki anaknya.

Meskipun menerima kritikan segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan tajaan yang diraih isterinya, Zain mengambil sikap positif dan tidak mengendahkan kata-kata negatif.

“Orang boleh kata apa sahaja. Sebagai suami, saya lihat ia sebagai rezeki yang diberi Allah untuk isteri dan anak saya. Jika sudah diberi rezeki, tidak mungkin kita akan menolaknya. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan teratur dan mudah,” balas Zain yang memberitahu isterinya hanya berpantang di Kuala Lumpur sahaja.

Sebelum menutup bicara, Zain sempat berkongsi harapan terhadap anaknya. Katanya, dia mahu melindungi anaknya dengan sepenuh hati dan berharap hanya perkara yang terbaik buat anaknya itu.

“Saya harap dapat lindungi dia (anak). Kalau boleh biarlah perkara yang buruk terjadi pada saya sahaja, bukan pada dia. Saya bukan minta perkara yang buruk tetapi daripada menimpa anak lebih baik saya yang menanggungnya,” kata Zain jujur.

Zain dan Che Ta telah mendirikan rumah tangga pada 11 Disember 2013. Sebelum itu, Che Ta sudah memiliki dua orang anak iaitu Ammar Effendy, 18, dan Aniq Ezzra, 16, menerusi perkahwinan terdahulu.


Previous Post Next Post