Izreen ingin membuka buku baru untuk meneruskan kehidupannya tanpa memikirkan kenangan lalu
Pelakon Izreen Azminda memberitahu tindakan dia membuang gambar-gambarnya yang dimuat naik di Instagram kerana enggan mengenang kembali memori lama yang boleh menyebabkan hatinya berasa sedih.
Izreen atau nama sebenarnya Izreen Azminda Aznam, 29, berkata, pada mulanya dia ingin membuang gambar-gambar tertentu sahaja, tetapi bimbang tindakan itu mengundang persepsi tertentu orang ramai menyebabkan dia membuat keputusan membuang kesemua gambar dalam Instagram miliknya itu.
"Saya memang seorang yang aktif memuat naik apa saja gambar di Instagram sejak tahun lalu lagi.
"Tetapi apabila melihat beberapa gambar lama yang sudah menjadi kenangan, perasaan saya jadi sayu. Kalau nak ikutkan hati, hanya beberapa gambar saja yang nak dikeluarkan, tapi saya buang semua. Yalah... takut jadi isu pula," katanya kepada mStar Online.
Tambah Izreen, dengan cara itu juga, sekurang-kurangnya dia dapat 'membuka buku baru' untuk meneruskan kehidupannya tanpa memikirkan kenangan lalu.
Setakat Khamis, akaun Instagram miliknya mempunyai tujuh keping gambar yang dimuat naik bermula 10 November lalu.
Sementara itu, Izreen turut meluahkan perasaan sedih kerana berjauhan dengan anaknya, Muhammad Adrian Umar yang kini berusia 16 bulan. Anaknya itu dijaga oleh keluarganya di Jitra, Kedah.
Izreen bersama anaknya, Umar
Tindakan itu kata Izreen adalah satu pengorbanan besar bagi memastikan anaknya menjalani kehidupan yang normal selain mendapat perhatian dan kasih sayang yang cukup.
"Saya risau, apabila Umar tinggal bersama saya, dia tidak dapat cukup perhatian kerana kesibukan saya bekerja.
"Sekurang-kurangnya di kampung, keluarga saya dapat memberi kasih sayang secukupnya selain dia dapat bergembira seperti kanak-kanak lain. Cuma risau juga, mana tahu dia dah tak kisah sangat dengan saya. Tetapi saya akan pastikan bertemu dengan Umar sekurang-kurangnya sebulan empat kali," tuturnya.
Izreen pernah berkahwin dengan seorang jurukamera, Muhammad Riza pada 31 Ogos 2012 dan bercerai pada 9 Jun 2014.
Dalam perkembangan lain, Izreen bakal terlibat dengan pementasan teater Takhta 3 Ratu bersama Erra Fazira, Awie, Soo Wincci dan Datuk Rahim Razali yang bakal dipentaskan bermula 13 hingga 22 Disember depan di Istana Budaya.
Takhta 3 Ratu mengisahkan tentang puteri Majapahit iaitu Galuh Chenderai (Izreen) yang berkahwin dengan Sultan Mansur (Azri Iskandar) terluka hati apabila suaminya itu mengambil keputusan mengahwini Puteri Hang Li Po (Soo Wincci) bagi mengukuhkan pertalian persahabatan antara Melaka dan China.
Dalam persengketaan antara Galuh Chenderai dan Li Po, kedua-dua mereka terduduk apabila Sultan Mansur mahu menikahi Lela Wangsa (Erra), iaitu puteri kepada Maharaja Dewa Sura, pemerintah Inderapura yang cuba hendak menyerang Melaka.
Tiket berharga RM50 hingga RM350 boleh dibeli di kaunter IB atau melayari laman www.airasiaredpix.com