Kembara janji persembahan terbaik



LEBIH kurang seminggu sahaja lagi, kumpulan Kembara bakal menghiburkan peminatnya di pentas Istana Budaya.

Mengakui teruja untuk kembali beraksi setelah 28 tahun tidak muncul membuat persembahan di negara ini, Kembara menjanjikan yang terbaik buat penonton yang hadir.

Berkongsi persiapan konsert yang bakal berlangsung pada 21 sehingga 23 November ini, vokalis utamanya, Datuk Dr M Nasir memberitahu ia telah dijalankan sejak tiga bulan lalu.




“Alhamdulillah, biarpun memang ada cabaran untuk berkumpul semula, tapi tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan.

“Sejak Ogos lagi, kami sudah menjalani proses latihan dan kini kami berada dalam persiapan hari- hari terakhir.

“Dari proses pemilihan lagu sehinggalah persembahan keseluruhan, semuanya berjalan dengan lancar,” ujarnya ketika ditemui pada sesi latihan Konsert Hati Emas Kembara di studio Bsync Production, kelmarin.

Tambahnya, kerinduan untuk beraksi di pentas adalah pembakar semangat buat anggota Kembara untuk menghiburkan peminatnya.

“Bayangkan sudah lama kami tidak berkumpul seperti ini, mungkin ada sedikit masalah untuk bertemu. Kali terakhir pun kami bersama untuk konsert di Singapura.

“Tapi demi kerinduan beraksi di pentas, kami jadi lebih bersemangat untuk merealisasikan konsert ini.

“Pada masa yang sama, kami juga tidak lupa untuk menjaga kesihatan maklumlah semuanya sudah berusia,” katanya berseloroh.




Imbau nostalgia

Bercerita lanjut mengenai konsert itu, salah seorang anggotanya yang dikenali sebagai, A. Ali memberitahu Kembara bakal mengembalikan semual nostalgia penonton yang hadir.

“Konsert kali ini, kami akan tonjolkan persembahan yang tersendiri di mana secara keseluruhan kami masih lagi mementingkan vokal harmoni, muzik kerakyatan dan alunan gitar akustik yang tidak lari dari genre yang kami ketengahkan sebelum ini.

“Sebahagian lagu kami akan bawa seperti mana ia direkodkan sebelum ini dan sebahagian lagi kami cuba susun semula muziknya supaya ia lebih bersesuaian dengan peredaran masa kini.

“Pada malam konsert kita akan mempersembahkan lebih daripada 20 buah lagu dalam masa dua jam setengah. Harapan kami semoga persembahan ini bakal mengubati kerinduan peminat yang sudah lama menantikan peluang ini,” katanya.

Setakat ini, difahamkan lebih 80 peratus penjualan tiket telah dilakukan dan bagi peminat Kembara yang berminat untuk menyaksikan konsert ini, tiket boleh didapati terus di kaunter Istana Budaya atau di laman web www.ticket2u.biz.
Previous Post Next Post