DI meja harapan Syamsul Yusof, tersaji sepiring impian yang berkecai dan segelas harapan yang hampir kering. Dibiarkan tidak terusik, tersadai tanpa disentuh, namun tiupan semangat jiwanya ternyata masih kencang. Hati yang dahulunya kering itu dibasuh, dibilas dan digubah semula menjadi iltizam baharu menyambung nafasnya.
Bagi pelakon dan pengarah muda yang hasil kerjanya pernah dirompak dan diedarkan tanpa belas sekitar penghujung tahun lalu, harus diakui pengalaman itu membuahkan kekesalan dan rajuk yang berpanjangan.
Filem KL Gangster 2 yang dibikin dengan bajet melebihi RM4.5 juta itu telah mencalar kredibiliti Syamsul. Naskhah tersebut telah dibocorkan oleh individu tidak bertanggungjawab sekitar bulan Ogos 2013. Insiden itu berlaku sekitar dua bulan sebelum tarikh tayangan asal yang dijangkakan pada Oktober tahun sama.
Kerosakan jiwa yang ditanggung itu mendatangkan keputusan drastik untuknya bersara dari dunia seni. Pernah memencilkan diri daripada memberikan ulasan kepada peminat atau media, Syamsul kini menoktahkan sayembara dukanya itu.
Pasrah mendepani situasi yang telah berlaku, Syamsul, 30, mahu memulakan fasa baharu dalam kehidupannya. Anak kepada sutradara tersohor Datuk Yusof Haslam itu mengakui sudah bertemu kebahagiaan yang dicari.
“Fasa itu sudah berlalu dan saya mencari diri saya yang lebih baik berbanding sebelum ini. Alhamdulillah, saya sudah bertemu dengan kebahagiaan dan dikurniakan rezeki selepas mendirikan rumah tangga. Saya bertemu sinar baharu untuk terus berjuang dan kembali berkarya.
“Boleh dikatakan perkahwinan telah membasuh kelukaan dan rajuk saya selama ini. Walau apa pun yang berlaku, saya sentiasa disokong oleh keluarga dan isteri, terutamanya ibu saya (Datin Patimah Ismail) yang telah menjadi pendorong paling kuat untuk saya kembali bekerja,” getus suaranya jauh di hujung talian.
Perkahwinan dan keluarga mengajar Syamsul erti kesabaran untuk bangkit berjuang.
Pasrah
Bercerita mengenai alam baharu dalam kehidupannya selepas mendirikan rumah tangga bersama isterinya yang merupakan seorang pelakon, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 29, pada 8 Mac lalu, Syamsul memanjatkan kesyukuran biarpun isterinya pernah keguguran ketika kandungan baru mencecah usia dua bulan.
“Siapa tidak bahagia apabila dikurniakan seorang isteri penyayang yang sentiasa menjaga makan minum dan sentiasa bersama ketika susah. Walaupun keguguran baru-baru ini, namun saya melihat dia (isteri) seorang wanita yang kuat dan cekal menghadapi ujian tersebut.
“Sebagai manusia saya memang rasa kecewa dan sedih atas kejadian yang berlaku, namun saya percaya kepada qadak dan qadar-Nya. Saya bersabar serta reda atas pemergian itu,” tambah Syamsul.
Penilaian itu turut diletakkan dalam skop kerjayanya. Kata Syamsul, dia bersedia seandainya selepas ini berdepan pancaroba yang lebih getir berbanding dugaan yang terjadi kepada filem kelapan arahannya itu.
“Saya reda atas apa yang berlaku terhadap filem KL Gangster 2. Kekuatan itu saya kumpulkan untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang. Harus diakui saya mempunyai rekod pengarahan yang tidak mengecewakan dan kebanyakan filem arahan saya juga tidak pernah gagal.
“Sebagaimana kejayaan yang diraih, begitu jugalah ujian yang didatangkan kepada saya. Tahun lepas mungkin ujian terbesar untuk saya sebagai seorang anak seni yang meletakkan sepenuh harapan dalam berkarya,” ujarnya.
Syamsul sudah kembali berlakon sejak tiga bulan lalu. Produksi pertamanya ialah drama bersiri Gerak Khas di bawah arahan bapanya sendiri, Datuk Yusof Haslam.
Soal bersara
Ekoran itu, Syamsul mengejutkan industri hiburan apabila dia mengambil keputusan untuk bersara daripada menghasilkan filem dan berlakon. Hal itu juga membuatkan pelakon filem Gangster Celop itu memencilkan diri daripada peminat dan media.
Mengulas mengenai keputusan tersebut, kata Syamsul, dia mengakui pernah terlintas untuk bersara, namun tindakan itu dirasakan tidak adil buat diri dan individu di sekelilingnya yang selama ini tidak jemu menyokong jatuh bangunnya.
“Kenyataan itu bukan keluar daripada mulut saya dan semuanya adalah khabar angin. Terus terang saya katakan, memang ada terlintas di fikiran saya untuk bersara tetapi saya tidak akan berhenti membuat sesuatu yang saya betul-betul minat.
“Allah memberikan kita bakat, jadi saya tidak mahu mensia-siakan anugerah itu. Saya rasa, saya patut berada dalam industri ini, jadi saya akan teruskan kerjaya saya. Bagi saya, ini hal biasa. Dalam hidup, memang akan ada halangan dan naik turunnya, jadi saya mengambil masa untuk memulihkan kembali semangat dan bangkit berjuang. Soal bersara itu tidak ada!” tegasnya.
Syamsul juga sudah kembali berlakon sejak tiga bulan lalu menerusi drama bersiri kepolisan popular Gerak Khas dengan memegang peranan sebagai Superintendan Jefri. Dia juga akan membintangi sebuah filem berjudul Disolasi arahan adiknya, Syafiq.
Dalam perkembangan lain, Syamsul bakal kembali menduduki kerusi pengarah menerusi filem seram keduanya, Munafik yang bakal menjalani penggambaran tahun depan dan memberikan ruang rehat seketika daripada mengarahkan filem genre aksi.
Semarak semangatnya untuk kembali mengarah disatukan bersama api ghairah pendukung anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-26 (FFM26) menerusi filem KL Gangster 2, Datuk Rosyam Nor. Dia mahu menggarap dan mengupas watak ikonik Tailong dalam filem tersebut untuk dijadikan sebuah filem baharu tidak lama lagi.
Syamsul melihat setiap kejadian yang berlaku mempunyai hikmah. Kini, pelakon dan pengarah itu sudah bersedia untuk kembali ‘berperang’.
Pengiktirafan FFM26
Di sebalik segala kontroversi filem KL Gangster 2, filem yang dilakonkan sendiri olehnya itu telah mengutip tiga anugerah pada FFM26 yang berlangsung di Auditorium Tuanku Puan Chik, Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Senawang, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Filem berkenaan telah memenangi Anugerah Penyunting Terbaik hasil paduan tenaga Syamsul dan Hisyam Jupri selain menjulang Rosyam Nor sebagai pemenang trofi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik FFM26 menerusi watak Tailong dalam filem tersebut. Filem yang dibintangi juga oleh Adi Putra, Aaron Aziz, Zizan Razak dan Sheera Iskandar itu turut memenangi trofi Penataan Bunyi Terbaik.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana ini merupakan kemenangan kali ketiga untuk kategori Penyunting Terbaik. Mungkin sebelum ini orang melihat saya lebih kepada dunia lakonan dan pengarahan tetapi sebenarnya saya amat menitikberatkan soal suntingan kerana kerja itu mengambil masa yang panjang untuk disiapkan. Juri nampak ketelitian di situ dan saya rasa amat bersyukur.
“Memang saya tidak menjangka sama sekali akan memenangi trofi yang sama pada tahun ini. Memang ada banyak syot dalam setiap babak dalam filem KL Gangster 2 tetapi itu bukanlah tiket utama untuk saya menang.
“Ia berbalik kepada cerita itu juga, sekiranya jalan cerita itu perlahan tetapi percaturan kreativiti (banyak syot) harus tepat pada masanya. Jika perkara itu ada dalam filem lain, tidak mustahil filem itu juga boleh menang. Jadi, keputusan terletak di tangan juri dan setiap filem pada saya ada keunikan dari segi suntingan,” kata Syamsul yang ditemui usai malam anugerah FFM26 tersebut.
Secara peribadinya, Syamsul melihat filem yang diarahkan sutradara berpengalaman seperti Mamat Khalid (Rock Oo) dan Kabir Bhatia (Sembunyi: Amukan Azazil) mempunyai potensi untuk diangkat sebagai pemenang anugerah Filem Terbaik FFM26, namun dia tidak menyangkal kredibiliti pengarah muda, Nik Amir Mustapha yang menghasilkan filem KIL sehingga filem itu diangkat sebagai filem terbaik tahun ini.