DIAM tak diam vokalis kumpulan Bunkface, Sam rupa-rupanya sudah lebih sebulan bergelar tunangan kepada kekasihnya, Aida Azira Hussin.
Pertunangan mereka berlangsung dalam sebuah majlis yang sederhana di kediaman keluarga wanita berkenaan di Masjid Tanah, Melaka pada 6 Oktober lalu.
Umum sebenarnya sudah lama mengetahui bahawa Sam atau nama sebenarnya, Shamsul Annuar Mohd. Baharom, 27, sudah empat tahun menjalinkan hubungan cinta bersama Aida, 27.
Desas-desus yang mendakwa bahawa Sam dan Aida bakal mendirikan rumah tangga sekitar penghujung tahun ini juga sudah lama bertebaran, namun masuk ke fasa yang lebih serius, pasangan itu bijak merahsiakan majlis pertunangan mereka.
Ditemui pada sidang akhbar pelancaran video muzik lagu Malam Ini Kita Punya di pejabat Sony Music Malaysia di Publika, Kuala Lumpur, Selasa ini, Sam menjawab segala teka-teki yang bersarang di minda khalayak.
KOSMO!: Hubungan Sam dan Aida memang sudah diketahui umum, namun kalian belum pernah memberikan kenyataan berhubung perancangan untuk berkahwin. Adakah anda akan berkongsi sesuatu kali ini?
SAM: Ya. Mungkin ada khabar angin yang mengatakan saya dan Aida akan berkahwin penghujung tahun ini, namun saya mahu menjelaskan bahawa sebenarnya kami sudah pun bertunang pada 6 Oktober lalu, iaitu pada Hari Raya Aidiladha di rumah keluarganya di Melaka.
Alhamdulillah, majlis berlangsung dengan sempurna walaupun tidak mengikut perancangan asal.
Apakah yang anda maksudkan dengan tidak mengikut perancangan asal?
Mulanya majlis itu sekadar majlis merisik dan kami tidak membuat persiapan secara lengkap. Saya sekadar menunggu di luar rumah Aida sahaja.
Saya serahkan kepada keluarga untuk membuat perbincangan, tidak sangka pula daripada niat hendak merisik, majlis itu menjadi majlis pertunangan.
Adakah anda sudah menetapkan sebarang tarikh untuk berkahwin?
Buat masa sekarang belum ada sebarang tarikh rasmi yang diputuskan. Kami mahukan hubungan ini berkembang dengan sendiri dan sekiranya masing-masing sudah bersedia, kami akan berkahwin.
Saya tidak menetapkan sasaran berapa lama lagi, mungkin selepas selesai siri jelajah Bunkface sempena album ketiga kami yang baru sahaja dilancarkan bulan lepas, barulah saya akan memikirkan soal mendirikan rumah tangga.
VOKALIS Bunkface, Sam merahsiakan majlis pertunangannya pada bulan lalu kerana tidak mahu publisiti album baharu, Malam Ini Kita Punya bertindih dengan kisah peribadi.
Kenapakah hal pertunangan itu dirahsiakan daripada pengetahuan umum?
Kebetulan album Bunkface dilancarkan bulan lepas dan majlis itu pun berlangsung dalam tempoh sama, jadi saya tidak mahu mengganggu fokus promosi album Bunkface.
Tujuan, saya membuat pengumuman ini juga bagi mengelakkan khabar angin yang tidak tepat mengenai hubungan kami. Saya pun enggan membuat Aida tertekan dengan pelbagai soalan daripada pihak luar.
Apakah kelebihan Aida sehingga membuatkan Sam serius menyuntingnya dan bagaimanakah dia mengubah hidup anda?
Selain cantik dan baik hati, seperkara yang membuatkan saya terpikat dengan Aida ialah dia selalu mengejutkan saya bangun solat Subuh. Jarang saya bertemu dengan wanita yang memiliki kriteria tersebut.
Kalau ada sebelum ini pun, ada yang hanya mengejar duniawi. Saya dapat rasakan dia adalah individu yang tepat untuk mengubah saya menjadi seorang yang lebih baik.
Ada satu peringkat dalam kehidupan kita yang mencetuskan perasaan bahawa setiap perkara yang terjadi ada maknanya. Saya fikir buat apa mahu menunggu terlalu lama untuk mengikat tali pertunangan.
Boleh ceritakan sedikit proses awal perhubungan kalian?
Pada mulanya, dia (Aida) hanyalah salah seorang daripada wartawan penyiaran yang sering menemu bual saya untuk rancangan bawah kendaliannya.
Kemudian, apabila sering bertemu, kami mulai rapat dan akhirnya menjadi kawan. Hampir dua tahun kami berkenalan dan akhirnya sejak dua tahun lepas kami serius sehingga dia kini bergelar tunang saya.
Beralih kepada perkembangan terbaharu Bunkface, siapa yang mengilhamkan konsep video muzik Malam Ini Kita Punya?
Idea dan konsep itu datang daripada anggota Bunkface sendiri. Idea itu berkembang setelah perbincangan bersama pengarah video muzik ini, Zul Luey dan pengarah fotografi, Fariz Hanapiah yang sudah banyak membikin video muzik penyanyi terkenal.
Berdasarkan judul lagu itu, pembikinan dilakukan pada waktu malam dan dihasilkan menyamai standard kualiti video muzik antarabangsa.
Penggambaran dilakukan di Heli Lounge Pad Menara KH di Jalan Sultan Ismail kerana kami mahu merakamkan visual seluruh ibu kota Kuala Lumpur pada waktu malam.