Ketika pertemuan dengan pelakon Eja atau nama penuhnya Siti Sharizah Saifuddin baru-baru ini, beliau turut mengakui masih trauma dengan insiden mencemaskan iaitu kes rompakan pada Syawal lalu
Biarpun kejadian itu sudah empat bulan berlalu, rompakan yang terjadi di hadapan rumah milik penyanyi Noryn Aziz di Damansara itu masih menghantui dirinya.
Ketika itu, Eja bersama anaknya, Nur Eishal, menghadiri majlis melenggang perut dan rumah terbuka bersempena Aidilfitri anjuran Noryn.
Turut berada di tempat kejadian ialah bekas pengacara Salam Bollywood, Adriana dan anaknya serta pereka barangan kemas, Suhara Omar bersama anak dan pembantu rumahnya.
Cuma ketika kejadian sekitar jam 10.15 malam bertarikh 6 Ogos lalu, Suhara dan anaknya sudah berada di dalam kawasan pagar rumah berkenaan. Sedangkan yang lain masih di luar dan sudah dikepung empat lelaki bertopeng serta bersenjata parang yang menaiki dua motosikal.
Tiga tas tangan termasuk milik Eja dirampas. Eja menganggarkan kerugian lebih RM30,000. Menurut Eja, parang juga sudah berada di depan mukanya tetapi mujur beliau tidak diapa-apakan. Cuma pembantu rumah Suhara saja cedera di bahagian belakang kerana ditetak.
"Benarlah orang cakap malang tak berbau. Kes ini sudah jadi kes berprofil tinggi kerana membabitkan rumah VIP (suami kepada Noryn) dan selebriti. Hanya Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika parang diacu di muka dan bila-bila masa nyawa kita boleh dicabut.
"Lebih mengejutkan apabila saya mendapat tahu sejam sebelum kejadian kediaman di belakang rumah Noryn turut dirompak. Rakaman CCTV berdurasi seminit lebih turut tersebar di laman YouTube yang merakamkan detik cemas kejadian rompakan itu.
"Malah apabila melihat balik rakaman CCTV sebelum itu, perompak berkenaan sudah lalu lalang di sekitar kawasan perumahan itu sejak jam 8.30 malam lagi. Noryn yang sarat mengandung juga hampir tersadung ketika mahu menekan penggera keselamatan rumahnya," kata Eja yang turut membintangi filem Manisnya Cinta Di Cappadocia.
Kata Eja, pihak keselamatan kawasan perumahan berkenaan hanya datang 15 minit selepas kejadian. Dengan bantuan jiran berdekatan, pihak polis dihubungi. Segala laporan mengenai kejadian diselesaikan di rumah Noryn juga pada malam yang sama.
"Kawad cam perompak juga sudah dilakukan di Balai Polis di Ampang. Saya sendiri berdasarkan firasat dapat mengagak perompak yang melakukan rompakan itu berdasarkan warna kulit badan dan susuk tubuh.
"Saat ini, saya hanya menunggu perkembangan selanjutnya apa hukuman yang bakal mereka terima. Harap mereka akan dapat balasan yang setimpal. Pada malam kejadian, pihak polis memberikan kerjasama yang baik dan patut dipuji," katanya.
Anak jati Kuala Kubu Baharu, Selangor itu menjelaskan anggaran RM30,000 kerugian yang dialami itu termasuk nilai tas tangan, iPad mini, telefon bimbit, cermin mata, dompet, wang tunai, alat mekap termasuk mata wang asing yang belum ditukar ke ringgit Malaysia.
"Saya percaya setiap yang terjadi itu ada hikmahnya. Mungkin juga ia seperti mencuci dosa silam saya. Sebagai manusia biasa nak cakap saya reda 100 peratus dengan apa yang terjadi ini...tak juga. Paling saya ralat ialah kehilangan iPad mini.
"iPad mini itu mengandungi 5,000 keping gambar termasuk video percutian saya bersama suami dan anak. Semua itu memori untuk anak saya tetapi hilang begitu saja. Menerusi iPad mini itu juga saya mengemaskini serta muat naik gambar di laman Instagram," katanya.
Ironinya, kejadian itu bukan yang pertama dialami Eja. Beliau pernah mengalaminya pada 1997.
Beliau menjadi mangsa rompakan bersiri di Seksyen 14, Petaling Jaya yang dikenali Rompakan Salon sehingga dirinya diikat.
"Sampai ke hari ini memang saya masih fobia. Bayangkan hanya bulan lalu saja saya terdetik untuk menguruskan urusan membuat kad pengenalan, lesen memandu, kad bank dan keperluan lain yang sudah lesap ketika rompakan berlaku.
"Malah setiap kali berhenti di lampu trafik di jalan raya, saya takut lagi untuk leka atau bermain telefon bimbit. Saya peka dengan sekeliling. Saya lebih rela menggunakan khidmat valet daripada menggunakan parkir yang jauh daripada tempat yang ingin dikunjungi," katanya.
EJA bersama suami dan anak tersayang.