Emma Maembong penat jawab soalan kahwin


EMMA MAEMBONG mula tertekan kerana sering diajukan persoalan tentang perancangan perkahwinannya dengan Zizan.

“JANGAN tanya saya mengenai soalan yang berkaitan dengan jodoh, boleh?” pinta pelakon genit Emma Maembong, 22, apabila diasak dengan soalan bilakah dia bakal menamatkan zaman bujangnya bersama kekasih hati, pengacara dan pelawak, Zizan Razak.

Ketika ditemui pada majlis pernikahan kakaknya, Yaya Maembong dengan pelakon Wan Raja di Masjid Al-Ridhuan, Hulu Kelang, Selangor baru-baru ini, Emma berkata, dia berasa sedikit tertekan apabila sering diajukan dengan soalan demikian.

Katanya, walaupun dua daripada adik-beradik perempuannya, iaitu Syikin dan Yaya Maembong sudah mendirikan rumah tangga, namun ia tidak bermakna dia juga bakal mengikuti jejak langkah mereka untuk menjadi seorang isteri dalam masa terdekat.

Tambah Emma, jika perihal jodohnya sering menjadi bahan tulisan oleh pihak media, dia gusar para peminat akan berasa bosan dan mula mengkritiknya.




Artis Meletop!: Mengapakah Emma enggan berbicara mengenai hal yang berkaitan dengan perkahwinan?

EMMA MAEMBONG: Sejujurnya, saya tidak mahu menjawab soalan ini kerana risau dikritik oleh peminat. Sejak tahun lepas lagi, saya sudah bercakap tentang soal jodoh saya bersama Zizan. Jika perkara ini terus berulang, saya juga yang akan dipersalahkan. Jadi, saya berharap agar tidak terus ditanya tentang soalan klise ini.

Adakah Emma sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga?

Semuanya terletak pada ketentuan Allah. Jika masanya sudah tiba, maka ia (perkahwinan) akan berlaku juga.

Bagaimanakah tawaran berlakon selepas mengenakan hijab?

Alhamdulillah, masih seperti dulu. Apa yang berbeza adalah penampilan saya.

Bagaimanakah dengan drama yang menampilkan Emma sebagai wanita yang masih lagi tidak bertudung?

Berkenaan dengan drama, saya tidak boleh berbuat apa-apa. Semuanya telah termaktub di dalam kontrak yang telah saya tandatangani sebelum saya berhijrah. Kebanyakan drama lakonan saya pula mula ditayangkan beberapa bulan selepas saya berhijab. Jadi, saya tidak berhak untuk menghalang tayangannya dan saya harap semua peminat faham tentang itu.

Apakah reaksi peminat apabila melihat imej atau lakonan Emma yang tidak mengenakan hijab?

Ada yang faham mengenai situasi saya dan ada yang tidak tetapi saya tidak boleh berbuat apa-apa dan saya tidak ada kuasa untuk memuaskan hati semua pihak.

Bagaimanakah pula dengan reaksi jenama produk kecantikan yang melantik Emma sebagai duta setelah mengetahui anda telah berhijab?

Kebanyakannya masih lagi menggunakan gambar-gambar lama dan setakat ini kontrak bersama mereka berjalan seperti biasa walaupun saya kini tampil dengan penampilan baharu. Hanya produk Pearl Slim sahaja yang merakamkan semula gambar saya selepas mendapat tahu saya telah berhijab.

Apakah perkembangan terbaharu Emma?

Buat masa ini, saya sedang dalam proses penggambaran drama Isteri Separuh Masa dan telemovie Hantu Selfie 2. Pada masa yang sama, saya juga sibuk menguruskan bisnes tudung, Hijab By Emma Maembong yang dijalankan di atas talian.



Previous Post Next Post