Nadiya Nisaa Dinasihati Agar Sedia Hadapi Zaman Kejatuhan


Pelakon Nadiya Nisaa menerima kata-kata nasihat daripada aktres Noorkhiriah agar sentiasa beringat dan bersedia untuk melalui zaman kejatuhan suatu hari nanti.

Nadiya berkata, pelakon wanita tersebut memberitahu bahawa kegemilangan sebagai seorang pelakon dengan menerima pelbagai tawaran hanya sementara sahaja.




"Saya baharu sahaja habis berlakon telefilem bersama Noorkhairiah untuk drama Qaseh Tanpa Suara dan dia merupakan antara artis yang paling saya kagumi selama ini.

"Sepanjang penggambaran dia banyak bercerita tentang kehidupan selepas popular. Dia suruh saya beringgat dan bersedia untuk melalui zaman sepertinya kini," ujarnya kepada mStar Online.



Noorkhiriah nasihat agar pelakon baharu sentiasa ambil peluang yang datang.

Bagaimanapun, dia tidak menyifatkan nasihat tersebut sebagai berniat untuk menghalang atau cemburu dengan kerjayanya sekarang.

Sebaliknya, Nadiya berkata, Noorkhairiah memberi semangat agar dia dan rakan-rakan artis yang sedang meningkat naik sekarang ini mencuba pelbagai watak yang lebih mencabar.

"Dia tidak menghalang atau cemburu kepada pelakon baru, malah dia suruh kami cuba pelbagai watak selagi mempunyai peluang.

"Katanya, zaman kegemilangan pelakon tidak lama jadi jangan lepaskan peluang yang datang dan dia sudah puas melalui zaman tersebut dahulu, sekarang masa dia tumpukan perhataian kepada keluarga.

"Perkara yang sama itu juga akan kami lalui suatu hari nanti," ujarnya.

Tambah Nadiya, kata-kata nasihat yang diberikan pelakon tersebut memberi inspirasi kepadanya agar tidak mensia-siakan peluang lakonan yang datang.

Dalam pada itu, ditanya tentang beberapa filem dan drama yang dibintanginya disiarkan dalam suatu masa yang sama, Nadiya berkata, ia tidak menjangkakan perkara tersebut.

"Filem Gila Baby dan Terbaik Dari Langit serta telemovie Oh My English: Villa Isabellaaa! keluar secara berturut-turut bulan ini.

"Saya pun tidak sangka kerana penggambaran filem Gila Baby pada dua tahun lalu, manakala Terbaik Dari Langit pula tahun lalu sementara Oh My English pada awal tahun ini, saya harap penonton tidak bosan tengok saya," ujarnya.



Previous Post Next Post