Pesanan Datuk Mustapha Maarof!



PADA 25 November lalu, seniman terkenal, Datuk Mustapha Maarof telah dikejarkan ke Institut Perubatan Respiratori (IPR) selepas mengalami kesukaran bernafas ekoran komplikasi masalah paru-paru.

Setelah doktor pakar di IPR mengesahkan paru-paru sebelah kanannya gagal berfungsi, Mustapha atau nama sebenarnya Azahari Maarof, 79, dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Selasa lepas.

Malah, pada hari yang sama seniman lagenda ini kemudiannya dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) di sini apabila doktor memberitahu ada jangkitan kuman pada paru-paru.

Namun, keadaannya bertambah kritikal selepas beberapa hari di HATTM sehingga terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Sempat meluangkan masa melawat bintang lagenda ini, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, memberitahu banyak nasihat dan pesanan yang diberikan kepadanya ketika mengadakan kunjungan beberapa hari lalu.




"Ketika saya melawatnya, beliau masih boleh bercakap namun keadaannya tercungap-cungap. Beliau berpesan, agar saya menjaga Seniman sebaiknya, jangan bergaduh antara ahli persatuan dan sentiasa memastikan bahawa Seniman utuh menjadi persatuan yang memayungi kebajikan anak-anak seni tempatan.

"Beliau juga menasihati saya supaya sentiasa menjaga hati ahli-ahli veteran dan menguruskan Seniman dengan penuh jujur serta amanah.

"Saya dapat rasakan, beliau amat menyayangi Seniman apatah lagi beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Seniman pada satu ketika dahulu," katanya yang baharu sahaja pulang daripada Thailand bagi menjayakan program, Rakan Kembara Malaysia.

Memahami kondisi bintang lagenda itu yang memerlukan bantuan kewangan, Zed memberitahu bahawa dia kini sedang berusaha untuk mendapatkan bantuan kewangan menerusi Tabung Kebajikan Seniman.

"Sehingga kini, saya dimaklumkan keadaan beliau masih kritikal dan bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan.

"Malah, pada pagi Isnin lalu, seniwati Mariani, turut menelefon saya sambil menangis. Katanya Seniman perlu membantu beliau dalam meringankan beban dari segi kewangan.

"Saya memberitahu bahawa semua dalam proses untuk mendapatkan dana tersebut dan semestinya saya akan berusaha untuk perkara itu," katanya yang telah menghantar surat kepada pihak berwajib termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk mendapatkan dana berkenaan.

Tambah Zed, memandangkan beliau adalah antara orang yang terpenting dalam menggerakkan Seniman pada satu ketika dahulu, sumbangan yang akan diberikan lebih istimewa.


Previous Post Next Post