Takhta 3 Ratu bakal cetus kontroversi?



APRIL lalu, pengarah tersohor, Erma Fatima dikritik hebat setelah memuat naik foto 'berkemban' oleh barisan pelakon supertele arahannya, Takhta 3 Ratu, menerusi Instagram miliknya.

Rata-rata peminat meluahkan rasa tidak puas hati dengan kostum yang dipilih kerana tidak sesuai dengan adat Melayu dan agama Islam terutamanya.

Sedar perkara itu akan kembali dibangkitkan, Erma Fatima dilihat tenang memberi jawapan dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan di depan hari.




"Saya harus sentiasa berlapang dada dan bersikap lebih terbuka dengan perkara ini. Satu ketika dulu, saya pernah 'terduduk' apabila babak rogol dalam filem Embun menjadi isu panas.

"Jadi, sekiranya ada pihak yang mahu menimbulkan semula isu ini dalam Takhta 3 Ratu, saya reda," katanya yang ditemui ketika pra tonton supertele tersebut.

Mengharapkan agar penonton lebih bijak berfikir ketika menonton naskhah ini berbanding memikirkan isu berkemban, Erma berkata, Takhta 3 Ratu tetap menampilkan kelainan dalam penceritaan.

"Cerita ini dihasilkan mengikut pandangan saya daripada kisah Hang Li Po dan Tun Teja.

"Saya harap tiada yang salah faham dengan cerita ini kerana ia sebuah naskhah fiksyen. Dan saya tiada niat untuk pesong atau kelirukan sejarah Melaka," tuturnya.

Takhta 3 Ratu mengisahkan tentang puteri Majapahit iaitu Galuh Chenderai (Feby Febiola) yang patah hati apabila suaminya Sultan Mansur (Azri Iskandar) mengambil keputusan mengahwini Puteri Hang Li Po (Soo Wincci) bagi mengukuhkan pertalian persahabatan antara Melaka dan China.

Dalam persengketaan antara Galuh Chenderai dan Li Po, kedua-dua mereka terkejut apabila Sultan Mansur mahu menikahi Lela Wangsa (Erra), iaitu puteri kepada Maharaja Dewa Sura, pemerintah Inderapura yang cuba hendak menyerang Melaka.

Supertele ini akan ditayangkan mulai 1 Januari depan dan juga bakal dipersembahkan dalam format teater bermula dari 13 hingga 22 Disember ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

Tiket berharga RM50 hingga RM350 boleh dibeli di kaunter IB atau melayari laman www.airasiaredpix.com.




Feby minta izin Elly Suriati

Digandingkan bersama Azri Iskandar (Sultan Mansur), pelakon Indonesia, Feby Febiola, mengakui segan untuk melakukan babak romantis bersama suami kepada pelakon Elly Suriati itu.

Walaupun masing-masing bersikap profesional, Febia meluahkan perasaan 'kurang senang' untuk beraksi romantis dengan Azri terutamanya babak ranjang.

Menurut Feby, dia tidak putus-putus meminta maaf kepada Elly kerana dirinya yang begitu malu melakukan babak tersebut.

"Perasaan malu sangat menebal ketika melakonkan babak ranjang bersama abang Azri apatah lagi dengan kehadiran kak Elly di set penggambaran.

"Saya sering meminta maaf dan memohon izin dahulu sebelum melakukan babak romantis.

"Sejujurnya saya tidak suka dan berharap babak tersebut hanya sekali sahaja dirakamkan," ujarnya.

Pun begitu, dia kagum dengan Elly yang amat terbuka di set penggambaran. Sementelah Elly selalu mengingatkannya supaya memberikan yang terbaik untuk supertele itu.
Previous Post Next Post