Saban tahun, sebaik masuk tahun baharu, banyak orang memasang azam untuk menjadi lebih baik di dalam kehidupan.
Salah seorang individu yang tidak terlepas memasang azam tahun baharunya ialah Salman Khan.
Dikenali sebagai seorang aktor yang sering dikaitkan dengan beberapa wanita cantik dunia Bollywood, lelaki berusia 48 tahun itu juga sempat dilabelkan sebagai kasanova kerana hanya bercinta, tetapi tidak mengakhiri cintanya dengan sebuah ikatan perkahwinan.
Baru-baru ini, Salman disoal media India tentang resolusi tahun 2015 yang akan tiba dalam tempoh dua minggu lagi. Dengan yakin, Salman memberitahu, dia lebih rela berkahwin daripada terbabit di dalam sebuah naskhah yang menggandingkan dirinya dengan Shah Rukh Khan dan Aamir Khan.
“Saya lebih rela untuk berkahwin pada tahun 2015 daripada berfikir untuk berlakon dengan Shah Rukh Khan dan Aamir Khan. Ya, kahwin,” katanya yang diajukan dengan soalan cepu emas, sama ada memilih berlakon dengan dua aktor tersebut atau berkahwin.
Sejak 15 tahun lalu, pelakon yang mengesahkan tidak akan mengacarakan program Bigg Boss 8 bermula Januari tahun hadapan itu pernah bercinta dengan aktres Aishwarya Rai pada tahun 1999 dan berpisah empat tahun kemudian. Dia juga pernah bercinta dengan Katrina Kaif dan dua lagi wanita iaitu Sangeeta Bijlani dan Somy Ali.