Umrah bersama Awie, Fahrin, Mawi dan Cat Farish


MAWI akan berangkat ke Tanah Suci Mekah bersama isterinya, Ekin mengikuti rombongan kedua kembara tersebut.

Madinah dan Mekah, dua kota agung di dunia yang tidak pernah sama dengan bandar-bandar menarik di seluruh dunia. Bagi umat Islam, inilah dua bandar yang selalu menjadi destinasi wajib ziarah sebelum dijemput Ilahi. Begitu juga hajat yang ditanam di dalam sanubari barisan artis seperti Awie, Fahrin, Mawi dan Cat Farish.

Hajat yang ditanam di dalam hati nampaknya hampir dimakbulkan apabila empat selebriti ini akan terbabit di dalam Kembara Umrah VIP Muhasabah Cinta 2015 yang dianjurkan oleh IL Creative Ventures dengan kerjasama Halcent Discovery Holidays Sdn. Bhd.. Menariknya, kembara umrah tersebut akan disertai juga oleh ustaz-ustaz pembimbing yang akan sama-sama bermuhasabah dengan para jemaah.

Bercakap mengenai kesempatan emas yang datang kepadanya, Cat yang ditemui sewaktu sidang akhbar pengumuman kembara tersebut baru-baru ini memanjatkan rasa syukur kerana hajatnya menunaikan umrah kini hampir terlaksana.




“Jujurnya, sudah dua tahun saya memasang impian menunaikan umrah, namun dua tahun juga hajat itu tidak kesampaian. Bagaimanapun, baru-baru ini selepas saya berdoa dan memasang hajat untuk dapat pergi ke tempat yang indah, dan tak sangka akhirnya Allah memanggil saya menjadi tetamu-Nya dalam masa terdekat ini. Alhamdulillah,” ujar Cat yang akan menunaikan umrah bersama ibunya, Ramlah Muhamed, 70.

Cat akan menjadi sebahagian jemaah rombongan pertama yang berlepas ke Mekah yang dijadualkan pada 28 Januari sehingga 8 Februari 2015 depan dengan disertai Ustaz Hanafiah Abdul Malek.

Rombongan jemaah kedua pula dijadualkan berlepas pada 18 Februari 2015 yang akan disertai oleh Mawi dan Ekin serta Ustaz Hanafiah Abdul Malek, jemaah ketiga pula disertai Fahrin dan Ustaz Rusydi Ramli pada 11 Mac 2015 dan jemaah keempat disertai Awie pada 8 April sehingga 19 April 2015 depan.

Sementara itu, bercakap mengenai perancangan umrah dan ziarah tersebut, Pengarah Urusan IL Creative Ventures, Ireani Yaacob berkata, pakej tersebut bukan dinamakan pakej VIP tanpa sebab. Sebaliknya, selain setiap rombongan mempunyai tema khusus, para jemaah memang akan diberikan keistemewaan lain yang tidak disediakan oleh pakej sedia ada.

“Pakej ini dinamakan VIP bukan hanya kerana penginapan lima bintang sahaja, tetapi ia dinamakan sedemikian kerana pengisian kembara umrah ini dan juga beberapa keistimewaan lain berbanding pakej yang sedia ada.

“Selain kedudukan hotel Al Safwa Royale Orchid Mekah yang mempunyai jarak terdekat (30 meter dari Masjidil Haram) dan The Oberoi Madinah (50 meter dari Masjid Nabawi), ustaz-ustaz jemputan akan memberikan tazkirah khusus beserta sesi soal jawab dengan para jemaah hampir setiap hari diiringi selebriti jemputan.

“Jemaah juga berpeluang untuk makan malam eksklusif di Abraj Tower dengan pemandangan Kaabah sebagai santapan mata. Itu antara keistimewaan pakej kembara umrah ini,” ujar Ireani.

Tambahnya lagi, pemilihan para selebriti pula bukan sekadar berlandaskan populariti semata-mata, sebaliknya kehadiran mereka yang hadir dari pelbagai latar belakang itu merupakan sebahagian daripada dakwah kecil mereka untuk jalinan ukhwah antara penggiat seni dan para ahli agama.

Katanya: “Kehidupan selebriti yang tidak lari daripada tempias glamor dan sering menjadi perhatian itu sesekali molek juga dialihkan ke arah rohani. Tambahan, selebriti memang mempunyai impak dari sudut pengaruh kepada para penggemar mereka melalui hasil-hasil karya seni mereka, jadi molek sekiranya kembara umrah ini turut boleh dijadikan sebagai usaha dakwah kecil mereka kepada para penggemar mereka.

“Begitulah bagaimana wujudnya nama Muhasabah Cinta iaitu proses mengenal dan memperhalusi keperibadian, mengenal dan mencintai Allah dan Rasul-Nya, sekali gus dengan bimbingan para ahli agama yang turut hadir akan menjadikan seluruh proses muhasabah itu mudah dan kesemua yang turut serta di dalam pakej kembara umrah ini akan menemui cinta sebenarnya, iaitu cinta kepada Allah dan Rasulullah SAW.”

Sebarang maklumat lanjut mengenai Kembara Umrah VIP Muhasabah Cinta 2015 yang bermula dari harga RM9,588 sehingga RM11,588 boleh diperolehi melalui Facebook/umrahvipmuhasabahcinta, Twitter/@IL_umrah2015 atau hubingi Norliza Ismail di talian 012-391 8145, Ireani Yaacob di talian 012-348 5011 dan Zafri di talian 013-267 2264.



Previous Post Next Post