ZED ZAIDI (tengah) bersama barisan AJK tertinggi persatuan Seniman pada mesyuarat agung persatuan tersebut pada 27 September 2014.
Kemelut Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) nampaknya semakin kusut dan tiada kesudahan. Sangkaan ramai apabila Zed Zaidi dipilih semula sebagai presiden persatuan itu pada 27 September tahun lalu untuk penggal (2014/16) bersama ahli jawatankuasa (AJK) yang baharu, episod positif persatuan itu dapat dilihat.
Bagaimanapun, drama Seniman tidak pernah tamat bahkan bersambung-sambung seperti sebuah drama bersiri.
Selepas Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 35, membuat laporan polis di Balai Polis Taman Melawati, Wangsa Maju pada 19 Disember tahun lalu berhubung kehilangan buku cek yang dikatakan berada pada tangan pelakon, Vanidah Imran yang merupakan bendahari persatuan itu, kali ini AJK baharu Seniman pula bersuara.
Lima orang AJK itu terdiri daripada Rashidi Ishak (Pengerusi Biro Sukan & Sosial), Datin Sofia Jane (Pengerusi Biro Pelakon), Khir Rahman (Pengerusi Biro Pendidikan Seni & Latihan), Arash Mohd. (Pengerusi Biro Pemantauan & Penguatkuasaan), Sharifah Amani (Ketua Biro Seniman Muda) dan Lisa Surihani (Pengerusi Biro Sukarelawan & Penajaan) telah mengeluarkan kenyataan rasmi kepada pihak media rentetan daripada buku cek yang hilang.
Kenyataan media yang bertarikh 3 Januari 2015 itu menyebut pihak AJK tidak setuju dengan cara Zed yang mengeluarkan kenyataan seperti ‘AJK baharu Seniman hanya pandai cakap’ yang secara tidak langsung telah memberi gambaran negatif terhadap AJK baharu.
“Tarikh antara pemilihan iaitu 27 September sehingga mesyuarat pertama AJK pada 15 Oktober 2014 cukup singkat untuk presiden membuat penilaian terhadap mutu kerja AJK. Semua yang berjawatan dalam Seniman bersetuju menggunakan aplikasi WhatsApp sebagai medium komunikasi utama menerusi kumpulan WhatsApp yang diberi nama Seniman Exco.
“Menerusi WhatsApp, AJK baharu mencadangkan tarikh untuk mesyuarat AJK kedua, namun tidak diendahkan malah, pihak setiausaha Seniman mencadangkan AJK baharu menghantar e-mel secara rasmi. Malangnya, pada 29 November, kesemua AJK baharu telah dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp. Pihak kami telah menghantar e-mel kepada presiden pada 1 Disember 2014.
“Pada 15 Disember 2014, presiden membalas permohonan kami secara rasmi dengan menyatakan tiada keperluan untuk mengadakan mesyuarat AJK kedua kerana tiada hal penting dan meruncing,” kata kenyataan itu.
Namun, apa yang mengejutkan kesemua AJK baharu, mereka mendapat tahu daripada media bahawa presiden persatuan Seniman, Zed telah membuat laporan polis terhadap bendahari (Vanidah Imran) pada 19 Disember 2014, walhal perkara yang dilaporkan oleh presiden merupakan perkara yang mahu dibangkitkan oleh AJK baharu untuk dibincang dalam mesyuarat AJK kedua.
Apabila Zed membuat laporan polis, jelas menunjukkan tindakannya seolah-olah membelangkangi AJK baharu dan melanggar peraturan di mana setiap keputusan persatuan haruslah mendapat persetujuan semua anggota mesyuarat terlebih dahulu. Perkara itu boleh dirujuk dalam undang-undang persatuan Seniman pada Fasal 15 (iv). Bahkan AJK baharu juga berdiri teguh di belakang Vanidah Imran.
“Kami berpandangan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh presiden adalah tidak berasas sama sekali. Adalah lebih baik sekiranya segala permasalahan dalaman diselesaikan secara tertutup sesama AJK dalam mesyuarat.
“Kami AJK baharu bersepakat akan terus bersatu untuk menyokong bendahari (Vanidah) dalam setiap tindakan yang dilakukan dan sebarang alasan yang diberikan asalkan ia tidak bertentangan dengan undang-undang persatuan dan undang-undang lain. Kami juga berharap semua barisan kepimpinan persatuan Seniman 2014/16 bersetuju untuk memberikan kerjasama agar tanggungjawab yang telah diamanahkan dapat dilaksanakan dalam persatuan,” ujar kenyataan tersebut.
KEMELUT persatuan Seniman bersama pelakon Vanidah Imran selaku bendahari persatuan itu masih belum selesai.
Sementara itu, Zed yang dihubungi Kosmo! menyifatkan tindakan AJK baharu Seniman sebagai tindakan yang melanggar etika persatuan. Dia juga mempersoalkan tujuan AJK baharu itu mengeluarkan kenyataan kepada pihak media. Menurut pengetahuannya, pihak Seniman tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.
“Saya tidak tahu apa yang mereka cuba lakukan kerana setahu saya Seniman tidak ada mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi dan tindakan mereka itu sudah melanggar etika persatuan kerana mereka sudah menandatangani surat aku janji untuk taat setia kepada presiden dan persatuan. Sepatutnya mereka menghormati saya sebagai presiden dan menghormati jawatan mereka sebagai AJK.
“Dalam persatuan, mereka harus ikut ketua. Jika tidak puas hati dengan hala tuju dan cara saya menguruskan persatuan, sila letak jawatan. Apa yang saya lihat mereka cuba pecah-belahkan perpaduan dalam pentadbiran tertinggi Seniman serta mewujudkan persatuan dalam persatuan,” kata Zed.
Disoal mengapakah dia membuat laporan polis terhadap Vanidah sebelum ini, jawab Zed, pihaknya tidak ada pilihan lain selepas gagal memujuk Vanidah memulangkan kembali buku cek yang berada dalam simpanannya untuk membiayai segala kos operasi persatuan.
“Saya sudah pujuk untuk pulangkan buku cek tetapi Vanidah tetap dengan pendiriannya bahkan meminta Seniman mengeluarkan surat rasmi untuk menuntut buku cek tersebut. Apa masalahnya, sebagai bendahari pulangkan sahaja buku cek itu habis cerita, tidak perlu libatkan AJK yang lain.
“Jika diikutkan, soal buku cek itu tidak perlu sampai ke balai polis tetapi disebabkan dia (Vanidah) berdegil, saya terpaksa buat laporan polis menyatakan buku itu hilang dalam simpanan Vanidah untuk membolehkan saya menunjukkan laporan polis itu kepada pihak bank dan membuat buku cek yang baharu,” terang Zed.
Kemelut bertambah parah apabila Zed memberitahu, pihak Vanidah juga membuat laporan polis memberitahu buku cek tersebut berada dalam simpanannya dan menghalang buku cek baharu Seniman dibuat. Sehubungan itu, pihak Seniman akan mengadakan satu mesyuarat khas bersama AJK Seniman dalam bulan ini hanya untuk membincangkan perihal buku cek serta undi tidak percaya.
“Saya akan mengeluarkan notis secara rasmi kepada semua AJK tentang mesyuarat ini termasuk kepada AJK baharu. Selagi mereka tidak menghantar surat perletakkan jawatan mereka masih AJK Seniman yang sah dan saya akan melayan mereka secara profesional,” tutur Zed yang kini berada di Kelantan membantu mangsa banjir.