TAHUN demi tahun perjalanan sebagai anak seni telah mematangkan diri Mawi. Gah merentap gelaran juara Akademi Fantasia musim ketiga pada 2005, namanya terus berada di puncak walau pelbagai duga datang menyapa.
Populariti diperoleh hanya dalam sekelip mata. Pun begitu, semua itu hanya sementara. Namanya dilupai buat seketika. Tidak kurang juga, dia menerima cacian dan kritikan daripada segelintir pihak yang sudah meluat melihat kehadirannya dalam industri hiburan.
Ditambah lagi perkahwinan dengan Ekin atau Nora Asikin Rahmat pada 21 Oktober 2008 yang turut mendapat cercaan sehingga dia bingung memikirkan situasi yang berlaku. Malah, tidak keterlaluan juga dikatakan sehingga kini, ada saja apa yang dibuat Mawi seperti tidak berkenan di mata sesetengah pihak. Kenapa ya?
“Saya sudah tidak tahu, apa sebenarnya yang tidak kena dengan hubungan kami sehingga dikutuk dan saya tahu dia masih menjadi bualan sampai ke hari ini.
“Kadang-kadang saya buntu dan tidak dapat berfikir punca semua itu berlaku. Akhirnya, saya perlu akur itu semua ujian. Ujian yang perlu saya terima dengan keikhlasan.
“Jujur saya katakan, saya sudah puas diperlakukan sebegitu. Biar kisah lama berlalu pergi. Saya juga tidak ambil kisah lagi dengan cerita mengarut mengenai saya dan keluarga. Panjang lagi kehidupan yang perlu saya tempuh,” kata jejaka berusia 34 tahun ini, kekal dalam nada positif.
Juga tidak membuatkan dirinya lemah kerana cemuhan tersebut, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani berkata, dia bangkit mencari kekurangan diri dan cuba memperbaikinya.
“Dalam kehidupan, kita perlu ada prinsip. Bagi saya, senang sahaja, saya perlu positif dengan setiap dugaan.
“Yang saya tahu, sekarang, kehidupan saya bersama bahagia. Kebahagiaan itu juga yang saya harapkan berpanjangan. Malah, saya mahu tenang hadapi segala dugaan hidup,” kata ayah kepada Cahaya Malaika, 2.
Bercakap soal tahun baharu 2015, maka genaplah 10 tahun Mawi dalam kariernya.
Dia sedang merancang sesuatu untuk menyambut ulang tahun sebagai anak seni.
“Perancangan untuk adakan showcase itu ada. Tapi, semuanya masih dalam perbincangan. Tidak berani untuk saya memperkatakan perkara itu lebih-lebih.
“Saya bimbang semuanya tidak menjadi dan hanya cakap kosong. Saya pastikan semuanya akan berjalan lancar nanti,” jelas anak kelahiran Kulai, Johor ini.
Fokus 2015 Mawi juga tertumpu kepada perniagaan kerana dia berpendapat dunia seni tidak lagi menjanjikan sesuatu yang pasti buat masa depan dia dan keluarga kecilnya.
“Ini pilihan tepat saya. Sejak mengorak langkah melalui perniagaan UneQuein awal 2013, saya melihat ada potensi dalam perniagaan ini.
“Sebab itu, saya dan isteri mengambil langkah berani dengan menambah lebih banyak produk di bawah jenama UneQuein. Sebelum ini, kami hanya memperkenalkan tiga produk sahaja, antaranya Multijuice Liquid Health Supplements.
“Melihat penerimaan yang menggalakkan, kami memperkenalkan pula empat produk baru iaitu air berkarbonat, teh tarik khasiat, produk penjagaan wajah pek ekonomi dan juga BB Cream,” katanya.