Hairul Azreen & Hanis Zalikha Gimik memualkan


INILAH cincin belah rotan yang diberikan oleh Hairul kepada Hanis dalam lamaran tersebut.

Kejutan pelakon Hairul Azreen, 27, melamar kekasihnya pelakon dan pengacara Hanis Zalikha, 25, dalam final program Gegar Vaganza yang disiarkan secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada malam Ahad lalu mengundang pelbagai reaksi daripada khalayak.

Dalam program yang disiarkan secara langsung di Astro Ria itu, Hairul muncul di atas pentas dengan menyertai penari breakdance ketika persembahan kumpulan Kristal yang menyanyikan lagu Marry Me, nyanyian asal Bruno Mars.




Sebaik Hairul berhenti menari, pengacara program berkenaan, Nabil Ahmad dan Jihan Muse menjemput Hanis naik ke atas pentas. Apabila Hanis tiba di atas pentas, Hairul terus melamar Hanis dengan sebentuk cincin belah rotan.

Antara bait bicara Hairul: “Saya mahu awak jadi teman baik saya seumur hidup. Saya mahu awak jadi rakan kongsi perniagaan saya dan saya mahu awak jadi isteri saya yang sah.”

Hanis yang terkejut pada mulanya hanya menjawab Insya-Allah, namun setelah ditanya buat kali kedua Hanis menjawab: “Ya, saya terima lamaran ini.”

Walaupun mendapat sorakan peminat yang menyaksikan lamaran itu di Dewan Sri Putra, bagaimanapun gimik lamaran yang dibuat oleh pihak Astro dalam program itu dilihat seolah-olah mencuri perhatian yang sepatutnya diberikan kepada finalis serta juara program tersebut iaitu Ayai Illusi.

Ia juga disifatkan sebagai kurang manis kerana mengikut budaya dan adab orang Melayu, lamaran untuk mendirikan rumah tangga biasanya dilakukan dengan penuh adat yang disertai persetujuan daripada kaum keluarga kedua-dua belah pihak.

Di laman sosial, pasangan itu dihentam teruk oleh orang ramai yang menyifatkan lamaran itu tidak kena pada tempat dan masa. Dalam sidang akhbar selepas program itu selesai, Hairul menafikan lamaran itu untuk mencari publisiti murahan, sebaliknya mahu memberitahu umum bahawa dia serius menjalinkan hubungan dengan kekasihnya itu.

Kosmo!: Apakah yang membuatkan Hairul berani untuk melamar Hanis dalam sebuah program siaran secara langsung?

Hairul: Sebelum ini apabila pihak media tanya, saya jawab Hanis adalah kawan baik dan apabila sampai masanya saya akan memberitahu secara umum. Jadi, saya kotakan janji itu menerusi kejutan lamaran ini bahawa kami sedang menjalinkan hubungan cinta. Bagi saya, ini peluang sekali seumur hidup yang akan membuatkan saya, tersenyum apabila mengenangnya apabila tua kelak. Apa salahnya menjadi berani untuk sebuah memori yang manis.

Bagaimanakah gimik lamaran ini boleh terjadi?

Sebenarnya lamaran ini telah dirancang sejak tiga bulan lalu. Semuanya berlaku secara kebetulan apabila berborak dengan Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli. Dia tanya kepada saya bila mahu kahwin? Saya kata memang ada niat untuk berkahwin. Kemudian dia memberi cadangan agar saya melakukan lamaran secara langsung di sebuah program. Mulanya risau juga kerana bimbang ganggu program dan masa tidak sesuai. Nanti apa pula orang kata. Namun, pada sudut lain itu satu peluang untuk saya beritahu Hanis betapa saya serius untuk bersama dengannya. Jadi, untuk menggembirakan hatinya, saya beranikan diri untuk melamarnya depan orang ramai.


PENGACARA Jihan Muse menyarungkan cincin lamaran oleh Hairul kepada Hanis di atas pentas final program Gegar Vaganza.

Meskipun lamaran anda diterima oleh Hanis, tetapi orang ramai mula menghentam kalian di laman sosial kerana menyifatkan gimik lamaran itu tidak kena pada tempatnya selain bercanggah dengan budaya masyarakat Malaysia?

Saya sudah bersedia untuk dikritik kerana sebelum bersetuju dan memberanikan diri melakukan lamaran itu, saya sudah berfikir panjang. Saya sedar ada orang akan suka dan ada orang yang tidak suka. Lamaran itu bukan bermakna kami bertunang seperti orang Barat. Sebaliknya hanya untuk memberitahu umum tentang hubungan kami. Cincin itu juga sebagai tanda Hanis setuju dengan lamaran, itu sahaja.

Selepas ini apakah perancangan anda?

Adat Melayu tidak dilupakan, sebelum membuat lamaran, saya sudah bertemu dengan ibu bapa Hanis dan berbincang dengan ibu bapa saya. Mereka semua setuju dengan memberi restu. Selepas ini mungkin akan dilakukan adat seperti merisik secara rasmi dan bertunang sebelum berkahwin. Soal kahwin, kalau boleh dalam tahun ini juga tetapi saya harus berbincang dengan keluarga kedua-dua belah pihak sebelum membuat sebarang kenyataan lanjut.

Apa istimewanya Hanis pada anda?

Kami sudah berkawan sejak sekolah pada tahun 2004. Namun, waktu itu kami sekadar kawan biasa sahaja dan tidak membuat sebarang pengesahan bahawa kami pasangan kekasih. Cuma dalam tahun ini barulah kami menjadi kekasih secara rasmi. Bagi saya Hanis seorang yang amat mementingkan keluarga dan sentiasa ada bersama saya waktu senang atau susah. Ciri-ciri itu yang menambat hati saya.



Previous Post Next Post