Di dalam dunia, cinta adalah satu-satunya hal yang paling rumit. Paling parah untuk dimergertikan oleh banyak orang apabila ia bersimpul dengan hati yang sudah lama dimiliki seseorang. Bahasa mudahnya, jatuh cinta dengan suami atau isteri orang.
Secara kasarnya, tidak ada manusia yang suka hak mereka diambil. Apa lagi dalam ikatan cinta atau institusi perkahwinan. Poligami atau gangguan orang ketiga selalu memburukkan keadaan.
Itu, malapetaka yang ditempah pelakon Hanez Suraya sepanjang tahun lalu apabila pendedahannya sudah mempunyai kekasih dibongkar khalayak. Kekasihnya, Romie Razin Adilha merupakan suami orang dan bapa dua orang anak. Kecoh sepanjang tahun kisah percintaan mereka, yang menyaksikan Hanez teruk dikecam sehingga menerima ugutan daripada kaum wanita yang berasa tindakannya bercinta dengan suami orang cukup memalukan.
Hukuman terus dijatuhkan kepada Hanez apabila Romie memilih untuk berdiri di belakang pelakon itu dan akhirnya melepaskan isterinya, Nur Liyana Abd. Manan pada Disember lalu.
Hanez bagaimanapun mengambil tindakan bijak. Belajar daripada kesilapannya yang menyangka sikap telus barangkali boleh meletakkan dirinya dalam posisi yang baik, Hanez memilih bungkam untuk semua persoalan.
Malah, dia yang hilang sumber pendapatan untuk tempoh yang agak lama gara-gara isu tersebut mengaku sudah tidak lagi mempunyai rasa cinta terhadap lelaki itu. Sudah putus kasih sayang, akui Hanez.
Namun, sebagai manusia biasa, berbicara dan membohongi manusia tidak semudah membohongi hati sendiri.
Tanggal 3 Januari 2015 menjadi sejarah tersendiri buat Hanez apabila akhirnya bertunang jua dengan Romie. Jika khalayak masih terkejut dengan pertunangan tersebut, Hanez dan Romie enggan menoleh ke belakang, sebaliknya mereka melalui restu keluarga sepakat untuk berkahwin dalam tempoh enam bulan akan datang.
Barangkali, ini jalan terbaik buat mereka membasuh luka dan membalut kemas rasa cinta yang dulu terbina namun terhalang dek batasan status Romie.
Menariknya, biar khalayak mengecam hubungan mereka, cinta Hanez dan Romie direstui oleh keluarga usahawan berusia 34 tahun itu.
FASA baharu. Hanez akhirnya bertunang dengan Romie pada 3 Januari lalu. Mereka merancang bernikah dalam tempoh enam bulan lagi.
Ibunya, Datin Asmah Misbah, 59, yang ditemui pada majlis pertunangan yang diadakan di kediaman keluarga Hanez di Kampung Sentosa, Seremban, Negeri Sembilan berkata: “Kami tidak mampu menutup mulut orang dan pandangan negatif terhadap mereka.
“Tetapi, percayalah bahawa kami selaku ahli keluarga sahaja yang tahu apa yang terjadi. Tolong doakan yang terbaik buat mereka.”
Asmah meminang Hanez dan menyarungkan cincin berlian jenama Chopard ke jari manis bakal menantu baharunya itu.
Hanez sendiri yang ditemui pada majlis sama menerima kehadiran Kosmo! dengan baik.
Dalam gementar dan teruja, satu persatu persoalan dirungkainya.
Pertama sekali, pelakon yang berusia 29 tahun itu menekankan bahawa dia mahu menutup buku lama dan kedatangan tahun 2015 ini mahu diselak dengan lembaran kehidupan yang lebih baik.
Justeru katanya, dia berharap agar pertunangan dan perancangan mereka bernikah dalam masa enam bulan akan datang kelak mampu melenyapkan kontroversi yang pernah menghambat dirinya. Sementelah, tidak ada manusia di dalam dunia yang tidak pernah melakukan kesilapan. Dan dia telah belajar daripada banyak kesilapan yang dilakukan.
“Perancangan pertunangan ini berjalan dalam tempoh yang singkat. Saya minta maaf kerana tidak menghebohkannya kerana saya perlu mendahulukan keluarga, tetapi jujurnya, memang tiada apa yang mahu saya sembunyikan. Hanya saya takut ia akan menjadi isu seperti dahulu jika saya terlalu bersikap terbuka.
“Apa yang penting kedua-dua keluarga merestui hubungan kami. Besar harapan saya agar ikatan kami ini dapat melenyapkan kontroversi lama. Bagilah kami peluang dan ruang untuk sebuah kehidupan yang baik pada masa akan datang,” ujarnya meminta pengertian.
Bagaimanapun, kata Hanez, dia sedar bukan mudah untuknya meminta pengertian daripada semua pihak.
“Kita tidak boleh memaksa mereka menerima hubungan kami tetapi, berilah kami peluang. Kami buat benda yang baik. Bagi masa kepada kami. Jika masih ramai yang mahu bercakap tentang masa silam kami, itu terpulang. Saya perlu cekal dan bersemangat untuk kehidupan saya selepas ini,” katanya pasrah.
IBU Romie, Datin Asmah Misbah menyarungkan cincin sebagai tanda restu pertunangan Romie dengan Hanez.
Bercakap mengenai perancangan kariernya pula selepas bertunang, kata Hanez dia tidak berani memberi kenyataan lagi kerana ia belum dibincangkan. Namun yang pasti, darah seninya masih mendidih untuk berlakon, hanya dia sendiri mungkin akan meletakkan batasan di dalam lakonannya bersama pelakon lelaki.
Sementara itu, Romie yang ramah melayan tetamu turut melahirkan rasa agar pertunangan mereka menjadi titik tolak kepada fasa hubungan yang lebih baik selepas banyak pancaroba yang terpaksa mereka lalui sepanjang tahun lalu.
Diminta mengulas mengenai tempoh pertunangan yang memakan masa hanya selama enam bulan, kata Romie, dia dan keluarga melihat tempoh itu sesuai untuk mereka melihat corak pekerjaan Hanez dan mendapatkan tarikh yang sesuai untuk bernikah.
“Saya harap dalam tempoh enam bulan ini kami akan dapat tarikh yang sesuai untuk pernikahan kami. Saya harap semuanya akan berjalan lancar dan ia menjadi fasa baharu di dalam kehidupan kami berdua,” katanya.
Mengakui memang pernah berbincang dengan masa depan karier Hanez, namun kata Romie dia tidak mahu menyekat kecintaan wanita kesayangannya itu untuk terus aktif berlakon selepas mereka berumah tangga kelak.
Katanya: “Saya fikir Hanez sudah cukup matang untuk memikirkan batasan dalam dunia lakonan dan pergaulannya. Saya tidak pernah menghalang dan sentiasa menyokong kariernya.”