Angah nikah Amirah hujung tahun



Sekeping gambar yang dimuat naik dalam laman perkongsian gambar, Instagram Angah. Beberapa selebriti lain termasuk, Nabil, Along Cham dan Tauke Jambu turut menghadiri majlis pertunangan Angah

Di sebalik ribut kontroversi industri hiburan yang membabitkan perceraian selebriti termasuk Diana Rafar dan Riezman Khuzaimi, ada juga perkhabaran baik daripada pelawak, pelakon dan pengacara, Angah Raja Lawak.

Angah atau nama sebenarnya Iskandar Shah Hashim, 35, telah selamat mengikat tali pertunangan bersama gadis pilihannya, Amirah Asyraf Razak, 19 tahun pada 18 Januari lalu.

Pelakon filem Adnan Sempit itu sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama seorang wanita bernama Yasmin Mat Yunus, 36, pada 13 Disember 2002 sebelum berpisah pada 2007. Sepanjang berkongsi hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Nurrina Fassha yang kini berusia 12 tahun.

Ikatan pertunangannya bersama gadis yang dikenalinya sekitar pertengahan tahun lalu itu dirancang akan tiba ke gerbang perkahwinan menjelang hujung tahun ini.

Menyingkap mengenai rahsia perkenalan pasangan comel berkenaan, Artis Meletop! cuba bertanyakan dengan lebih lanjut mengenai gadis yang berjaya mencuri hati pelakon yang pernah membintangi filem Adnan Sempit itu.




Artis Meletop!: Tahniah di atas pertunangan Angah bersama gadis pilihan. Boleh Angah ceritakan sedikit mengenai perkenalan Angah dengan gadis tersebut?

Angah: Kami mula mengenali antara satu sama lain ketika saya di jemput untuk mengacarakan majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya tahun lepas. Selepas itu, kami sering berhubung antara satu sama lain. Alhamdulillah, selepas berbincang, kami sepakat untuk membawa hubungan kami ke peringkat seterusnya.

Apakah ciri-ciri Amirah yang membuatkan anda mengambil keputusan untuk membawa perhubungan anda ke peringkat seterusnya?

Sebenarnya, walaupun dia (Amirah) baru sahaja meningkat umur 19 tahun, dia merupakan seorang yang sangat matang terutamanya apabila membuat sesuatu keputusan. Saya sering merujuk kepadanya apabila berhadapan dengan masalah. Lagipun, dia merupakan seorang yang sangat memahami dan saya sendiri berasa sangat selesa bersamanya.

Jarak usia kalian jauh berbeza. Amirah 19 tahun manakala anda pula berusia 35 tahun. Adakah jarak itu mendatangkan kekangan kepada hubungan kalian?

Pada mulanya saya agak teragak-agak disebabkan perbezaan umur antara kami berdua. Saya bertanyakan kepada dia sama ada mampu menerima saya seadanya ataupun tidak. Alhamdulillah, dia bersetuju dan saya berharap perhubungan ini berjalan dengan lancar.

Apakah perancangan masa hadapan kalian?

Sudah tentulah kami kini sedang fokus untuk persediaan perkahwinan menjelang hujung tahun ini. Bagaimanapun, persiapan masih lagi di peringkat awal dan kami juga tidak mahu terburu-buru kerana dia masih lagi belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Boleh berkongsi sedikit mengenai perkembangan terbaharu anda?

Bagi tahun 2015, saya lebih sibuk berkecimpung di belakang tabir apabila lebih banyak terlibat dalam bahagian produksi syarikat saya sendiri iaitu Shapeway Production Sdn. Bhd. Di samping itu, saya juga sibuk juga mengendalikan jenama pakaian saya iaitu Republic Of Big (ROB). Sejak dilancarkan pada tahun lepas, permintaan daripada masyarakat sangat memberangsangkan.

Sibuk dengan perniagaan dan produksi, adakah anda berniat untuk memperlahankan atau berhenti daripada bidang lakonan?

Saya tidak pernah mempunyai niat untuk berhenti dalam bidang lakonan, buat masa sekarang, saya cuma mahu tumpukan sepenuh perhatian saya dalam bidang perniagaan. Saya masih lagi menerima tawaran lakonan dan jemputan pengacaraan jika masa yang ditetapkan sesuai dengan jadual harian saya.



Previous Post Next Post