
Kongsi pentas.Rahimah Rahim (kiri) dan Ramlah Ram akan bergabung dalam Konsert Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) pada 30 Januari depan.
GEMURUH dan teruja bercampur-campur apabila pertama kali berpeluang menemui dua ikon wanita terkemuka itu. Manakan tidak, penulis hanya berkesempatan mendengar karya agung mereka melalui laman perkongsian video YouTube. Mereka ialah penyanyi era 1990-an, Rahimah Rahim dan Ramlah Ram.
Perasaan tersebut timbul bukan kerana takut, namun ia hadir berikutan rasa hormat yang menggunung terhadap survival seni mereka berdua. Layak digelar seniwati, dua wanita yang dijulang nama kerana bakat itu punya hak untuk mendabik dada menunjukkan galur seni dua dekad yang telah mereka lalui.
Usai sesi fotografi untuk promosi Konsert Orkestra Tradisional Malaysia (OTM ), Rahimah menyapa penulis dengan nada mesra. Perwatakan yang ceria dan senyuman yang melirik tidak sedikitpun menampakkan garis usianya yang kini menginjak 59 tahun.
Diajak berbicara mengenai persediaannya menjelang konsert yang akan diadakan pada 30 Januari nanti, Rahimah berkongsi kisah persiapan dan keterujaannya kerana dapat berkongsi pentas dengan rakan seperjuangan yang juga bukan calang-calang.
“Alhamdulillah, saya telah pun diberi senarai lagu yang akan dinyanyikan kelak. Tentulah lagu hit saya seperti Gadis Dan Bunga, Bebas dan Semanis Doa akan disenandungkan pada konsert tersebut. Terdapat juga beberapa lagu medley yang masih belum ditetapkan,” katanya ketika ditemui di Istana Budaya baru-baru ini.
Menyambung perbualan, Rahimah memberitahu, setelah sekian lama bermastautin di Singapura, beliau sangat teruja apabila berkongsi pentas bersama rakan seperjuangan lain termasuk Ramlah Ram, J. Mizan dan M. Daud Kilau.
“Kali pertama saya mendapat jemputan untuk mengadakan konsert ini ialah sekitar hujung tahun lepas. Saya telah dirisik oleh pihak pengurusan Istana budaya untuk mengadakan konsert berbentuk orkestra.
“Tanpa berlengah, saya terus menerimanya memandangkan setelah beberapa tahun saya tidak beraksi di pentas Istana Budaya, ditambah pula bergandingan bersama rakan-rakan seperjuangan lain. Ia merupakan peluang keemasan bagi saya. Insya-Allah, saya akan cuba memberi yang terbaik pada malam 30 Januari nanti,” katanya bersemangat.
Meninggalkan Rahimah untuk seketika, Ramlah yang pada ketika itu mengenakan busana ungu dan berhijab tampak anggun dan mempesona. Pelantun lagu Selamat Jalan Romeo itu kelihatan sungguh bersemangat pada hari tersebut.
Terus membawa perbualan mengenai persediaan konsert, Ramlah berkata, tidak banyak perkara yang perlu dititikberatkan menjelang konsert berkenaan memandangkan senarai lagu yang akan dinyanyikan ialah lagu asal nyanyiannya.
“Berbincang mengenai lagu, tidak banyak perkara yang perlu diambil perhatian. Namun, saya tetap gemuruh apabila konsert ini menampilkan barisan orkestra tradisional yang tentunya membawa kelainan besar kepada saya.
“Saya berharap, segalanya berjalan dengan lancar dan setakat ini saya masih belum boleh dapat memberikan gambaran keseluruhan konsert memandangkan kami masih belum mengadakan raptai pertama,” katanya.
Pada malam bersejarah tersebut, Ramlah akan menyanyikan lagu hit sepanjang zamannya termasuklah Diam-Diam Jatuh Cinta, Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu, Selamat Jalan Romeo dan rangkaian lagu medley termasuklah Bunga Tanjung, nyanyian asal, Allahyarham Datuk Sharifah Aini.
Rahimah sibuk di Singapura
Kembali menyelusur kisah Rahimah yang juga sepupu Fauziah Ahmad Daud itu, tentu peminat industri seni tempatan tertanya-tanya sebab sebenar pelantun lagu Gadis Dan Bunga itu kian menyepi. Namun, di sebalik kurang publisiti tentang kariernya, penyanyi bersuara lunak itu masih aktif di Singapura.
Membawa perbualan larut mengenai perkembangan terbaharunya, Rahimah memberitahu, dia kini lebih sibuk memenuhi jemputan nyanyian di Singapura sehinggakan masanya terhad untuk menoleh ke arah Malaysia.
“Semenjak saya kembali aktif pada tahun 2003, saya lebih banyak memenuhi jemputan di Singapura, terutamanya di stesen televisyen di sana. Alhamdulillah, mereka masih menerima bakat dan nyanyian saya sehingga mengiktiraf saya sebagai salah seorang ikon penyanyi wanita di sana.
“Tambah meluaskan pintu rezeki, saya juga diundang untuk mewakili Singapura dalam sebuah persembahan nyanyian yang akan diadakan di Shanghai, China menjelang Mac depan. Jadual saya di Singapura memang sangat padat sehingga saya perlu melepaskan tawaran yang datang dari Malaysia,” ujar penyanyi yang juga merupakan pengurus pejabat di salah sebuah syarikat guaman di Singapura itu.
Teruja bercerita tentang hidupnya, selain bergiat aktif memenuhi jemputan nyanyian, Rahimah memberitahu, dia juga masih bergiat aktif dalam bidang lakonan apabila terlibat dalam sebuah filem Singapura berjudul 3688.
“Saya sangat bersyukur kerana produksi filem bawah arahan seorang pengarah muda yang sangat berbakat, Royston Tan itu masih mempunyai keyakinan terhadap bakat lakonan saya.
“Saya gembira kerana masih lagi diberi ruang untuk berkarya dalam bidang yang menjadi darah daging saya semenjak 20 tahun lalu, sekali gus masih membuka ruang kepada golongan seperti saya untuk menzahirkan bakat,” ujarnya.
Mengelak untuk bercerita mengenai hal peribadinya, Rahimah bagaimanapun berkata, kehidupan keluarganya kini bahagia dengan kehadiran tiga cucu yang kini membesar dengan sempurna.
“Saya tidak mahu bercerita lebih dalam mengenai hal peribadi, biarlah masyarakat tahu mengenai aktiviti seni saya. Bagaimanapun, apa yang boleh diberitahu di sini ialah hidup saya yang kini diserikan dengan kehadiran tiga cucu, Alya Qistina, 10, Alysha Qadria, 9, dan Aqmal Matin, 7. Mereka merupakan rahmat terbesar dalam hidup saya,” ujar Rahimah yang boleh berbahasa Mandarin itu.
Membawa perbualan mengenai perancangan masa hadapannya, Rahimah berkata, dia akan terus bergiat aktif dalam bidang seni selagi mampu dan masih belum menetapkan tempoh persaraannya.
“Muzik dan seni suara merupakan minat dan darah daging saya. Saya pernah bersara sebelum ini, namun, tidak lama disebabkan kerinduan saya terhadap bidang nyanyian yang membuak-buak. Saya akan terus menyanyi selagi peminat menghargai karier seni saya,” katanya yang akan tampil dengan sebuah single yang masih belum ditetapkan konsepnya pada tahun ini.
Album baharu Ramlah
Beralih bicara kepada Ramlah pula, legenda itu masih mengekalkan pesonanya sama ada di kaca televisyen atau depan khalayak. Penyanyi otai itu masih boleh dianggap antara penyanyi yang masih aktif dalam bidang seni suara apabila terus tampil dengan material baharu berbanding rakan seperjuangannya yang lain.
Dalam lambakan penyanyi baharu, Ramlah yakin mampu berdiri sendiri. Tidak hairanlah apabila Ramlah memberitahu, dia kini sedang mengumpul material untuk album terkininya.
“Kalau tidak ada aral melintang, Insya-Allah, saya akan tampil dengan album baharu yang akan dilancarkan pada tahun ini. Album penuh tersebut akan menampilkan keseluruhan lagu baharu dan berkonsepkan pop ketuhanan. Biarpun begitu, saya masih mengekalkan ciri-ciri seorang penyanyi bernama Ramlah Ram,” jelasnya.
Beritahu Ramlah, beliau menghasilkan album penuh itu sebagai menyambut pertanyaan dan permintaan daripada peminat yang mahu melihat beliau muncul dengan material baharu.
“Pada masa yang sama, saya juga mahu membuktikan bahawa saya masih aktif dan kekal relevan dalam bidang seni,” tambah Ramlah optimis.
Ditebak mengenai rahsianya kekal bertenaga terutamanya apabila menyampaikan lagu bernada tinggi, Ramlah mengakui menjadikan penyanyi tersohor Indonesia, Hetty Koes Endang sebagai idolanya.
Katanya: “Saya sangat mengagumi cara beliau (Hetty) menjaga kesihatannya. Hetty begitu cerewet mengenai pemakanannya dan sering mengelak untuk meminum minuman sejuk yang dipercayai boleh menjejaskan kotak suara.
“Disebabkan itulah dia masih mampu menyanyikan lagu bernada tinggi walaupun umurnya kini mencecah 58 tahun. Jadi saya mengikut serba sedikit rahsia beliau untuk kekal bertenaga dan mempunyai mutu vokal yang baik,” ujarnya.
Terus membawa perbualan kepada isu peribadi, Ramlah Ram berkata, dia masih belum memikirkan soal kahwin selepas kegagalan rumah tangga bersama Penerbit Rancangan Unit Sukan di Radio Televisyen Malaysia (RTM), Kamal Roslim, sekitar lima tahun lalu.
Ramlah memberitahu, pada ketika ini fokusnya tidak lagi tertumpu kepada soal tersebut, sebaliknya mahu memberi tumpuan yang lebih mengenai kerjaya dan masa depan.
“Saya tidak pernah terfikir pun pasal jodoh kerana terlalu sibuk dengan perkara lain. Apatah lagi ketika usia sudah mencecah 40-an, perkahwinan bukan lagi menjadi keutamaan saya,” katanya berterus-terang.
Bagaimanapun kata Ramlah, jika Allah sudah menetapkan jodoh baharu buatnya suatu hari nanti, beliau tidak akan menolaknya.
“Saya tidak pernah serik untuk berkahwin lagi, kalau sudah ditakdirkan saya bertemu jodoh lain, saya terima sahaja,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ramlah berkata, walaupun bersendirian dia tidak pernah berasa sunyi kerana kehidupannya sering dikelilingi oleh anak-anak saudara dan kaum keluarga.
Malah kata penyanyi itu, keluarganya juga tidak pernah membangkitkan soal perkahwinan dan menyerahkan sepenuhnya kepada beliau dalam melihat masa hadapan diri sendiri.