Susulan tragedi banjir yang melanda Pantai Timur, pereka fesyen terkenal Ezuwan Ismail melahirkan rasa simpati dengan kejadian yang menjejaskan hampir kebanyakan kawasan di negeri kelahirannya, Kelantan.
Malah dia turut terkejut apabila melihat gambar daripada ada salah seorang mangsa di negeri berkenan yang telah memuat naik foto yang menayangkan pakaian rekaannya.
Sehubungan itu, Ezuwan Ismail telah berkongsi gambar lelaki yang memegang pakaian rekaannya di dalam laman Instagram miliknya baru-baru ini sebagai menunjukan rasa simpati terhadap mangsa berkenaan.
Ezuwan Ismail ketika dihubungi berkata, dia sama sekali tidak menyangka salah seorang pelanggannya yang dikenali sebagai Mimi telah memuat naik foto di laman sosial dengan menayangkan baju rekaannya yang musnah akibat tragedy itu.
“Pertama kali saya melihat gambar berkenaan di Facebook, saya bagaikan familiar dengan pakaian berkenaan dan apabila saya melihat gambar itu lagi beberapa hari berikutnya, baru saya sedar bahawa pakaian itu adalah pakaian rekaan saya.
“Ini dikuatkan lagi apabila ada yang memberi komen bahawa itu adalah pakaian rekaan saya dan apabila membelek rekod pelanggan dalam simpanan saya, baru saya pasti itu adalah pakaian salah seorang pelanggan saya, Mimi,” katanya.
Menurut pereka fesyen berkenaan, Mimi merupakan salah seorang pelanggan setianya yang berasal dari Kelantan dan dia sesungguhnya amat bersimpati dengan bencana yang melanda keluarga berkenaan.
Ezuwan Ismail menyifatkan tragedi banjir yang melanda negeri tempat lahirnya itu sebagai musibah yang dapat memberikan 1001 hikmah kepada semua penduduk negeri berkenaan.
“Alhamdulillah kediaman keluarga saya di Kelantan tidak mengalami sebarang banjir walaupun hujang turun dengan lebatnya tanpa henti.
“Walaupun begitu, saya tetap bersimpati dengan apa yang telah dialami oleh mangsa banjir dan saya turut menghulurkan bantuan dan doa supaya dapat megurangkan beban kesengsaraan mereka,” katanya.