Sudah lebih sebulan berlalu, namun tragedi kemalangan yang membabitkan pereka fesyen popular Hatta Dolmat pada tanggal 2 Disember tahun lalu nampaknya telah memberi banyak kesan mendalam dalam hidupnya.
Bukan sengaja dirahsiakan atau mahu menyorokkan tragedi menakutkan itu kepada orang ramai terutama sekali peminatnya, Hatta Dolmat tenyata mempunyai alasannya tersendiri.
Dihubungi portal Artis Meletop, Hatta Dolmat berkata sekurang-kurangnya dia telah memaklumkan berita kurang menyenangkan itu kepada kedua ibu bapanya sebaik sahaja terbabit dengan kemalangan yang berlaku pada sebelah malam itu.
“Kemalangan telah berlaku pada 2 Disember dan dalam masa yang sama pelancaran koleksi terbaru saya akan diadakan pada 6 dan juga 7 Disember berikutnya.
“Jadi saya terpaksa merahsiakan hal kemalangan itu kerana saya tak mahu ianya akan memberi kesan kepada jualan perniagaan saya pada kedua-dua hari berkenaan kerana mungkin setiap manusia mempunyai pandangan yang berbeza.
“Saya mahu, segala hal berkaitan hari jualan itu berjalan lancar, memandangkan ramai yang telah menantikan kemunculan jualan hari itu.
“Apa yang penting, asalkan saya selamat dan tidak ada apa-apa yang parah, saya bersyukur. Tidak ada apa yang perlu dirisaukan,” katanya yang hanya mengalami luka kecil.
Kemalangan yang berlaku sekitar jam 7.30 malam di Sekyen 7, Shah Alam itu telah membabitkan empat kereta iaitu Kancil, BMW, Ford Ranger dan kereta milik Hatta Dolmat sendiri iaitu Volkswagen Beetle.
Kata Hatta Dolmat, dia sama sekali tidak menyangka kemalangan itu akan berlaku dalam sekelip mata memandangkan keadaan jalan raya ketika itu cukup tenang.
“Kemalangan satu perkara yang tidak dapat dielakkan dan dalam masa dua saat semuanya berubah.
“Saya berasa sangat takut dan terkejut kerana ini adalah kali pertama saya berdepan dengan kemalangan besar membabitkan empat buah kereta.
“ Selepas disiasat, kemalangan itu sebenarnya berpunca daripada kereta Kancil yang memberikan brek kecemasan dan telah menyebabkan kereta BMW yang berada di belakangnya menghentam dan kemudiannya diikuti kereta lain termasuk kereta saya.
“Keadaan kereta saya sangat teruk terutama di bahagian hadapan termasuk enjin kereta. Tapi Alhamdulillah, saya selamat dan sangat bersyukur.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada teman dan rakan-rakan yang bersusah payah datang untuk menenangkan saya ketika hari kejadian,” katanya.