Hafiz Hamidun pilihan peminat



BIARPUN hanya berada di tempat ketiga bagi kategori Lagu Terbaik dalam Anugerah Nasyid IKIM FM, Hafiz Hamidun tetap 'menang besar' di tangan peminat-peminatnya.

Buktinya, penyanyi berusia 31 tahun ini memenangi tiga trofi pilihan pendengar IKIM FM iaitu Artis Solo Pilihan Pendengar. Lagu Paling Lama Bertahan Dalam Carta dan Lagu Pilihan Pendengar menerusi lagu ciptaannya, Kasih PadaMu.




"Lagu ini bersifat 'easy listening' dan ia bukanlah sebuah lagu yang dicipta untuk pertandingan.

"Saya sangat bersyukur apabila lagu itu masih mampu memikat hati peminat. Alhamdulillah," katanya pada Zass ketika ditemui, baru-baru ini.

Ketika ditanya apakah rahsianya membuat lagu sehingga disukai ramai, Hafiz ternyata punya jawapannya sendiri.

"Ketika saya sedang membuat lagu ini, rujukan utama saya ialah single kedua, Najwa Latiff iaitu Carta Hati.

"Walaupun lagu itu ringkas tetapi ia mendapat perhatian pendengar.

"Untuk komposisi lagu pula, saya merujuk kepada gaya Maher Zain sementelah pula lagu ini mempunyai bit hip hop tetapi dicampurkan dengan elemen nasyid," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hafiz berhasrat untuk tampil dengan album terbaharunya yang berunsurkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW.

"Saya juga baharu saja menyiapkan lagu untuk Datuk Siti Nurhaliza iaitu Mikraj Cinta," katanya.



Previous Post Next Post