Ekin - Yazer, saling melengkapi



SEMBILAN tahun menjalinkan hubungan cinta tidak semestinya ia mampu dipertahankan sehingga ke gerbang perkahwinan.

Namun bagi pemilik nama Norashikin Abdul Rahman, dia cukup bertuah apabila kisah cinta itu akhirnya menemui jalan bahagia meskipun hubungan tersebut pernah terputus di tengah jalan.

Selamat disatukan dengan rakan seangkatannya di Akademi Fantasia (AF) musim ke-3, Yazer pada 26 Disember lalu, wanita yang lebih dikenali dengan panggilan Ekin Rahman ini mengakui semakin bahagia.

Bahkan sepanjang bergelar isteri kepada Yazer, tidak banyak sisi berbeza yang ditunjukkan suaminya itu.




"Walaupun sudah lama berkawan dan bercinta tetapi tidak semestinya kita mengenali diri seseorang itu sepenuhnya.

"Tetapi tidak pada Yazer, dia masih insan yang sama saya kenali sembilan tahun lalu," katanya ketika dihubungi Zass.

Akui Ekin apa yang membuatkan dia lebih bahagia adalah dia yakin memilih Yazer sebagai seorang suami.

"Jika dahulu kami pernah berpisah, tetapi kini saya mahu dia sahaja menemani saya sepanjang hayat.

"Sementelah selepas berkahwin, dia semakin 'caring' dan penyayang," katanya Yazer juga bukan seorang yang suka mengongkong.

Di aju pertanyaan mengenai cahaya mata, kata penyanyi yang juga pelakon berusia 30 tahun ini, dia dan Yazer tidak pernah merancang untuk memiliki cahaya mata.

"Cepat atau lambat terserah kepada rezeki yang diberi ALLAH SWT. Tetapi kalau boleh saya mahukan anak antara dua ke empat orang, kalau dapat lebih pun saya terima sahaja," katanya.

Sementara itu, Ekin menjelaskan, buat masa sekarang dia dan suami tidak tergesa-gesa untuk berbulan madu walaupun baru mendirikan rumah tangga.

"Sebenarnya perancangan sudah ada, cuma masa dan tempatnya sahaja belum ditentukan.

"Lagipun banyak lagi hal-hal kahwin yang belum diselesaikan, Insya-ALLAH, jika semuanya sudah selesai, barulah kami akan meluangkan masa ke destinasi pilihan bersama," ujarnya.

Bergelar isteri juga bukan alasan bagi Ekin untuk meninggalkan bidang seni suara, lebih-lebih lagi, Yazer tidak pernah menghalangnya untuk terus menyanyi.

"Sebelum berkahwin lagi saya sudah bertanyakan perkara ini kepadanya, tetapi dia tidak kisah.

"Dia tidak menghalang selagi saya pandai menjaga diri dan tahu batas-batas sebagai seorang isteri," katanya.

Buat perniagaan sampingan

Mengakui bidang seni suara yang diceburi sejak tahun 2005 bukan punca pendapatan utamanya kini, Ekin berkata, dia dan Yazer kini berjinak-jinak dalam bidang perniagaan sejak bergelar suami isteri.

Menurutnya, perniagaan tersebut telah dijalankan bermula minggu lalu di sekitar Kuala Lumpur.

"Idea untuk menjalankan perniagaan barangan 'Pre-Loved' dan car boot sale ini tercetus apabila Yazer mempunyai koleksi pakaian dan barangan yang tidak digunakan lagi.
"Ditambah pula dengan koleksi saya sendiri yang agak banyak, jadi kami putuskan untuk menjualnya sahaja.

"Buat masa sekarang kami berniaga pada hujung minggu iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad," katanya.

Bercerita mengenai perkembangan terbaru dalam bidang nyanyian, kata Ekin, dia bersyukur kerana masih ada pihak yang mengundangnya dan Yazer menyanyi.

"Alhamdulillah, kami masih lagi menyanyi seperti dahulu walaupun tidak serancak kemunculan kami di AF dahulu," katanya.

Selain itu, Ekin juga bakal muncul dengan single terbarunya tahun ini.

"Lagu sudah ada, cuma tinggal untuk touch up apa yang patut sahaja," katanya masih belum memutuskan lagu judul lagu tersebut.

Tambahnya, bukan sahaja dia, sebaliknya Yazer juga bakal muncul dengan single terbaharu tidak lama lagi.

Ditanya apakah dia tidak teringin melakukan duet bersama suaminya itu, akui Ekin, dia dan Yazer pernah berbincang mengenai perkara tersebut sebelum ini.

"Memang kami pernah impi untuk menghasilkan lagu duet bersama, tetapi kerana agak sibuk dengan kerjaya masing-masing kami pendamkan dahulu.

"Jika tiada aral, mungkin selepas single kami dilancarkan, barulah kami hasilkan lagu duet tersebut," katanya lagi.



Previous Post Next Post