Zul Ariffin: Belum masa berkahwin



AKTOR kacak, Zul Ariffin mengakui persiapan perkahwinan adalah sesuatu yang merumitkan dan merenyahkan.

Oleh sebab itu, teraju utama filem Penanggal itu masih belum membuat keputusan untuk menamatkan zaman bujang dengan kekasih hatinya, Gayatri Su-Lin Pillai.

"Tahun ini tiada kahwin dan saya juga tiada apa-apa perancangan lagi untuk ke arah itu.

"Kini, saya sibuk menyusun jadual kerjaya tetapi apabila saya berfikir mengenai persiapan kahwin, saya rasa ia rumit dan memeningkan kepala apatah lagi ia akan mengambil masa sehingga berbulan-bulan.

"Jadi, atas sebab itu, saya rasa nanti dululah (kahwin)," tegasnya kepada Zass, ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Nivea Men Cool Kick Deodorant, baru-baru ini.




Ketika ditanya, adakah dia takut peminatnya akan lari jika dia berkahwin apatah lagi namanya juga baru saja meningkat naik, Zul sambil tersenyum memberitahu:

"Tidaklah, bukan sebab itu. Lagipun, peminat tahu dengan siapa saya selalu keluar dan mereka faham.

"Peminat bukanlah satu masalah. Malah, ramai yang berjaya dalam karier ini pun, semuanya sudah pun mendirikan rumah tangga," katanya.

Bagaimanapun, kata pelakon berusia 28 tahun ini, dia hanya akan memikirkan perkara itu apabila benar-benar bersedia nanti.

"Banyak lagi kerja lain yang saya harus laksanakan terlebih dahulu. Apabila saya sudah betul-betul bersedia nanti, saya terus kahwin," katanya.

Fokus kempen kemasyarakatan

Beralih kepada soal kerjayanya pula, untuk tahun ini, selain soal lakonannya yang semakin meningkat naik, Zul turut fokus kepada pelbagai kempen kemasyarakatan serta pengiklanan produk.

Terbaharu, dia baharu saja terpilih sebagai ikon kempen produk Nivea Men Cool Kick Deodorant bersama-sama dua lagi personaliti iaitu Nazim Othman dan Kevin Zahri.

"Tahun lalu, saya agak sibuk dengan kerja. Jadi, secara peribadinya, tahun ini saya sememangnya mahu aktif dengan melakukan perkara-perkara seperti ini atau seumpamanya.

"Lagipun, sebagai pengguna setia Nivea, tidak salah sekiranya saya menyokongnya," katanya.

Selain itu, Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin turut terpilih menjadi menjadi duta Drama Festival Kuala Lumpur 2015 (DFKL 2015).

Impak daripada drama bersiri, Rindu Awak 200 Peratus, nyata semakin ramai peminat mula menyedari kehadirannya dalam industri hiburan tanah air.

"Ketika saya masuk bidang ini, lima tahun lalu, saya banyak pegang watak jahat dan waktu itu tidak ramai yang nampak kehadiran saya.

"Saya hanya dapat tumpuan ketika saya mula membawa watak-watak romantik. Alhamdulillah, peminat terima." katanya yang mengimpikan watak thriller di masa hadapan.

Dalam perkembangan lain, Zul yang baharu saja tamat menjalani penggambaran drama bersiri, Istikharah Cinta yang kini ditayangkan di TV3, akan kembali sibuk dengan penggambaran drama adaptasi novel, Mr. London Ms. Langkawi untuk siaran Astro.



Previous Post Next Post