SABAN tahun, tanggal 11 Januari pastinya sedia tersemat kemas dalam kotak memori semua peminat setia penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza. Tidak keterlaluan jika penulis mengatakan tarikh tersebut sebagai momen keramat buat semua peminat figura kesayangan negara itu.
Menjangkau usia sebagai seorang wanita berumur 36 tahun pada tahun 2015, penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu diraikan dalam satu majlis yang cukup ringkas tetapi penuh kemeriahan.
“Majlis sambutan ulang tahun kelahiran pada tahun ini saya sendiri yang rancang. Saya buat satu majlis meriah tetapi sederhana memandangkan keadaan negara sekarang masih sedang berduka dengan musibah banjir yang menimpa,” ujar pelantun lagu Terbaik Bagimu itu mesra membuka kata.
Pada 1 April depan, genap sudah 20 tahun pemilik nama sebenar, Siti Nurhaliza Tarudin itu bertapak dalam industri seni negara. Peluang tersebut juga diambil oleh Datuk Siti untuk meraikan insan-insan penting yang banyak menyokong perjalanan karier seninya selama ini.
Turut mengambil kesempatan, majlis yang diadakan di Banquet Hall, Hotel The Ritz Carlton, Kuala Lumpur itu juga sebagai malam penghargaan kepada komposer, penulis lirik dan semua yang terlibat dalam pembikinan album Fragmen yang berjaya dinobatkan sebagai Album Terbaik menerusi Anugerah Industri Muzik ke-21 (AIM21) pada Disember tahun lepas.
Siti bersama suaminya, Datuk K menyerahkan hadiah ulang tahunnya sebanyak RM310,000 sebagai kutipan sumbangan banjir kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid sambil ditemani isterinya, Datin Hamidah Khamis (dua dari kanan).
Hadiah paling bermakna
Jika sebelum ini, acap kali sambutan ulang tahun kelahiran pelantun lagu Jaga Dia Untukku itu mendapat perhatian umum kerana hadiah yang diterima daripada suami tercinta, Datuk Khalid Mohd. Jiwa atau lebih popular dikenali sebagai Datuk K selalunya merupakan barangan mewah dan berjenama.
Bagaikan seperti adat, jika sudah namanya penyanyi popular, tentu apa sahaja yang diterima oleh pemenang The Voice Of Asia di majlis MTV Asia Awards 2005 di Bangkok, Thailand itu akan mendapat perhatian umum.
Sejak bergelar isteri kepada Datuk K hampir sembilan tahun, hadiah hari lahir sentiasa dinanti-nantikan peminatnya kerana beliau sering dimanjakan dengan hadiah ulang tahun yang mewah.
Mengambil pendekatan untuk merahsiakan hadiah istimewa yang diterimanya tahun ini, bekas juara HMI tahun 1995 itu sebolehnya tidak mahu menggembar-gemburkan hadiah yang diterimanya kepada umum.
“Apabila sudah dihidangkan dengan cerita hadiah yang saya terima setiap kali sambutan hari lahir, ia sudah menjadi seperti satu budaya untuk orang di luar sana mengambil tahu.
“Namun bagi saya, hadiah apa yang saya terima dan berapa harganya, itu tidak penting. Kalau boleh, tidak perlulah setiap tahun ada sahaja berita mengenai hadiah hari lahir saya.
“Harta benda bukan perkara paling utama dalam soal ini. Apa yang penting, hidup saya bahagia dan sentiasa disayangi oleh keluarga, rakan-rakan dan peminat, itu pun sudah buat saya bersyukur,” ujar anak keempat daripada lapan adik-beradik itu sambil menolak dengan baik pertanyaan mengenai hadiah hari lahir yang diterimanya.
Sumbang kepada mangsa banjir
Siti memotong kek ulang tahunnya yang ke-36 tahun sambil diperhatikan suaminya, Datuk K, ibunya, Siti Salmah Bachik (kiri) dan ibu mentuanya, Siti Zainab Hanafi (kanan) pada majlis sambutan ulang tahun penyanyi itu di Hotel The Ritz-Carlton, Kuala Lumpur pada 11 Januari lalu.
Bicara pengusaha produk kecantikan jenama terkemuka SimplySiti itu lagi, beliau mahu memberikan satu kelainan dalam majlis sambutan kelahirannya pada tahun ini.
Berbesar hati menyumbangkan sejumlah daripada wang hadiah hari lahirnya kepada mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur.
Wang berjumlah RM310,000 itu juga merupakan hasil sumbangan daripada orang perseorangan, badan kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut sama menghulurkan bantuan demi membantu mangsa-mangsa banjir yang terlibat.
“Semua jumlah RM310,000 itu datangnya daripada pelbagai sumbangan ikhlas ramai pihak yang turut sama mahu membantu semua mangsa banjir di Pantai Timur.
“Pihak saya dan suami juga turut menyumbangkan sebanyak RM50,000 untuk tujuan itu menerusi Yayasan Nurjiwa milik kami berdua,” ujar penyanyi yang telah memenangi lebih daripada 200 anugerah itu ceria.
Cek sumbangan tersebut diserahkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi yang hadir sebagai tetamu kehormat pada malam itu sambil ditemani oleh isteri, Datin Seri Hamidah Khamis.
Sensitif dengan keadaan negara yang sering dilanda musibah sejak tahun lalu, Siti turut terkesan dan menyelami penderitaan yang ditanggung semua mangsa.
“Tidak semestinya mendapat hadiah hari lahir itu sudah cukup membuatkan kita gembira. Sebaliknya, dengan menggembirakan orang lain yang sedang dilanda kesusahan, itulah sebenarnya hadiah yang paling bermakna dalam hidup saya.
“Saya mahu hadiah pada tahun ini ditukar dengan perkara yang saya mahu lakukan, terutamanya sekarang melihatkan keadaan di beberapa negeri terjejas banjir, terlalu ramai insan-insan yang lebih memerlukan sumbangan seperti ini.
“Saya harap dengan penyerahan sumbangan ini, sedikit sebanyak ia dapat memberi peluang kepada semua mangsa banjir supaya kembali membina kehidupan mereka seperti sedia kala,” ujar penyanyi yang lahir pada tahun 1979 itu dalam tutur kata yang lembut.
Siti dan Datuk K menggunakan majlis ulang tahun Siti sebagai medan pertemuan dengan sahabat-sahabat mereka.
Harap kekal relevan
Ditebak dengan anjakan usia yang kini sudah berusia 36 tahun, Siti hanya melemparkan senyum nakal sebelum membalas ajukan soalan mengenai perasaannya dalam melayari bahtera kehidupan selepas ini.
“Dalam hidup ini, tiada apa yang lebih utama selain mengharapkan satu perubahan yang terbaik buat diri saya, terutamanya dalam bidang agama. Apabila usia semakin meningkat, seharusnya manusia itu perlu lebih perbanyakkan lagi diri mendalami ilmu agama, selain kekal mengharapkan diri ini masih diterima oleh peminat.
“Kalau mahu berjaya, doa itu sangat penting. Untuk menggapai bahagia dan kejayaan dalam hidup juga, saya sangat perlukan segugus doa dan sokongan daripada peminat semua. Itulah sebenarnya resipi utama untuk seseorang artis itu berjaya dalam karier,” tutur pelantun lagu Falling In Love itu mesra dalam sebaris ayat yang disusun kemas.
Karier dan hajat
Jika sudah namanya tersohor, sebutlah apa sahaja yang tidak pernah dicapai oleh figura popular ini. Saban tahun, ada sahaja buah tangan terbaharunya untuk peminat.
Penyanyi yang terkenal dengan irama muzik tradisional itu mahu mewarnai permulaan tahun baharu 2015 dengan perancangan untuk mengeluarkan beberapa buah single baharu antaranya lagu bergenre kerohanian, tradisional, pop dan sebuah lagu berbahasa Inggeris.
“Saya rancang untuk mengeluarkan single satu persatu dan kemudian barulah rangkumkan kesemua lagu tersebut dalam sebuah mini album tidak lama lagi.
“Malah, untuk perkembangan lain, pihak Istana Budaya telah memberitahu perancangan mereka untuk mengadakan Konsert Nusantara tidak lama lagi.
“Pada masa yang sama, sebenarnya saya punya satu impian besar untuk tahun ini iaitu mengadakan Konsert Lentera Timur kedua selepas Konsert Lentera Timur sebelum ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan,” ujarnya mengakhiri perbualan pada malam itu.