![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj5YJKtk8FxtVB-c_gI8Bm1nuUmCIuhFBVmkIZ9MHZfaLG02Miue4blHMi4Q2d3ioZeT13fV4gbqNcJwLWbsMnq8ggZD3VosY-hnoXbNVM_t5DIE_p6cmjjOTiDogoElmH_gsODUQ8ff897/s1600/Abstrak+Hingga+Ke+Bulan.jpg)
KUMPULAN Abstrak Sampai Ke Bulan akan muncul dengan album Tik Tok dalam masa terdekat.
SEBAGAI anak seni, kebanyakan pemuzik biasanya bermula dengan karya-karya yang dekat dengan jiwa mereka.
Genre lagu yang dicipta selalunya diinspirasikan menerusi minat selain pengaruh serta trend yang dibawa oleh pemuzik-pemuzik lain.
Bagaimanapun, jika terlalu lama melekat dengan genre yang sama, produk yang dihasilkan pasti kedengaran klise dan tidak berkembang.
Bagi band yang terlebih dahulu dikenali dengan genre ska, Abstrak Sampai Ke Bulan, percubaan menyuntik elemen pop ke dalam karya-karya baharu ciptaan mereka merupakan antara inisiatif lima orang anak muda itu untuk lari daripada takuk lama.
Kumpulan yang terdiri daripada Adibah Mohd. Baharuddin, 29, Muhammad Amar Hamka, 29, Mohd. Rezal Abd. Rahman, 37, Borhannudin Rahmat, 27, dan Zairul Addry Helmy, 39, itu menganggap, perubahan tersebut dirasakan perlu bagi mengukuhkan kehadiran mereka dalam pasaran muzik komersial tempatan.
“Jika dilihat pada perkembangan muzik semasa, kami merasakan bahawa sudah tiba masa untuk mencuba sesuatu yang baharu.
“Bukan bermakna kami meninggalkan seratus peratus muzik ska yang pernah kami bawakan suatu ketika dahulu.
“Cuma pada kali ini, elemen pop disuntik agar dapat memberikan kelainan kepada pendengar,” ujar mereka yang popular dengan single Jangan Tinggalkan Aku dan Anugerah Terindah.
Begitupun, pada awalnya, mereka khuatir tentang reaksi yang bakal diberikan oleh pendengar dan peminat.
Namun, kebimbangan mereka tersasar kerana sebaik sahaja Jangan Tinggalkan Aku diterbitkan, lagu itu dapat diterima peminat.
“Tidak dinafikan, kami sangat risau dan sering memikirkan risiko yang bakal kami hadapi setelah mengambil keputusan untuk mencuba muzik yang lebih berunsur pop.
“Telahan kami meleset sama sekali apabila lagu itu mendapat maklum balas yang positif daripada pendengar,” ujar mereka lagi.
Bercerita tentang album terbaharu mereka yang berjudul Tik Tok, lagu-lagu yang bakal dimuatkan di dalam album itu kelak dijangka akan memberi kejutan buat peminat.
“Tik Tok merupakan buah tangan berbeza daripada kami. Selain menampilkan Deeba sebagai vokalis baharu, ia juga turut menampilkan suntikan pop ska yang kami ingin perkenalkan kepada pendengar.
“Selain itu single Jangan Tinggalkan Aku dan Anugerah Terindah turut dimuatkan,” kata mereka yang bakal melancarkan album tersebut dalam masa yang terdekat.
Tambah anak-anak muda itu lagi, bagi mempromosikan album itu nanti, Abstrak Hingga Ke Bulan bakal menyertai acara-acara persembahan di beberapa festival yang dianjurkan di seluruh negara.
“Pada 1 dan 2 Mac depan, kami akan membuat persembahan di Tempatan Fest 5.0 yang diadakan di Kompleks Belia & Sukan Paroi, Negeri Sembilan.
“Kami juga bercadang untuk hadir dengan jenama pakai serta aksesori Abstrak Hingga Ke Bulan khas untuk peminat,” ujar mereka mengakhiri perbualan.