Reunion mini jejaka AF



Ketua Bahagian Muzik & Bakat Astro, Prakash Swami Nathan (kiri sekali) bersama penyanyi-penyanyi (dari kanan) Firman, Hazama, Hafiz, Faizul dan Aril yang akan membuat persembahan dalam Showcase Hafiz & Friends.

SAMBUTAN yang menggalakkan ketika mengadakan persembahan pertama di Hard Rock Cafe Melaka sekitar bulan Mei tahun lalu mendorong Hafiz dan rakan-rakan kembali dengan showcase kedua di ibu negara.

Bakal menemui peminat pada 25 Januari depan, showcase Hafiz & Friends akan diadakan di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur bermula pada pukul 9 malam.

Kali ini, Hafiz, Akim, Hazama dan Aril bergabung dengan dua lagi rakan Akademi Fantasia (AF) yang lain termasuk juara AF2013, Faizul Sani dan juara AF2014, Firman.

Sebagai permulaan ambang tahun baharu bagi kerjaya seni masing-masing, kesempatan itu diambil oleh Hafiz untuk bergabung dengan rakan-rakannya mengadakan persembahan.




“Secara tidak langsung, ini cara kami untuk lebih mendekatkan diri dengan peminat. Kalau buat persembahan di kafe, lebih mudah untuk kami berinteraksi dengan peminat berbanding jika diadakan di stadium besar.

“Ruang di antara kami dengan peminat tidak jauh. Dengan jarak yang begitu dekat, pelbagai aktiviti boleh dilakukan bersama untuk mengeratkan hubungan antara kami sebagai artis dengan peminat.

“Dalam masa yang sama, showcase kali ini saya anggap sebagai satu reunion atau perjumpaan untuk beberapa orang penyanyi kelahiran AF seperti kami disatukan di atas satu pentas yang sama.

“Kami juga sudah seperti adik-beradik. Meskipun ada di antara kami menceburkan diri sebagai artis kelahiran AF dalam tahun yang berbeza, tetapi kerana kami berada di bawah satu bumbung iaitu Astro Talent, maka semuanya jadi mudah,” ujar anak kelahiran Kuching, Sarawak itu ceria.

Tambah Hafiz, jika sambutan yang diterima untuk showcase kali kedua itu nanti mendapat sambutan yang hebat, pihak Astro Talent tidak keberatan untuk mengadakan lebih banyak showcase mereka di tempat lain, termasuk merangka persembahan di Hard Rock Cafe Bali, Indonesia.

Hazama janji yang terbaik

Gembira dengan sambutan yang diterima ketika di Melaka pada tahun lepas membuatkan penyanyi yang terkenal dengan lagu Relakan Jiwa, Hazama mahu mengulangi kejayaan yang sama pada 25 Januari nanti.

“Untuk persembahan kedua di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur nanti, kami masih mengekalkan pengisian persembahan sama seperti di Melaka. Namun, untuk memberi sedikit kelainan pada malam itu, kami rancang menukar beberapa buah lagu.

“Tetapi apa yang lebih mengujakan, kali ini kami tampil dengan dua bintang baharu kelahiran AF iaitu rakan kami, Faizul dan Firman. Ini bagaikan satu penghormatan kepada kami untuk membawa rakan-rakan lain pada malam itu,” ujar Hazama yang merupakan juara AF musim kesembilan (AF9).

Meskipun seorang lagi trio mereka, Akim Ahmad tidak dapat menghadirkan diri pada sidang media itu kerana sedang mengerjakan umrah, Hafiz dan Hazama kekal optimis bahawa pemenang tempat ketiga AF musim ketujuh (AF7) itu mampu menjanjikan satu persembahan yang terbaik.

Mewakili rakannya itu, Hazama memberithu Akim akan muncul membuat persembahan bersama kumpulannya, The Magistrate.

“Nama Akim kini sudah sebati dengan band iringannya iaitu The Magistrate, jadi dia akan bawa satu persembahan bersama dengan band tersebut,” jelasnya.



DIBERI peluang berdiri di atas pentas bersama-sama bintang AF yang lebih senior, Firman akui gementar tetapi bersyukur di atas kesempatan itu.

Pengalaman pertama Firman, Faizul

Teruja dan syukur. Hanya dua perkataan yang mampu diluahkan keluar dari mulut dua penyanyi kelahiran AF yang berasal dari Tawau, Sabah, iaitu Firman dan Faizul. Sebaik diberi peluang untuk turut serta dalam Showcase Hafiz & Friends, Firman atau nama sebenarnya Mohd. Firman Bansir tidak mahu menoleh ke belakang lagi.

Baginya, rezeki yang datang bukan selalu. Sementelah diberi peluang untuk sama-sama beraksi dengan rakan seperjuangan di atas pentas yang sama, jejaka berusia 26 tahun itu menjanjikan satu persembahan yang terbaik.

“Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk sama-sama mengadakan persembahan dengan rakan-rakan lain. Tambahan pula, ini merupakan kali pertama saya bertemu dengan Hafiz.

“Persediaan untuk mengadakan showcase ini semuanya berjalan lancar. Insya-Allah pada malam itu nanti, saya akan nyanyikan dua buah lagu. Salah satunya lagu single saya bertajuk Di Pintumu dan kemungkinan lagi saya akan nyanyikan sebuah lagu rock lama,” ujar anak kelapan dari 11 beradik itu mesra.

Sama seperti Firman, Faizul yang terlebih dahulu bergelar juara AF 2013 juga punya rasa yang sama ketika diberi peluang menyertai angkatan rakan-rakannya pada malam itu.

“Alhamdulillah, dengan turut serta mengadakan persembahan dalam Showcase Hafiz & Friends itu nanti sebenarnya membuka peluang kepada kami untuk memperkenalkan diri kepada orang luar.

“Secara tidak langsung, kami semua mengharapkan ia umpama satu permulaan yang baik untuk kerjaya masing-masing pada tahun ini,” ujar anak jejaka berusia 30 tahun itu ceria.

Tiket-tiket persembahan yang berharga RM70 dan RM80 boleh didapati di pintu masuk Hard Rock Cafe pada hari persembahan.



Previous Post Next Post