Louise Pentland inspirasi wanita berbadan comel



JIKA bercakap mengenai kecantikan, ketika sering menggambarkan wanita dengan tubuh badan yang ramping, berwajah cantik, dan berambut panjang.

Namun jarang sekali kecantikan dikaitkan dengan mereka yang berbadan besar.

Justeru, demi memberi inspirasi kepada semua, tidak kira yang berbadan besar atau tidak, Louise Pentland Watson menerusi saluran YouTubenya, SprinkleofGlitter memberi pelbagai tip kecantikan kepada banyak wanita di luar sana.

Mengimbas kembali penglibatannya sebagai vlogger YouTube terkenal, Pentland berkata, dia hanya seorang pekerja pejabat biasa, namun minatnya dalam menulis dan gemar melakukan kerja kraftangan mendorongnya untuk membuka saluran “Sprinkle of Glitter” pada Januari 2010.

Saluran tersebut kemudiannya lebih memberi fokus kepada kecantikan, membeli-belah dan termasuk beberapa tips kehamilan, memandangkan dia sedang hamil ketika itu.

Kemudian pada Ogos 2012, Pentland membuka saluran kedua yang dinamakan “Sprinkle of Chatter”, di mana dia berkongsi mengenai gaya hidup meliputi gaya hidup dengan yakin, apa yang perlu dilakukan seharian dan banyak lagi.

Bagaimanapun mulai Ogos 2014, Pentland mula memberi fokus terhadap gaya hidup, blog fesyen dan kecantikan. Pentland mempunyai kira-kira 1.8 juta pelayar dan videonya ditonton lebih 79 juta kali!




"Saya mula aktif di dalam YouTube kerana merasakan ia sama seperti blog, apatah lagi saya gemar berkongsi video. Segalanya bermula bila saya mengubah suai rumah dan berkongsi di YouTube.

"Kemudian saya dapati, terlalu ramai pelayar yang menjadi pengikut saluran saya, oleh itu saya bertukar ke blog kecantikan seterusnya. Semenjak itu, saya fokus pada SprinkleofGlitter," katanya.

Selain vlog sendiri, Pentland juga sering bekerjasama dengan beberapa vlogger lain seperti Zoe Sugg, Joe Sugg, Alfie Deyes, Louis Cole, Tanya Burr, Tyler Oakley, Troye Sivan, Grace Helbig, Dan Howell dan ramai lagi.

Sedikit latar belakang mengenai Pentland, wanita berusia berusia 29 tahun ini, Pentland lahir pada 28 April 1985 di Northampton, United Kingdom.

Pentland kemudiannya berpindah ke Liverpool pada 2003 dan melanjutkan pelajaran dalam bidang Psikologi dan Biologi di Liverpool John Moores University dan menghabiskan pengajian pada tahun 2006 dengan ijazah kepujian.

Dia kemudiannya berkahwin dengan seorang guru, Matt Watson, pada 4 September 2010 dan kemudiannya dikurniakan seorang cahaya mata, Darcy, yang lahir pada April 2011

Impi produk sendiri

Kini menjadikan YouTube sebagai sumber pendapatan utamanya, Pentland berkata, perkara yang paling berharga apabila dia dapat meluangkan lebih masa dengan anaknya di rumah.

"Saya rasa amat berbaloi apabila dapat menghabiskan masa dengan percutian mewah bersama keluarga setelah saya penat bertungkus lumus menghasilkan yang terbaik untuk para pelayar saya tatkala mereka melayari saluran saya.

"Tapi paling berharga, dengan menjadi vlogger di YouTube, saya dapat meluangkan lebih banyak masa bersama anak, melihat dia membesar di depan mata, sambil dia melihat ibunya berdikari menguruskan kerjaya sendiri," katanya.

Tidak hanya mengerah idea untuk menghasilkan video terbaik di YouTube, Pentland berkata, dia kini dalam perancangan untuk mengeluarkan produk sendiri tidak lama lagi, sama seperti salah seorang vlogger kecantikan, Tanya Burr yang sudah mengeluarkan jenama solekan sendiri.

"Ya, perancangan itu memang ada dan kini dalam perancangan. Tapi apakah ia, biarlah menjadi rahsia terlebih dahulu, yang penting, ia akan datang tidak lama lagi," jelasnya.



Previous Post Next Post