UMUM sedia maklum bahawa Pierre Andre dan Metrowealth (MIG) sering bekerjasama dalam penghasilan filem-filem terbitan syarikat itu.
Namun filem terbaru arahan Pierre, Cerita Hantu Malaysia telah diterbitkan oleh 3Line Media Sdn Bhd. Ia secara tidak langsung menimbulkan tanda tanya adakah Pierre merajuk atau berseteru lagi dengan orang kuat MIG, Mejar (K) David Teo.
Apatah lagi dikhabarkan, Pierre sudah lama tidak muncul di pejabat MIG, termasuk tidak hadir ketika tayangan filem Kasut Ku Kusut beberapa minggu lalu.
Justeru peluang bertemu Pierre selepas selesai tayangan Cerita Hantu Malaysia baru-baru ini, digunakan Zass untuk bertanya kisah sebenar yang berlaku.
"Saya akui, orang kenal saya banyak mengarahkan filem terbitan MIG. Tapi kita tak tahu rezeki kita di mana, dan bagi saya di mana saya berpijak, di situlah rezeki saya.
"Malah saya juga tidak sangka akan berkenalan dengan penerbit filem ini kerana saya sangka akan bekerja selamanya dengan MIG.
"Tapi itu bukan bermaksud saya ada berseteru, bergaduh atau merajuk dengan David. Dulu mungkin ya, tapi kini tidak ada istilah bermasam muka atau simpan dalam hati.
"Jika orang yang betul-betul mengenali saya, mereka memang tahu saya ini macam biskut, lama menghilang, tiba-tiba saya akan ada balik," jelasnya.
Tambah Pierre, dia juga tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak kerana percaya dengan rezeki yang sudah ditetapkan oleh Allah SWT.
"Selepas ini, filem komedi arahan saya, CUT : Dukun Santet Masuk Set, turut diterbitkan oleh syarikat sama.
"Untuk Cerita Hantu Malaysia, saya harapkan kutipan bagus, sama seperti filem seram arahan saya sebelum ini," katanya yang mengakui sedih mengenang industri perfileman yang agak menakutkan pada ketika ini.