Kamal Adli lupakan kisah cinta lalu



TAHUN 2014 merupakan tahun yang perit buat pelakon kacak ini. Walaupun namanya semakin kukuh dalam industri lakonan, namun Kamal Adli diduga dalam kehidupan peribadi apabila hubungan yang dibina hampir enam tahun berkecai begitu sahaja.

Enggan menjadikan kenangan lalu sebagai penghalang untuk meneruskan kehidupan tanpa kekasih di sisi, Kamal memberitahu bahawa dia kini banyak terlibat dalam bidang produksi.

Menurut pelakon filem, Gerimis Mengundang, ini, selain lakonan, dia juga turut menjadikan bidang ini sebagai salah satu punca pendapatannya di samping mengisi masa terluang.




"Saya mula terlibat dalam bidang produksi ini selepas saya melaburkan RM10,000 untuk mendapatkan kamera helikopter jenama, Phantom.

"Pada mulanya, saya beli hanya untuk suka-suka sahaja, namun lama-kelamaan minat itu timbul dan saya cuba mencari peluang pekerjaan dalam bidang ini.

"Saya seronok jadi kru apatah lagi berpeluang bekerja dengan pengarah hebat seperti, Khabir Bhatia. Buat masa ini, banyak kerja yang saya buat dengan Khabir termasuk dokumentari yang dibuat di Sarawak," katanya yang mengakui seronok dengan bidang kerja baharunya itu.

Ditanya adakah ia merupakan platform untuk dirinya menubuhkan produksi sendiri, Kamal memberitahu bahawa dia tidak pernah bercadang ke arah itu.

"Saya lakukannya sekadar suka-suka, sekadar mencari pengalaman sahaja. Bukan nak buka produksi pun," katanya yang bakal muncul dengan drama adaptasi, Pergilah Air Mata, bersama Nelydia Senrose, Izreen Azminda dan Amar Asyraf.

Selain itu, pelakon filem, Cerita Hantu Malaysia ini memberitahu bahawa rezekinya dalam bidang lakonan filem semakin mencurah-curah apabila berpeluang menjayakan beberapa filem seperti CUT dan Apartment yang bakal ditayangkan pada awal tahun ini.




Previous Post Next Post