Nana bersama anaknya, Rayyan.
BUKAN mudah hendak meneruskan hidup sebagai ibu tunggal, sementelah perlu menyara kehidupan dan keluarga di atas kaki sendiri.
Namun, bagi pelantun lagu Cinta Hanya Sandaran ini, dia reda dengan jalan hidup yang perlu dilaluinya sejak lima tahun lalu.
Akui empunya nama Siti Siti Nordiana Alias, dia bersyukur kerana kehidupannya kini cukup serba serbi di samping keluarga dan anak tercinta
Mesra di sapa Nana, jelasnya, pengalaman banyak mengajar dirinya menjadi lebih baik dari masa ke semasa.
"Bukan bererti saya selesa menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal tetapi apa yang ditempuhi sudah cukup mematangkan saya.
"Saya tidak pernah menolak jodoh, tetapi pengalaman lalu banyak mendidik saya supaya berhati-hati dalam memilih teman hidup.
"Buat masa sekarang, saya selesa sendiri dan membesarkan anak bersama bantuan keluarga sahaja," katanya.
Ujar ibu kepada Mohamad Rayyan Nakhaie, 6 , ini, untuk mencari pengganti sesuai dia harus memikirkan penerimaan anaknya terlebih dahulu.
"Saya ada anak, jika mahukan saya, dia perlulah menerima anak saya juga," katanya.
Berkongsi mengenai perjalanan hidupnya kini, dia mengakui terpaksa berjauhan dengan Rayyan untuk mencari rezeki demi membesarkan anaknya itu.
"Biasanya Rayyan akan ditinggalkan bersama ibu di kampung apabila saya terpaksa 'outstation'.
"Kalau nak diikutkan memang sukar nak tinggalkan dia, tetapi saya terpaksa.
"Lagipun, apa yang saya lakukan semuanya untuk Rayyan," katanya.
Di aju pertanyaan adakah anaknya tidak merungut kerana terpaksa berjauhan dengannya, kata Nana, adakala Rayyan akan merajuk juga.
"Bila saya sibuk memang dia akan bertanya, tetapi dia akan faham dengan situasi tersebut.
"Yang pasti bila punya masa lapang, saya akan meluangkan masa dengannya dan membawa dia berjalan-jalan atau bermain," katanya Rayyan tidak pernah menunjukkan minat dalam bidang nyanyian setakat ini.
Tak tinggal nyanyian
Meskipun perniagaan yang diusahakan sejak tiga tahun lalu semakin maju, namun penyanyi kelahiran Felda Sendayan, Negeri Sembilan ini memberitahu, dia tidak mungkin meninggalkan bidang nyanyian semata-mata mahu memberikan fokus kepada
bidang tersebut.
"Saya masih menyanyi dan akan terus menyanyi selagi diperlukan. Lagipun, nyanyian adalah minat saya daripada kecil lagi.
"Sekarang pun, saya masih menerima undangan nyanyian bagi majlis-majlis tertentu.
"Cuma untuk melahirkan single baru, akan memakan masa kerana saya perlu cari sesuatu yang betul-betul sesuai dengan selera pendengar masa kini," katanya tampil duet bersama Aliff Aziz, Tak Ada Cinta Sepertimu tahun lalu.
Berkongsi perkembangan terbarunya pula, menurut Nana, dia bakal muncul dengan sebuah album berkonsepkan nasihat dan motivasi bagi kanak-kanak tidak lama lagi.
Album berjudul Dodoi Anak itu dalam proses pembikinan dan mendapat kerjasama daripada Hafiz Hamidun.
"Jika tiada aral, tahun ini album tersebut akan dilancarkan. Semunya ada lapan lagu dan kami masih memilih lagu yang sesuai," katanya berharap album tersebut dapat menjadi panduan dan motivasi kepada kaum ibu dan bapa dalam mendidik anak mereka.
Selain itu, Nana juga sedang bertungkus-lumus membuat persiapan mini 'showcase' yang akan diadakannya dalam masa terdekat.
"Alhamdulillah, mini 'showcase' ini khusus untuk peminat saya. Sekarang ni, saya masih dalam proses untuk mencari tarikh dan tempat sesuai.
"Jadi kepada peminat di luar sana, jangan ketinggalan untuk menyaksikannya nanti," katanya.
Berbicara mengenai perkembangan perniagaan pakaian Muslimah yang diusahakannya di bawah label Paling Comel, kata Nana, dia bersyukur kerana ia terus mendapat tempat di hati pelanggan.
"Kerana sambutan menggalakkan, saya akan pelbagaikan lagi rekaan-rekaan terbaru untuk pelanggan.
"Lagipun, setiap rekaan yang ada sentiasa tidak cukup stok dan ia membuatkan saya lebih teruja untuk memperluaskan perniagaan ini," katanya Paling Comel mendapat sambutan hebat ketika menyertai KL Yes Festival 2014 di PWTC baru-baru ini.