DRAMA cinta Emma Maembong dan Zizan Razak terus menjadi tumpuan peminat, sementelah hubungan mereka dikatakan berakhir minggu lalu.
Malah hubungan 'on off' itu dikatakan berlaku ketika pasangan itu menjalankan penggambaran sebuah telefilem, Hantu Wefie yang baharu sahaja berakhir empat hari lalu.
Pengarah telefilem itu, Micheal Ang, bagaimanapun menafikan hubungan pasangan itu sudah berakhir kerana masing-masing dilihat begitu mesra bersama dan tiada sebarang perubahan atau pertelingkahan di set penggambaran.
"Saya terkejut apabila berita perpisahan mereka terpampang di akhbar dan portal online. Pelik juga kalau Emma dan Zizan berpisah kerana hubungan mereka berjalan seperti biasa.
"Bahkan kelakuan mereka tidak menunjukkan bahawa pasangan ini bergaduh atau berpisah," katanya ketika dijumpai di Majlis Pelancaran Drama Dee, kelmarin.
Tambah Micheal, laporan yang dikeluarkan berkenaan status hubungan pasangan itu nyata tidak benar dan sengaja ditokok tambah oleh sesetengah pihak.
Katanya, adalah perkara biasa bagi mana-mana pasangan kekasih berdepan pasang surut dalam perhubungan. Begitu juga dengan Emma dan Zizan.
"Bagi saya, jika benar hubungan mereka bermasalah, mungkin mereka kini dalam situasi 'cooling period'," katanya.