Model muslimah, Raisha Rania (Felixia Yeap) berharap masyarakat tidak terus menerus menghentam gadis yang ‘membuat’ aksi yang kurang menyenangkan dalam satu konsert K-Pop baru-baru ini.
Beliau berkata, daripada terus memburukan mereka adalah lebih baik untuk mendoakan mereka supaya mereka sedar akan kesilapan tersebut.
“Mohon jangan hentam adik-adik kita tu lagi dah. Setiap orang berhak untuk belajar dari kesilapan lalu. Saya yang dulu pun pernah buat salah banyak. Dari masa ke masa pun ada juga dosa dan salah. Saya tak alim.
“Lebih baik kita doakan untuk mereka untuk sedar apa yang mereka telah lakukan ‘kurang enak’. Insha-ALLAH. Allah itu Maha Pengampun,” tulisnya di laman Facebooknya hari ini.
Dalam pada itu, menyentuh perihal yang sama Rania berkata, beliau sendiri tidak suka untuk bersentuhan dengan mana-mana lelaki apatah lagi untuk membuat aksi memeluk.
“Saya tak suka lelaki sentuh saya. (Kecuali baby. hehe.).
“Dari dulu (masa saya tak berhijab dan masih seorang model), sampailah sekarang (dah berhijab dan dah jadi seorang Muslimah) memang tak suka lelaki sentuh/peluk walaupun hanya sekadar untuk bergambar kenangan.
“Tangan-tangan yang sempat menjalar kat bahu pun saya tepis dan kadang-kadang siap tegur kuat-kuat, "Sorry sir, No touching” (zaman modeling sebelum Islam),” tulisnya.
Katanya, dia sendiri tidak faham kenapa ada adik bertudung yang excited dan suka sampai sendiri yang memeluk artis lelaki K-pop dalam video itu,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Rania berkata, alangkah baiknya kalau gadis tersebut menolak pelawaan artis K-pop tersebut daripada terus memeluk mereka, kerana mungkin boleh menjadi satu medan dakwah.
“Alangkah bagusnya kalau adik-adik yang bertudung tu ‘say no’ pada artis K-Pop itu atas pentas bila diorang nak peluk.Terus jadi dakwah...atas pentas pula tu. Masha-ALLAH!
"Renung-renungkanlah. Even non-Muslims pun ada banyak yang tak bagi lelaki sentuh,” katanya.