KEGUSARAN Shuib Sepahtu untuk beraksi solo pada minggu kesembilan Maharaja Lawak Mega (MLM) 2014 bertukar sebaliknya apabila berjaya memperoleh lima bintang daripada juri tetap, Fazura.
Biarpun terpaksa meneruskan perjuangan kumpulan itu tanpa kehadiran Jep, Shuib berjaya memukau penonton dan juri dengan 'lawak duduknya' itu.
Pada mulanya, mungkin ramai yang tidak yakin dengan persembahan Shuib apatah lagi ia merupakan persembahan solonya yang pertama di pentas lawak.
Namun jangkaan itu meleset sama sekali apabila suami kepada Sarah Raisuddin itu berjaya membuktikan kredibilitinya sebagai penghibur.
“Mungkin lawak saya tak kena dengan tema minggu ini, namun saya tetap pastikan unsur seram ada dalam cerita saya.
“Tapi rasa takut dan gementar memang tak payah cakap. Nak naik pentas pun berdebar lain macam pula, apatah lagi keseorangan minggu ini,” katanya.
Dalam masa sama, Shuib turut memohon agar peminat Sepahtu mendoakan Jep kembali sembuh seperti sedia kala. Menurutnya, Jep disahkan menghidap demam denggi dan masih memerlukan pemantauan rapi.
Sementara itu, Fazura menyifatkan sketsa Shuib tiada cacat cela begitu juga dengan Datuk Jalaluddin Hassan yang memuji keberanian Shuib tampil solo dengan persembahan yang menarik.
“Saya agak ragu-ragu dengan persembahan Shuib malam ini, namun jangkaan saya tidak tepat kerana Shuib berjaya memukau semua penonton dengan persembahan ringkas namun penuh dengan lawak,” katanya.
Selepas penyingkiran Jalor, tinggal enam peserta iaitu Zero, Bocey, Virus, SYJ, Shiro dan Sepahtu yang akan meneruskan perjuangan di pentas MLM 2014.