Romeo Kota cabar kemampuan Nabil Ahmad


NAMA Nabil Ahmad dalam arena pelawak tanah air bukan lagi asing. Bahkan sejak menjuarai Raja Lawak musim kedua, kehadiran Nabil sentiasa diterima baik.
Sejak itu, karakter pelawak bagai sinonim dengan dirinya, tidak kira sama ada di pentas mahu pun layar perak.

Ingin lari dari karakter tersebut, Nabil memberanikan diri untuk menerima watak sebagai polis dalam filem Romeo Kota.

Biarpun filem tersebut bergenre aksi komedi dan ada kalanya memperlihatkan Nabil melawak, namun apabila tiba pada babak yang serius dan tegang, penonton masih lagi ketawa dengan aksinya itu.

Menafikan membawakan watak sebagai anggota penyiasat, Lans Koperal Fakrul secara sambil lawa, Nabil bagaimanapun tidak menafikan mentertawakan diri sendiri tatkala melihat dirinya di layar perak.




“Ada satu babak serius apabila saya mengamuk kerana rakan ditembak penjenayah dan untuk babak itu, saya harap sangat orang tidak ketawa.

“Tetapi ada juga penonton yang ketawa dan saya sendiri pun ketawa kerana sewaktu saya melakonkan babak itu, saya fikir raut wajah saya dah habis serius.

Tetapi apabila ditonton semula, kelakar juga muka saya.

“Apa pun saya akan cuba lagi memperbaiki watak serius selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas tayangan perdana ‘Romeo Kota’ di Cathay Cineplex e-curve, baru-baru ini.

Sukar lakon babak aksi

Nabil berkata, apa yang membuatkan dia tertarik untuk membintangi filem berkenaan adalah kerana Romeo Kota merupakan filem aksi komedi yang dinantikannya selama ini.

“Setelah beberapa tahun menantikan filem sebegini, akhirnya saya dapat juga dan sangat berpuas hati. Sejujurnya saya sangat teringin untuk berlakon dalam cerita bergenre aksi yang memerlukan saya untuk berlawan.

“Selama ini saya hanya lihat babak lawan di kaca TV. Tetapi setelah melakonkan sendiri aksi tersebut, baru saya tahu betapa susahnya untuk melakukan aksi lawan.

“Saya juga berterima kasih kepada Aaron yang sanggup meluangkan masa mengajar saya bagaimana cara untuk berlawan setiap kali sebelum memulakan penggambaran,” ujarnya.

Filem pertama arahan Aaron itu merupakan genre aksi komedi yang memaparkan kisah dua anggota polis iaitu Romi dan Fakhrul dalam membanteras jenayah di sebuah kolej.

Turut menampilkan barisan pelakon seperti Nina Juren, Sofi Jikan, Ahmad Idham, Hanis Zalikha, Fizo Omar, Sleeq dan Shenthy Feliziana.

Filem Romeo Kota, Fail Kes : Kriptik baru sahaja menemui penonton pawagam di seluruh Malaysia dan Brunei bermula 8 Januari lalu.



Previous Post Next Post