KEHIDUPAN tanpa suami, Rita bahagia bersama dua anaknya, Airit Rayyan Rizqin (kiri) dan Airit Qaqa Arjuna (kanan).
Kisah rumah tangga aktres Rita Rudaini dan bekas suaminya, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak telah berakhir dengan perceraian pada September tahun lalu. Namun, ‘drama’ rumah tangga mereka masih belum berakhir meskipun baru-baru ini Mahkamah Rendah Syariah Syariah Subang Bestari, Selangor memerintahkan Aidil membayar nafkah dua anaknya, Airit Rayyan Rizqin, 6, dan Airit Qaqa Arjuna, 4, sebanyak RM3,000 sebulan.
Biarpun menuntut nafkah sebanyak RM5,392 sebulan pada tahun 2012, Rita tetap bersyukur kerana pihak mahkamah memerintahkan bekas suaminya itu membayar RM3,000 sebagai nafkah bulanan buat kedua-dua anaknya.
Aktres yang dihubungi Kosmo! itu memberitahu, dia mahu memfailkan permohonan baharu dalam masa terdekat untuk mengubah jumlah nafkah yang diperintahkan oleh mahkamah.
Ini kerana ketika tuntutan itu dibuat, anaknya masih belum bersekolah dan tuntutan nafkah baharu itu sejajar dengan perbelanjaan semasa kedua-dua anaknya.
Bukan itu sahaja, sepanjang Januari ini, Rita menjelaskan, dia akan menghabiskan banyak masanya di mahkamah untuk beberapa kes yang masih belum selesai. Antaranya, tuntutan mutaah sebanyak RM300,000 dan tuntutan nafkah edah yang difailkan Rita terhadap bekas suaminya.
Sedar dirinya menjadi perhatian masyarakat dan dikutuk dengan pelbagai kata nista, Rita reda dan tidak mengambil peduli pandangan orang terhadapnya. Niatnya hanya satu iaitu menuntut hak kedua-dua anaknya dan memastikan bekas suaminya itu menjalankan tanggungjawab selaku seorang bapa meskipun mereka sudah bercerai.
Artis Meletop!: Bagaimanakah perasaan Rita apabila mahkamah memutuskan supaya Aidil membayar nafkah RM3,000 sebulan?
Rita: Alhamdulilah, saya bersyukur kerana sebelum ini Aidil membayar nafkah sebanyak RM2,000, kini ia menjadi RM3,000 sebulan. Walaupun pada awalnya saya menuntut nafkah sebanyak RM5,392 dan mahkamah hanya meluluskan RM3,000 sebulan, saya reda hanya itu rezeki untuk kedua-dua anak saya. Keputusan itu berdasarkan segala resit dan dokumen ketika kes itu dibuka pada tahun 2012. Waktu itu anak saya belum bersekolah.
Adakah jumlah RM3,000 itu cukup untuk membiayai perbelanjaan semasa kedua-dua anak anda?
Sejak anak saya bersekolah perbelanjaan mereka semakin besar, sudah tentu jumlah tersebut tidak mencukupi. Yuran tahunan sekolah sudah mencecah RM2,000, itu belum dicampur yuran bulanan sebanyak RM259 dan juga kelas agama. Jika ikutkan, saya sendiri mampu untuk menyara anak-anak, tetapi saya tidak mahu bekas suami melupakan tanggungjawabnya sebagai bapa. Dalam masa yang sama , saya juga menuntut hak anak-anak.
Apakah tindakan anda selepas ini?
Saya akan memfailkan permohonan mengubah jumlah tuntutan nafkah mengikutkan perbelanjaan semasa dalam masa terdekat. Saya sedar ramai orang berkata buruk tentang diri saya yang tidak habis-habis menuntut wang daripada bekas suami. Bagaimanapun, ramai yang tidak faham mengapa kes saya berlarutan begitu lama.
Bayangkan kes tuntutan nafkah dibuka pada tahun 2012, hanya pada Januari 2015 kes itu berjaya diselesaikan kerana Aidil sering tidak hadir ke mahkamah. Jumlah tuntutan yang diberikan mahkamah mengikut dokumen dan keperluan anak saya pada tahun 2012.
Waktu itu mereka tidak bersekolah lagi. Sekarang perbelanjaan semakin bertambah dan wajar untuk saya memfailkan tuntutan nafkah yang baharu.
Apakah komen anda apabila anda dituduh menggunakan nafkah anak untuk diri sendiri?
Biarlah orang kata apa sekalipun, yang tahu perkara sebenar hanya saya, Aidil dan Allah S.W.T.. Saya minta duit daripada bekas suami bukan untuk diri saya, sebaliknya untuk anak-anak. Jangan risau kerana wang yang diberikan itu sebenarnya tidak cukup dan saya harus menambah wang saya sendiri untuk perbelanjaan mereka. Jika hidup di Perlis, RM3,000 itu sudah terlebih cukup tetapi saya tinggal di Kuala Lumpur, sudah tentu kos sara hidup amat tinggi.
Selepas bercerai dengan bekas suami bagaimanakah kehidupan anda dan anak-anak?
Rasanya sama sahaja, tiada yang berubah kerana sebelum bercerai pun Aidil sudah meninggalkan kami. Kehidupan kami berjalan seperti biasa, cuma saya terkilan kerana anak kedua, Arjuna tidak sempat untuk mengenali dan mendapat kasih sayang daripada bapanya. Walaupun begitu, saya pastikan anak-anak tidak rasa sebarang kekurangan. Rezeki lakonan tidak pernah putus, selain itu perniagaan produk kecantikan sudah memasuki pasaran Brunei dan Singapura.
Adakah anda sudah serik untuk berkahwin semula?
Saya tidak boleh kata serik kerana soal jodoh itu urusan Allah. Andai saya ditakdirkan untuk berkahwin sekali lagi saya reda. Namun, sebelum itu saya harus memastikan lelaki itu mengasihi anak-anak saya sepenuhnya dan seorang lelaki yang bertanggungjawab. Setakat hari ini, saya tidak terfikir soal lelaki kerana saya sibuk berkasih sayang dengan anak-anak. Masa dan perhatian saya hanya untuk anak-anak sahaja.