Villa Nabila: Gimik penonton histeria?



BAHARU sahaja ditayangkan pada Khamis lalu, filem eksperimental daripada pengarah muda, Syafiq Yusof, mula menarik minat penonton ke pawagam.

Keterujaan penonton yang melangkah ke pawagam dikejutkan dengan insiden empat wanita didakwa terkena serangan histeria ketika menonton tayangan perdana filem Villa Nabila di pawagam Tanjong Golden Village Cinemas (TGV) di pusat beli-belah AEON Tebrau, Johor Bahru.

Kejadian itu, menjadi viral setelah rakaman video penonton itu mula disebarkan di laman sosial sejak malam Jumaat lalu.

Bertanya mengenai kejadian pelik itu, produser terkenal, Datuk Yusof Haslam, menolak dakwaan kejadian itu adalah rancangan produksi, Skop Productions Sdn Bhd dan Viper Studios Sdn Bhd.




"Saya tidak tahu menahu mengenai kejadian itu dan selepas dimaklumkan anak saya, Syafiq, saya memang terkejut. Malah, dia akui terperanjat mengenai kejadian berkenaan.

"Sejujurnya, produksi kami tidak pernah terlibat dalam kerja gimik murahan begitu. Ia berlaku di luar pengetahuan kami. Saya bertanya kepada Syafiq dan dia menafikan.

"Kemungkinan besar, penonton terlalu fobia dengan filem itu dan emosinya terbawa-bawa. Malah, sebelum ini isteri saya turut menjerit ketika menontonnya namun tidaklah sampai terkena histeria," jelas beliau.

Trailer: Villa Nabila


Berkongsi mengenai kutipan filem itu dalam tempoh dua hari (Khamis hingga Jumaat), Yusof memberitahu ia memberangsangkan di saat kelembapan kutipan di pawagam akhir-akhir ini.

"Alhamdulillah, selama dua hari tayangan di seluruh Malaysia termasuk Brunei dan Singapura, Villa Nabila berjaya mengutip RM350,000 dan untuk tiga hari, saya menjangka ia akan bertambah ke RM500,000.

"Jumlah penonton tertinggi setakat ini di Johor dan di negeri lain memberangsangkan.

"Saya melihatnya sebagai satu kejayaan buat Syafiq di mana filem ini adalah filem eksperimental bajet sederhana," katanya lagi.



Previous Post Next Post