Dakwaan anggota B1A4 cabul peminat tidak benar



SEJAK minggu lalu, kontroversi melibatkan aksi keterlaluan gadis Melayu bertudung yang dipeluk dan dicium ahli kumpulan K-Pop dari Korea Selatan, B1A4, menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan masyarakat.

Pelbagai pihak tampil memberi penjelasan mengenai perkara itu, termasuk penganjur yang dilihat turut menyuarakan pendedahan dan pendirian mereka dalam isu ini.

Bukan hanya di dalam masyarakat kita, ianya turut mendapat perhatian beberapa media di Korea sehingga mengundang pelbagai reaksi peminat di seluruh negara yang mengikuti perkembangan berita di laman berkenaan.

Setelah menerima pelbagai bentuk kecaman, akhirnya wakil kumpulan tersebut tampil memberikan kenyataan rasmi apabila mereka turut didakwa mencabul peminat dalam, Konsert ‘B1A4 Live in Kuala Lumpur’ yang berlangsung baru-baru ini di Live Center.

Menurut wakil agensi kumpulan B1A4, WM Entertainment, dakwaan peminat dicabul B1A4, adalah tidak benar sama sekali.




"Dakwaan yang mengatakan anggota kumpulan B1A4 mencabul peminat ketika di atas pentas itu adalah tuduhan palsu dan ia tidak benar sama sekali!”

"Aksi itu hanya dilakonkan semula untuk babak-babak romantik dalam filem dan drama. Malah, sebelum mereka melakonkan babak tersebut, anggota kumpulan B1A4 telah bertanyakan kepada peminat terlebih dahulu.

"Hos acara itu juga telah bertanyakan perkara yang sama kepada mereka dan setelah mendapat kebenaran barulah mereka melakukan aksi tersebut,” jelas wakil berkenaan.

Lebih berhati-hati

Tidak menyangka perkara ini menimbulkan kontroversi yang hebat, wakil B1A4 memberitahu bahawa selepas ini mereka akan lebih berhati-hati.

"Kami melihat kejadian yang berlaku itu menerusi sudut perspektif yang berbeza. Jadi selepas ini pihak kami akan lebih berhati-hati dan peka mengenai perbezaan budaya dan agama sesebuah negara.

"Untuk masa yang akan datang, perkara sebegini tidak akan berlaku lagi terutamanya di Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum dan agama," jelasnya lagi mewakili kumpulan B1A4 yang dianggotai lima anak muda iaitu Gongchan, Sandeul, Baro, CNU dan Jinyoung.

B1A4 merupakan kumpulan muzik dari Korea Selatan, yang mula diperkenalkan pada tahun 2011 menerusi single, O.K.

Selain itu, kumpulan ini popular dengan lagu-lagu single mereka termasuk Let's Fly, It B1A4, Beautiful Target dan Baby Good Night.



Previous Post Next Post