Azri dan Salma memilih lokasi dalam negara untuk berbulan madu.
KEDUA-DUANYA hadir menerusi dua program realiti nyanyian yang berbeza. Si pengantin lelaki daripada Akademi Fantasia musim kesembilan, manakala pengantin wanita pula daripada Mentor musim kelima. Terbiasa dengan publisiti dan kisah karier yang harus dijual mendahului produk seni, namun daripada satu sudut kehidupan, Azri Abdullah, 28, dan Salma Andi-Asis, 25, memilih jalan senyap sewaktu mendirikan mahligai bahagia.
Tanpa dicanang atau dibayangi sebarang pembayang, pasangan yang pernah mengakui bahawa kemesraan mereka selama ini hanyalah kawan biasa itu rupa-rupanya sudah selamat bergelar suami isteri sejak 31 Januari lalu.
Jelas Azri, dia tidak bermaksud untuk menyembunyikan khabar gembira pernikahannya bersama bekas anak didik Erra Fazira itu. Segalanya berlaku serba pantas dan persiapan perkahwinan mereka dilakukan dalam tempoh sebulan selepas lamaran dibuat pada awal Januari lalu.
“Kami tidak lari atau cuba menyembunyikan pernikahan kami kerana majlis yang dirancang pun berlaku dengan cepat. Kami hanya mempunyai tempoh sebulan sahaja untuk membuat persiapan. Mulanya, Salma memberitahu, dia mahu pulang ke Tawau untuk menjenguk keluarga, jadi saya bertegas mahu mengikutnya pulang ke sana.
“Daripada situlah, tidak semena-mena hati saya tergerak untuk mengajaknya berkahwin. Tidak salah sekiranya kepulangan Salma ke sana disusuli dengan majlis pernikahan. Jadi, kami menyuarakan hasrat itu kepada keluarga masing-masing dan Alhamdulillah hubungan dan perancangan kami direstui, sekali gus berjalan lancar,” ujar Azri kepada Artis Meletop!.
Tambahnya, pilihan berkahwin dalam tempoh yang sangat singkat bukan bertujuan untuk menutup sebarang khilaf. Sebaliknya tegas Azri, perkenalan secara serius selama setahun telah membuatkan hatinya tergerak untuk memperisterikan Salma. Niat itu secara tidak langsung disambut baik oleh Salma sendiri.
“Kami sudah berkenalan selama tiga tahun dan mulai serius sejak setahun lalu. Dalam perjalanan selama setahun itu, Salma ialah individu yang paling rapat dan memahami diri saya. Tidak salah lagi dia ialah calon yang paling tepat untuk dijadikan isteri,” kata Azri yang popular dengan lagu Niskala.
Tidak bercinta
Selama ini, Azri dan Salma tidak pernah mendedahkan keseriusan hubungan mereka. Bagi Azri, perasaan kasih dan sayang terhadap Salma mulai tercetus apabila mereka sering bertemu semasa proses penghasilan beberapa buah single bersama-sama.
“Kami tidak bercinta, kami rapat pun kerana selalu bersama semasa penghasilan single. Kebetulan pula Salma tiada sesiapa di Kuala Lumpur. Sayalah menjadi individu yang sentiasa dekat dengannya. Kami memang tidak mengakui tentang hubungan cinta yang terjalin. Saya akui, sepanjang mengenalinya, saya juga tidak pernah berjumpa dengan keluarganya sehinggalah beberapa hari sebelum bernikah.
“Saya tertarik dengan keperibadian dan kasih sayang yang dicurahkan Salma terhadap anaknya, Puteri Nurul Huda yang kini sudah memasuki usia lapan tahun. Hubungan saya dan anaknya juga bertambah baik walaupun memakan masa. Kalau dahulu, dia panggil saya uncle, sekarang dia panggil saya papa. Sekarang, kadang-kadang pun tersasul juga panggil saya uncle,” cerita Azri.
Mereka selamat dinikahkan di Masjid Al Kautsar, Tawau, Sabah berwalikan bapa Salma sendiri, Andi-Asis Cakka hanya dengan sekali lafaz. Salma menerima mas kahwin sebanyak RM300 dan wang hantaran RM10,000.
Pengantin lelaki menghantar tujuh dulang hantaran termasuk sebentuk cincin, senaskhah Al-Quran, telekung, kasut dan wangian dan dibalas dengan sembilan dulang hantaran daripada pihak perempuan antaranya sebentuk cincin, wangian dan baju kemeja.
Sementara itu, Salma pula memberitahu, dia seperti tidak percaya dengan pernikahan tersebut. Pada mulanya, dia menganggap pelawaan Azri untuk memperisterikannya sekadar ajak-ajak ayam dan bukannya serius.
“Sebenarnya, saya masih keliru dan tertanya-tanya adakah benar saya dan Azri sudah bergelar suami isteri. Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan dan kami sudah sah berkahwin. Dia mengajak saya berkahwin pada awal Januari lalu dan saya merasakan dialah jodoh saya, tambahan pula keluarga saya juga senang dengan sikap Azri.
“Sepanjang mengenalinya, saya menyifatkan Azri seorang lelaki yang budiman, baik dan romantik,” kata Salma yang belum merancang untuk berbulan madu dan menyerahkan urusan cahaya mata kepada tentuan Allah.
Majlis resepsi sebelah pengantin lelaki akan diadakan pada satu tarikh yang belum diputuskan lagi di kampung halaman Azri di Klang, Selangor.