MESKIPUN sedikit gugup, akui Yana, dirinya kini sudah bersedia memikul gelaran isteri kepada jejaka pilihan hati, Fadzil Zahari.
PERSOALAN mengenai hubungan mesra antara pelakon Yana Samsudin dengan Fadzil Zahari, 32, akhirnya terjawab apabila kedua-duanya mengesahkan akan bernikah pada tanggal 13 Februari depan.
Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin, 30, dan Fadzil yang juga merupakan seorang pelakon dan penulis skrip akan bernikah pada tarikh tersebut di kediaman keluarga Yana di Yong Peng, Batu Pahat, Johor sementara majlis persandingan pasangan itu pula akan diadakan pada keesokan harinya, 14 Februari.
Pengumuman tersebut sekali gus menjawab persoalan mengenai hubungan mereka yang dilihat begitu mesra sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Meskipun telahan itu ditepis oleh kedua-dua pihak, namun hubungan rapat antara mereka berdua dapat dihidu apatah lagi Fadzil dikatakan pernah beberapa kali bertemu keluarga Yana. Pelakon itu berkongsi tentang hatinya yang sedang berdebar menanti hari bersejarah tersebut.
Artis Meletop!: Apa khabar Yana? Seperti yang semua sudah sedia maklum, sejak awal minggu ini, berita mengenai pernikahan anda telah menjadi bualan ramai. Tahniah daripada pihak kami. Boleh kongsikan kepada Kosmo! mengenai berita baik itu?
YANA: (Ketawa) Alhamdulillah, benar saya akan melangsungkan perkahwinan dengan Fadzil Zahari seperti yang anda semua sudah sedia maklum. Saya akan melangsungkan majlis akad nikah pada 13 Februari (Jumaat) selepas solat Jumaat. Majlis tersebut akan diadakan di rumah keluarga saya di Yong Peng, Johor. Kami akan bersanding di Dataran Gemilang Yong Peng pada keesokan harinya, 14 Februari (Sabtu). Pada hari itu, akan ada dua majlis iaitu untuk sebelah petang dan malam. Pada sebelah petang, majlis makan-makan untuk tetamu akan berlangsung bermula pada pukul 4 petang, manakala pada sebelah malamnya pula barulah saya akan bersanding. Pihak lelaki pula memilih tanggal 7 Mac depan untuk mengadakan majlis menyambut menantu di kediaman keluarga Fadzil di Jitra, Kedah.
Bagaimanakah dengan tema untuk hari istimewa tersebut?
Kalau diikutkan saya mahu buat satu majlis yang serba ringkas sahaja, tetapi pihak pengurusan yang menaja pelamin kami mengusulkan untuk membuat satu tema iaitu moden klasik. Memang saya suka dengan tema moden klasik tetapi pihak sana yang lebih arif, saya ikutkan sahaja. Untuk hari akad nikah pula, tema pada hari itu berunsurkan bunga-bungaan segar.
Mengapa memilih tarikh 13 dan 14 Februari sebagai hari bersejarah dalam hidup kalian? Adakah tarikh itu membawa apa-apa makna istimewa buat kalian?
Sebenarnya tidak. Pada mulanya, kami berdua tidak tahu tarikh apa yang sesuai untuk melangsungkan perkahwinan memandangkan jadual kerja saya begitu padat.
Namun, akhirnya selepas meneliti beberapa perkara, kami sepakat memilih tarikh itu sebagai momen indah kami berdua. Sebab pada tarikh itu, adik Fadzil sudah pulang ke tanah air selepas menamatkan pengajian di India, manakala adik saya yang menuntut di Sabah masih dalam cuti semester. Jadi kami memilih tarikh itu berdasarkan kepada kesesuaian semua orang terutama adik-beradik dan keluarga supaya dapat menghadirkan diri, itu sahaja.
PASANGAN ini memilih tema bunga-bungaan segar sewaktu majlis akad nikah dan moden klasik untuk majlis bersanding.
Sekitar dua minggu lagi akan mendirikan rumah tangga, bagaimanakah dengan persiapan untuk majlis itu? Segalanya berjalan lancar?
Alhamdulillah, setakat ini persiapan sudah mencecah 80 peratus dan semuanya berjalan dengan lancar. Memang pada awalnya kami bimbang tidak dapat membuat persiapan dengan baik memandangkan tarikh perkahwinan yang dipilih sudah dekat, namun semuanya terkawal. Semua persiapan itu diuruskan oleh pihak keluarga saya dan Fadzil sendiri. Saya akui dia memang banyak membantu melancarkan persiapan perkahwinan kami memandangkan saya sendiri sangat sibuk dengan jadual kerja. Tambahan pula, minggu lepas saya ditahan selama lima hari di hospital kerana demam denggi, jadi memang Fadzil dan keluarga yang banyak melunaskan persiapan itu.
Boleh ceritakan bagaimana proses perkahwinan ini berlaku memandangkan anda mengumumkan berita baik ini secara tiba-tiba. Jadi, tentu ada peminat di luar sana yang mahu mengetahui tentang cerita kalian?
Sebenarnya perkara (kahwin) ini berlaku ketika saya sedang menyertai sebuah pertandingan nyanyian pada tarikh 14 Disember tahun lalu. Pada ketika itulah, Fadzil membawa rombongan keluarganya bertandang ke rumah keluarga saya. Dia melakukan perkara itu tanpa pengetahuan saya atau dalam erti kata lain, dia buat kejutan untuk saya.
Sebelum ini, saya pernah beritahu ibu dan bapa, kalau ada mana-mana pihak lelaki yang datang meminang saya, terima sahaja. Saya serahkan perkara kepada ayah kerana percaya apa yang dia lakukan adalah yang terbaik untuk anak-anaknya. Tiga hari selepas itu, kakak saya menghantar satu gambar menunjukkan barangan hantaran dan pada waktu itu barulah saya tahu orang yang menghantar rombongan itu ialah Fadzil. Berdasarkan kepada rombongan dan hantaran tersebut, bolehlah saya sifatkan Fadzil menghantar rombongan merisik dan meminang sekali gus pada hari tersebut. Sebenarnya, ini merupakan percubaan kedua Fadzil kerana pada tahun 2010, dia pernah bertanya tentang perkahwinan dengan saya. Namun memandangkan pada ketika itu kami berdua baru mahu membina kerjaya, jadi saya menolak dengan baik niatnya itu. Tidak sangka, dia sanggup menunggu saya untuk tempoh yang lama. Justeru, selepas saya dapat tahu dialah lelaki yang menghantar rombongan tempoh hari, saya nampak keikhlasan dan kesungguhan dia. Itu salah satu sebab mengapa saya terima lamaran ini. Saya akui, kami berdua tidak pernah mengaku bercinta apatah lagi memang bercinta. Namun atas dasar hubungan rapat antara kami berdua, malah kami banyak berkongsi kisah suka dan duka, saya rasa dialah jodoh saya. Namun sejujurnya saya juga macam tidak percaya dengan semua ini. Bayangkan, selama ini saya dengan dia rapat sekadar atas nama kawan baik, tetapi tiba-tiba mahu berkahwin pula.
Bagaimana agaknya nanti mahu jalani hidup sebagai suami dan isteri dengan kawan baik sendiri? Saya rasa gugup dan sedikit janggal, namun mungkin perkara ini tidak akan lama. Saya pasti boleh menyesuaikan diri dengan keadaan ini.
Berbalik kepada perkembangan kerjaya anda. Selain sibuk menguruskan majlis perkahwinan, bagaimana dengan kerjaya anda kini?
Sebelum disahkan menghidap demam denggi, saya sedang menjalani penggambaran sebuah filem aksi komedi berjudul Dewi terbitan syarikat kepunyaan Fadzil, Prokuya Studio Sdn. Bhd.. Selepas dimasukkan ke hospital, proses penggambaran filem itu dihentikan buat sementara waktu. Kemudian, tarikh majlis perkahwinan yang semakin dekat membuatkan saya berehat sementara. Mungkin selepas dua hari berkahwin, saya kembali menyambung penggambaran yang terhenti tempoh hari kerana ia melibatkan banyak pihak. Saya tidak mahu menyusahkan orang lain, jadi saya teruskan kerja selepas selamat berkahwin pertengahan bulan ini. Memandangkan jadual yang padat, saya dapat bayangkan tidak ada istilah berbulan madu untuk kami berdua dalam masa terdekat ini.